Sebaik sahaja kembar dua beradik, Afzal dan Asyran, tiba di rumah Afiq, mereka terus berlari ke dalam dakapan Afiq. Aku pula bersalam dengan adik mama Afiq yang bernama Cik Yan.
"Mama Wani kamu mana? Cik Yan tak nampak pun," dia memandang sekeliling rumah mencari kelibat kakaknya sambil meletakkan barang-barang keperluan anak-anaknya di atas meja makan.
Aku ingin menjawab pertanyaan Cik Yan, tetapi Afiq sudah terlebih dahulu menjawabnya. "Dia kerja. Dalam pukul lima dia balik. Ada projek besar masuk."
Cik Yan hanya mengangguk. Dia melemparkan senyuman kepadaku. "Cik Yan sebenarnya kelam-kabut ni. Flight pukul empat. Sekarang dah nak masuk pukul satu ni. Cik Yan gerak dulu, ya? Oh lagi satu, Afzal dan Asyran belum mandi lagi. Tadi kembar dua orang ni bangun pukul dua belas. Nanti kamu berdua mandikan mereka, ya?"
Belum sempat aku dan Afiq menjawab, Cik Yan sudah beredar meninggalkan kami bersama anak-anaknya. Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal sementara Afiq mendukung kembar dua itu ke sofa dan menutup pintu rumahnya.
Ya, Afiq masih belum menyebut sepatah pun perkataan kepadaku. Dia masih merajuk kerana aku memanggilnya busuk di dalam bas pagi tadi. Entah kenapa, aku geli hati melihat perangainya. Kadang-kala seperti budak-budak kecil. Kadang-kala pula seperti lelaki dewasa yang matang.
"Fiq, aku mandikan Asyran. Kau mandikan Afzal," aku sudah mula meleraikan pakaian Asyran di sofa ruang tamu.
Wajah Afiq berkerut. "Kenapa pula?"
"Alah, kau kan lelaki. Lelaki mandikan lelakilah. Kau mandikan si abang tu," aku menjuihkan bibir ke arah Afzal yang sedang bermain dengan mainan kereta kecilnya yang berwarna biru terang.
Aku memandang Afiq pelik apabila melihat dia tersengih. "Eleh, kau segan kan?"
"Segan apa pula?" Aku mendukung Asyran.
Afiq meleraikan pakaian Afzal sambil ketawa kecil. "Haha, tak apalah."
"Dah ketawa maknanya dah tak merajuk, kan?" Aku cuba menduga.
Tiba-tiba Afiq mendengus sambil mendukung Afzal. "Masih merajuk."
---
Aku menjadi semakin bingung. Boleh runtuh rumah HDB ini! Rumah Afiq berselerak seperti yang aku sangka. Yang membingitkan lagi bila adikku masih belum tiba. Katanya ingin meneman aku untuk menjaga kembar dua ini.
Wajahku diraup beberapa kali. Ya, aku gembira apabila melihat bahawa Afiq boleh melayan adik saudaranya. Akan tetapi, rumah menjadi tidak terurus! Bersabarlah wahai hati..
Oleh kerana Afiq membantuku dengan melayani kembar-kembar di ruang tamu, aku mendapat ruang untuk memasak buat makan malam hari ni. Aku sengaja memasak lauk kegemaran Afiq iaitu sambal tumis sotong. Selapas itu, aku menyediakan pula makanan buat si kecil.
Aku merehatkan tubuhku di kerusi meja makan sesudah menghidangkan makanan buat Afiq dan juga si kembar dua. Sengal pinggangku tidak terkata lagi. Ingin sekali aku melelapkan mataku tetapi...
"Mamam.." Suara Asyran membuat mataku menjadi segar. Dia menarik-narik seluar hitamku, meminta perhatian.
"Asyran nak mamam eh?" Soalanku dijawab dengan anggukannya. "Kalau nak mamam, Asyran kena panggil Abang Iyan dan Afzal datang sini."
Asyran dengan pantas membuka langkah berlari ke dalam bilik Afiq dan memanggil abang saudaranya. Comel betul langkah Asyran!
Walaupun mereka berdua baru berusia dua tahun, mereka sudah petah bercakap. Geli hatiku melihat perbualan mereka berdua adik-beradik. Aku bangkit berdiri apabila melihat Afiq mendukung dua kembar itu menghampiri meja makan.
Senang hatiku melihat Afiq meletakkan kembar dua di tempat duduk kanak-kanak. Afiq mencapai mangkuk yang diisi dengan bubur ayam yang aku sediakan untuk si kecil. Aku menanti reaksi Afiq untuk melihat makanan yang tersedia untuknya. Kecil hatiku apabila dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi.
Senyuman terukir tanpa aku sedari ketika Afiq menyuap kedua-dua adik saudaranya itu. Aku pun menyedukkan nasi untuk diriku. Perut aku sudah berkeroncong. Aku sudah tidak tahan lagi!
Makan punya makan, suapanku terhenti setibanya Afiq bersuara. "Haish laparnya... Tak ada orang suap Abang Iyan mamam."
Mata Afiq masih melekat kepada dua adik saudaranya. Aku tahu ayat itu ditujukan kepadaku. Apa yang boleh aku katakan? Aku hanya mampu tersengih apabila dua kembar itu memandang ke arahku.
Sudu dicapaiku dan mula ingin aku suap ke mulut Afiq. Namun, Afiq masih tidak menoleh ke arahku. Eh eh dia ni.. Aku nak suap tapi kau pula yang buat hal. Ini apa kes tak nak buka mulut?
Afiq masih terus menyuap adik-adik saudaranya manakala aku kembali ke tempat dudukku yang bertentangan dengan Afiq.
"Suap pakai sudu mana ada rasa..." Akhirnya Afiq bersuara lagi.
Kali ini aku tergelak kecil. "Kalau nak suap pakai tangan kena kahwin dulu. Nanti future husband cemburu kalau dapat tahu kita suap orang lain pakai tangan selain dia."
"Tak ada cemburunya kalau future husband dia dengan orang lain ini adalah orang yang sama.." Jawapan Afiq membuatkan aku menelan air liurku. Hatiku menjadi keliru. Kadang-kala, Afiq suka bergurau seperti ini. Bergurau ataupun serius?
Mata Afiq beralih ke arah aku. Aku terkedu. Adakah dia tidak bergurau dengan pernyataannya tadi. Aku berdeham dan terus ke dapur untuk mencuci pingganku.
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...