Bab 14

29 0 0
                                    

Aku dan beberapa teman sekelasku termasuk Naufal, Farah, Ana, Ain dan Seri bersorak dengan semangatnya apabila sekolah kami menjadi juara untuk pertandingan sepak takraw tahun ini.

Tidak lagi aku menghiraukan kepanasan dan bahang di dalam stadium kecil. Walaupun ada beberapa kipas angin yang terletak di dinding stadium tersebut, aku tetap tidak dapat merasakan angin tersebut. Akan tetapi, semua itu tidak penting lagi apabila Afiq dapat menyelamatkan sekolah kami dan menjadi juara untuk sekian kalinya.

Aku bersorak seperti orang gila, melompat-lompat seperti katak yang terjerat di dalam lubang tanah yang dalam. Apabila Afiq sebagai ketua kumpulan memegang piala yang besar, aku bersorak sambil melompat-lompat sehinggakan Afiq juga ikut melompat-lompat sebelah juri-juri.

Tanpa aku sedari, rupa-rupanya Naufal memerhatikan sahaja tindakanku dan Afiq. Sesudah itu, dia terus menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum-senyum. Mungkin, kelakuanku ketika ini membuatkannya geli hati.

Pertandingan sepak takraw pun sudah berakhir. Aku bersama penyokong-penyokong sekolah pun menaiki bas yang sama dengan pemain-pemain sekolah kami. Suasana menjadi sepi kerana semua pemain-pemain takraw berasa letih dan mengambil kesempatan untuk tidur buat seketika.

Aku melabuhkan punggungku di salah satu tempat duduk yang sebelah dalam seorang diri. Ya, aku berasa sedikit kecil hati sejak pagi tadi apabila Farah dan Naufal duduk bersama-sama. Aku tahu bahawa Naufal berasa kurang selesa kerana raut wajahnya berubah ketika Farah datang dan duduk di sebelahnya.

Kami berdua tidak melepaskan pandangan masing-masing. Tempat duduk aku dan Naufal bersebelahan. Farah seronok bercerita kepada Naufal sementara Naufal hanya senyum sekali-sekala tanpa raut wajah yang ceria sambil mencuri pandangan ke arahku.

"Wei, termenung jauh kau dekat lantai tu?" Afiq yang sebelumnya duduk di belakang bersama teman-teman takraw tiba-tiba duduk di sebelahku. Tubuh Afiq menghadang Naufal untuk terus mencuri pandangan.

Aku menggaru-garu hidungku kerana bau badan Afiq yang terlalu kuat. "Busuklah kau."

"Eleh, macam tak biasa lah pula. Kata sahaja yang kau tak nak aku duduk sebelah kau," Afiq memeluk bola takrawnya dan berbaring paling daripadaku.

Lah... Kecil hati pula si Afiq ni. Macam manalah nak pujuk dia? Aku sedari mata Naufal asyik terus memandang aku dan Afiq. Hatiku serba salah, fikir Afiq, fikir Naufal. Akhirnya, aku menarik lengan baju takraw Afiq. "Jangan merajuklah, Fiq.."

Afiq menarik lengan bajunya daripadaku dan beralih ke tempat duduk di belakangku. Aku hanya mampu mengeluh. Nanti-nantilah aku memujuk dia.

Pada Naufal pula, aku melemparkan jelingan kerana aku mahu dia tahu bahawa aku cemburu apabila Farah duduk di sisinya dan bukan aku. Mataku memandang luar, melihat kenderaan-kenderaan yang lalu di jalan raya.

Sepanjang perjalanan, hatiku berasa panas sekali apabila mendengar perbualan Farah dan Naufal. Walaupun jawapan Naufal pendek, Farah menganggap itu hanya perkara biasa kerana sememangnya Naufal seorang yang pendiam.

Ingin sahaja aku bersuara dan mengajak Naufal untuk duduk di sebelahku. Akan tetapi, mahukah dia?

Aku mengumpulkan semangatku dan menoleh ke arah Naufal. "Fal, aku lupa nak bilang kau yang hari ni aku tak boleh nak belajar dengan kau."

Naufal segera bangkit dari tempat duduknya dan beralih ke tempat duduk di sebelahku. Raut wajah Farah berubah masam sambil mencebikkan bibirnya. Matanya tertumpu pada aku dan Naufal. Aku rasa bersyukur kerana tubuh Naufal menghalang mataku dan mata Farah untuk bertemu.

"Apa kau cakap tadi?" Naufal memberi sepenuh perhatiannya kepadaku.

Matanya memandangku dengan penuh kasih sayang. Ya, aku dapat merasakannya. Beginikah rasanya apabila seseorang yang kita sayang memberi perhatiannya kepada kita?

Aku tidak mampu memandang terus ke matanya dan menunduk. "Hari ni aku tak boleh belajar dengan kau."

"Kenapa?" Naufal menaikkan kening kanannya.

Aku berdeham. "Ada hal sikit."

"Jealous eh pasal tadi? Pasal tempat duduk? Sebab tu kau merajuk?" Suara Naufal menjadi perlahan, tidak kedengaran oleh sesiapa kecuali aku.

Bibirku muncung panjang. "Mana ada. Aku memang ada hal pun. Tak percaya tanya Afiq."

"Tak nak tanya," Naufal mengalih pandangannya ke luar jalan raya.

Aku menaikkan bahuku. "Tak nak tanya sudah."

Suasana antara aku dan Naufal menjadi sepi. Hatiku sedikit gembira kerana Naufal kekal terus duduk di sampingku, bukan di samping Farah. Hatiku berbunga riang.

Apabila kita hampir tiba di perkarangan sekolah, Naufal kembali bersuara. "Rumah kau dengan Afiq dekat ke?"

Afiq? Kenapa Naufal tiba-tiba bertanya tentang tempat tinggal aku dan Afiq?

"Emm... Afiq tinggal opposite Masjid An-Nur. Aku pula tinggal area sebelah Si Ling Sec," aku cuba menyusun ayat aku dengan baik.

Naufal mengangguk. "Dekatlah juga, kan?"

Andainya Kau TerimaWhere stories live. Discover now