Semuanya sudah selesai. Aku berjalan menuju ke kantin sekolah bersama-sama dengan Afiq, Haikal, Adam dan Hafiz. Haikal dan Hafiz berjalan di hadapanku sambil berbual-bual kosong manakala Afiq berjalan di sebelah kananku dan Adam di sebelah kiriku sambil bermain-main dengan telefon bimbitnya.
Semangatku kembali kental. Hilang seketika rasa takut untuk berseorangan. Angin yang sepoi-sepoi bahasa pada hari ini mendamaikan hatiku. Jiwaku tenang. Pada mulanya, aku khuatir jika perkara ini berlarutan sehingga peperiksaan besar.
Alhamdulillah, semuanya berlaku sebelum mulanya kertas peperiksaan besar. Dapat juga aku memberi perhatian penuh kepada pelajaranku. Sesekali aku bertukar pandangan dengan keempat-empat kawan-kawanku sambil bertukar senyuman.
Aku menghela nafas lega. Dua ujian yang diujiku sebelum peperiksaan besar sudah aku atasi. Pertama, masalah aku dengan abah. Kini, sudah terbukti bahawa aku tidak pernah mengingkar kata-kata abah. Ya, abah menyesal dengan kelakuannya. Namun begitu, bukan mudah bagiku untuk memaafkannya. Biarlah aku selesaikan peperiksaan besar aku dahulu. Soal ini, lebih baik aku fikir-fikirkannya kemudian.
Yang kedua, masalah aku dengan Farah. Sudah jelas sekali aku tidak bersalah. Aku tidak tahu apa niat Farah melakukan perkara sebegitu. Aku sanggup berjauhan dengan Naufal untuknya.. Sehinggakan Naufal sendiri menyimpan perasaan benci terhadap diriku.
Kami berempat duduk di meja yang kosong sesudah membeli makanan kami untuk waktu rehat. Nasib baik orang yang duduk di hadapan aku adalah Afiq. Maklumlah, hanya dengan kawan rapat sahaja kita menunjuk diri kita sebenar! Termasuklah dengan cara pemakananku yang comot.
"Afiq, lepas sekolah kita lepak dekat rumah kau?" Adam yang duduk di sebelahku ingin memastikan bahawa rancangan mereka hari ini akan berlangsung atau pun sebaliknya.
Mulut Afiq penuh dengan makanannya, nasi padang. Dia tidak bisa menjawab soalan Adam dengan bercakap. Afiq hanya mampu mengangguk sambil menghirup air bandungnya.
Bibirku tersenyum lebar melihat muka lucu Afiq apabila mulutnya penuh dengan makanan. Aku yang sudah lama menghabiskan makananku hanya menghirup air milo milikku.
Adam menoleh ke arahku. "Kau pun ikut kita, kan? Kan, Mia?"
Mataku berkelip-kelip. "Aku? Erm, tak apalah. Kau orang pergi ajelah. Aku tak nak abah aku bising pula nanti."
"Tulah, tak pasal-pasal abah kau benci aku lagi. Lepas tu, abah kau bantai kau cukup-cukup sampai badan kau nak bangun pun tak larat," Afiq terus mengangkat pinggannya untuk dikembali kepada makcik yang sedang mengumpulkan pinggan-pinggan kotor.
Aku menghela nafas berat, seakan-akan mengeluh. Ya, aku pasti Afiq tidak mahu melibatkan aku di dalam apa-apa aktivitinya akan datang. Sedang aku bermain-main dengan straw milikku, aku perasan bahawa ada mata yang sedang memerhatikan diriku.
Aku mengangkat wajahku. Ternyata, Naufal sedang memerhatikan diriku. Dia duduk di meja hadapanku. Tubuhnya bertentangan dengan diriku. Renungan lembutnya yang penuh dengan kekesalan menyentuh lubuk hatiku yang paling dalam.
Rasa kecewaku kembali menyelubungi diri. Bukan hanya rasa kecewa, tetapi juga sakit dan luka. Daripada renungan matanya, aku tahu dia ingin berkata sesuatu denganku.
Naufal memberi isyarat mata kepadaku agar aku bertemu dengannya di luar bilik darjah kami. Dia mula berdiri dan membuka langkah menuju ke arah bilik darjah yang hanya bertentangan dengan kantin sekolah.
Jari-jemariku mengetuk meja kantin. Patutkah aku pergi dan menemuinya? Kalau dahulu ketika peristiwa itu dimana aku ingin Naufal mempercayaiku, sudah tentu aku akan rasa gembira kerana Naufal sudi berbicara denganku. Akan tetapi.. Hatiku berasa berat sekali untuk menemuinya.
Bila aku fikir-fikir, inilah kali pertama hatiku dan otakku membuat keputusan yang sama. Iaitu tidak ingin bersemuka dengan seorang lelaki yang bernama Naufal Iskandar.
Aku menoleh ke arah kawan-kawanku. Buat seketika, aku terkhayal dengan wajah-wajah mereka yang tidak pernah aku amati dengan teliti sebelum ini. Bermula dengan Hafiz, dia memiliki wajah yang tampan dan senyuman yang paling manis. Seperti senyumannya yang manis, kata-katanya juga manis. Begitu manis sehingga membuatkan bulu romaku merinding.
Haikal pula seorang lelaki yang kemas dan berdisiplin. Dia memakai cermin matanya yang namun itu tidak dapat menghalang dirinya daripada membuatkan wajahnya tidak kacak. Wajahnya yang mulus kadang-kala menimbulkan rasa insecure di dalam diriku. Maklumlah... Aku hanyalah manusia biasa. Tambah-tambah lagi bila datang haid, habislah mukaku penuh dengan jerawat.
Walaupun Hafiz dan Haikal mempunyai perwatakan yang berbeza, mereka begitu akrab kerana minat yang sama iaitu menonton cerita-cerita Bollywood. Habislah kalau cerita yang baru keluar panggung. Pasti hampir dua bulan topik mereka tentang cerita yang sama juga.
Adam.. Hmm, dari mana harus aku mulakan. Raut wajah Adam sentiasa serius. Jarang sekali aku dapat melihat Adam tersenyum. Mungkin kali terakhir aku benar-benar nampak senyuman lebarnya ketika dia menang pertandingan sepak takraw.
Walaupun begitu, Adam sebenarnya memiliki senyuman yang menawan. Senyumannya itu dapat membuatkan diri kita tersenyum juga. Matanya besar, bersinar terang. Dia tidak pernah kalih apabila berbicara dengan seseorang.
Tepukan tangan Adam menyedarkan diriku daripada terus mengelamun. "Oi, kau khayal eh?"
Aku berdeham, cuba menafikannya. "Dam.. Naufal nak jumpa aku. Aku berat hati nak pergi. Kau teman aku boleh?"
Adam menepuk lenganku. "Jomlah, aku pun ada perasan juga si Naufal asyik pandang kau aje."
---
"Nak cakap apa?" Aku tidak mahu lama-lama melihat wajah itu. Padahal... Wajah inilah yang membuatkan aku gila bayang pada suatu ketika dahulu. Wajah inilah yang memberi aku semangat untuk ke sekolah pada suatu ketika dahulu.
Naufal kelihatan kurang senang dengan kehadiran Adam. "Boleh tak kalau kita bercakap berdua aje?"
"Tak boleh. Mana ada Mia, ada aku sekali," Adam sampuk sebelum aku boleh menjawab soalan Naufal. Hatiku berasa selamat dengan kata-kata Adam. Aku rasa seperti diriku dilindungi.
Naufal menjeling tajam ke arah Adam. Dia geram dengan sikap Adam yang berkeras ingin berada di sebelahku. Beberapa kali juga dia berdecit, tetapi Adam tidak mengambil peduli walau sedikit pun.
"Naufal nak minta maaf dekat Mia..." Suara Naufal dengan perlahan. Wajahnya menunduk memandang lantai.
"Dah, Mia jalan. Tak payah dengan mamat poyo ni minta maaf. Buang masa Mia aje," Adam menepuk bahuku dan secara spontan aku mengangkat kaki dan beredar pergi bersama dengan Adam.
Aku ingin menoleh ke belakang dan aku ingin mengatakan segala isi hatiku kepadanya. Apa yang aku rasakan dan alami ketika aku di kala susah. Sebelum aku sempat menoleh, aku mendengar Adam bersuara di sebelahku. "Jangan pandang dia. Kalau dia betul kawan kau, dia tak akan termakan dengan kata-kata Farah. Farah dah banyak kali buruk-burukkan kau. Kau aje yang tak dengar. Aku dengar, Mia. Percayalah cakap aku."
Nafasku rasa tersekat. Tidak aku sangka Farah begitu keji orangnya. Aku menarik nafas dalam-dalam untuk menguatkan semangatku dan berlalu tanpa menoleh ke arah Naufal yang penuh dengan kekesalan.
Betul kata Adam... Kalau Naufal benar-benar kawan aku, dia tidak akan terpedaya dengan kata-kata Farah. Aku cuba bertanya kepada Adam apa yang Farah katakan dan burukkan tentang aku kepada Naufal, tetapi dia hanya berdiam diri.
Katanya, "Kau tak perlu tahu. Semua tu dah lepas."
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...