Aku keluar dari tandas menuju ke kantin sekolah sambil mengusap kepalaku sebelah kanan. Boleh tahan keras bola itu! Dengan langkah yang berat, aku pun duduk di bangku-bangku di kantin.
Sudah puas aku mengusap kepalaku, aku mengusap lutut kananku. Sekali-sekala, aku mengelap peluh yang menyimbah di seluruh wajahku.
Sedang aku mengelap peluhku, ada tangan yang menghulurkan secawan air ais milo kepadaku. Aku pun mengangkat wajahku. Naufal!
Wajahnya aku tenung. Hatiku berasa tenang sekali menatap wajah manis itu. Aku mengambil cawan tersebut lalu meletakkannya di atas meja.
"Kepala dah okey?" Suara lembutnya bertanya.
Aku tersengih. "Semuanya salah kau! Aku dah kata biar aku berdiri dekat belakang. Kan aku kata aku tak nak main!"
Walaupun aku sedang berbicara dengan Naufal, mataku tercari-cari kelibat Afiq. Ya, aku sedari Afiq ingin menghampiri aku. Namun, kehadiran Naufal secara tiba-tiba membuatkan langkah Afiq mati. Akhirnya, Afiq duduk di bangku yang berada dua meja di belakangku.
"Aku cuma nak kau keluarkan peluh kau. Yalah, kau ni jarang sekali nak bersukan atau bersenam. Asyik makan sahaja!" Naufal duduk di sebelahku sambil tersenyum manis.
Kali ini, mata Afiq dan mataku bertemu. Untuk seketika, kami berpandangan. Debaran di dada mula terasa. Apakah perasaan ini?
Cubitan di pipiku membuat aku tersedar. "Kau pandang apa tu? Khayal eh?"
Naufal ingin menoleh ke arah Afiq namun aku dengan segera menolak bahunya agar dia tidak memandang ke arah tersebut. "Mana ada!"
Naufal menggelengkan kepalanya sambil ketawa kecil. Tawanya mencuit hatiku. Naufal sudah selesa dengan aku? Ah, aku rasa seperti rapat sekali dengan Naufal apabila dia ketawa bila bersama dengan aku.
---
"Mia, aku tengok kau dengan Naufal macam rapat sahaja.." Suara Farah, rakan sekelasku memulakan bicara ketika aku sedang membuat latihan matematik setelah habis waktu sekolah di dalam bilik darjah.
Coretan aku terhenti. Aku menoleh ke arahnya. "Macam yang kau nampak. Kenapa?"
Entah kenapa, aku berdebar-debar. Eh eh minah ni, jangan cakap dia nak suruh aku jadi jambatan cinta dia sudah! Daripada menjadi jembatan cinta, lebih baik aku goda-goda Naufal untuk diriku sendiri. Hmph!
"Hehehe, sebenarnya aku dah lama menaruh perasaan dekat dia. Aku tahu dia pun ada perasaan yang sama dengan aku. Tolong aku, boleh?" Suara Farah menjadi lembut sekali.
Aku memerhatikan diri Farah. Wajahnya bersih, sentiasa bersenyuman dengan orang-orang di sekelilingnya. Ramai cikgu-cikgu suka berborak dengannya. Senang kata, dia boleh bergaul dengan semua orang.
Mukanya manis dan yang paling penting, dia memang sepadan dengan Naufal berbandingkan dengan aku. Maklumlah, aku sedar bahawa aku tidaklah selangsing Farah. Aku berisi manakala tubuh kecil Farah memang sesuai berganding dengan Naufal.
Keluhanku kedengaran. Farah menggigit bibirnya. "Boleh ke, Mia?"
Aku mengangguk sambil bersambung membuat latihanku. "Nanti lepas ni, aku nak jumpa Naufal. Kau ikutlah sekali."
Farah memelukku lalu beredar keluar ke tandas. Fikiranku tiba-tiba berserabut. Tulisanku terhenti. Penaku dilepaskan dari genggamanku. Sejujurnya, aku terganggu dengan permintaan Farah.
Patutkah aku yang meluahkan perasaan aku dahulu? Akan tetapi, aku takut andai kata Naufal menolak perasaan yang wujud untuk dia. Lagipun, kita masih remaja. Umur kita baru mencecah 16 tahun.
Aku sendiri belum pasti jika Naufal Iskandar adalah lelaki idamanku. Umur aku masih mentah. Akhirnya, aku mengeluh sambil mengemas barang-barang sekolahku.
Telefon bimbitku berbunyi, tanda ada pesanan. Aku buka lalu melihat bahawa ada dua pesanan, satu dari Afiq dan satu lagi dari Naufal. Walaupun pesanan Naufal tiba dahulu, aku membuka pesanan dari Afiq.
Mia, esok jangan lupa aku ada game. Datang tau
Aku mengukir senyuman. Ya, mana mungkin aku lupa bahawa esok Afiq akan bertanding di dalam sepak takraw peringkat akhir. Ini adalah kali terakhir dia dapat mewakili sekolah sebelum memberi sepenuh perhatian pada pelajaran. Aku pun membalas.
Tengoklah dulu kalau aku bangun
Sesudah itu, aku membaca mesej Naufal pula.
Dh habis training. Jumpa dekat luar gym
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...