Bab 34

43 1 1
                                    

Beberapa kali aku mencuri pandang ke arah Naufal yang tidak lepas amati diriku sepanjang hari di sekolah. Aku tahu, dia mengharapkan agar aku akan mendekatinya dan mendengar penjelasannya itu.

Luka-luka di tubuh belakangku sudah hampir pulih, tetapi Afiq masih berdegil ingin membawa beg sandang hitamku. Tiada gunanya lagi untuk aku terus bertekak dengan Afiq hanya kerana hal beg sandangku itu.

Hatiku dilanda rasa gelisah. Jiwa ini teringin sekali untuk menolak kegelisahan itu, tetapi ia terlalu berat untuk ditolak. Berhenti! Berhentilah Naufal! Berhenti daripada terus memandangku seolah-olah kau telah menyakiti hatiku.

Ya, memang betul hati ini terluka. Akan tetapi... Untuk apa? Ini semua berlaku kerana keputusan yang dia ambil sendiri. Dia yang putuskan untuk mempercayai Farah dan bukan aku! Dia yang putuskan untuk tidak memintaku untuk menjelaskan semuanya kepada dirinya! Dialah.. Yang mengambil langkah untuk terus menjauhi aku ketika aku memerlukan kehadirannya.

Silapku hanya satu. Aku akui, aku tidak seharusnya menjauhinya secara tiba-tiba. Keputusan itu aku buat tanpa berfikiran panjang. Akibat itu, Farah telah pun mengambil kesempatan dan mendekati Naufal.

Loceng yang berdering kuat membuatkan hati yang dilanda gelisah menjadi lega. Akhirnya, kelas terakhirku sudah tamat. Memandangkan peperiksaan besar hampir tiba, cikgu-cikgu sudah membuat keputusan untuk menghentikan kelas-kelas tambahan.

"Mia, aku nak pergi tandas kejap. Tunggu aku dalam kelas. Nanti aku datang balik. Kita balik sama-sama," Afiq pun beredar bersama yang lain-lain untuk ke tandas yang berdekatan.

Aku menggelengkan kepalaku sambil duduk di bangku biru gelapku. Kalahkan perempuan! Kalau seorang pergi ke tandas, yang lain semua membontot sahaja. Walaupun begitu, karenah mereka membuatkan aku geli hati. Terhibur juga hati ini dengan kelakuan mereka.

BUM!

Bahuku terhinjut akibat bunyi tersebut. Rupa-rupanya, Naufal meletakkan beg sandang hijau gelapnya itu di atas mejaku. Mata kami bertemu. Tegang dan tajam.. Akan tetapi, terselit juga kesedihan yang tidak dapat diluahkan.

Sudah seharian kita berada di dalam sekolah, namun seragam biru terang Naufal tetapi kemas dan rapi. Rambutnya yang pendek dan bersikat tepi membuatkan auranya bersinar.

Sekali lagi aku terpanah.. Dengan penampilannya dan juga matanya yang redup. Aku rasakan waktu bagaikan terhenti. Yang ada di saat ini hanya aku dan dia saling bertukar pandangan berlatarkan bilik yang gelap.

Jangan terpedaya dengan pandangan matanya, Mia! Itu semua tidak penting kalau dia tidak mempunyai kepercayaan terhadap diri kau. Sayangi diri kau, Mia. Mahukah kau berada di sisi seseorang yang tidak mempercayai dirimu?

Mahukah kau berada di sisi seseorang yang tidak mahu membela dirimu? Mahukah kau berada di sisi seseorang yang tidak mahu pun mendengar penjelasan daripada dirimu sebelum membuat andaian?

"Kenapa Mia tak bilang? Yang Mia tak bersalah?" Pertanyaan daripada Naufal menarik aku semula ke alam nyata.

Aku menghela nafas. "Entah, masa tak mengizinkan? Mungkin juga sudah tertulis."

Penuh sungguh rasa bersalah di mata Naufal. Ya, di hadapanku ini adalah Naufal yang pernah rapat denganku. Dia menjadi Naufal yang menunjukkan dirinya sebenar. Aku dapat membaca perasaannya sekarang.

"Kau kejam," mataku sudah beralih memandang ke lantai. Sebak di dada mula terasa. "Sampai hati kau buat andaian yang macam-macam."

Aku cuba mengangkat wajahku, namun kelibat Naufal sudah tidak kelihatan. Mataku terbeliak melihat bahawa Naufal sudah berlutut di hadapan sambil menahan airmatanya yang bertakung. "Naufal salah.. Naufal tak patut buat andaian Naufal sendiri tanpa mendengar penjelasan Mia."

Detik ini, aku sedar bahawa cara perbualanku tiada kemesraan lagi. Dan aku juga sedar bahawa Naufal masih ingin memperbetulkan hubungan kami. Aku menjadi buntu. Tawarnya hatiku terhadap dirinya seperti mana tawarnya diriku terhadap abah.

"Kata-kata lembut melunakkan hati yang lebih keras dari batu, kata-kata kasar mengeraskan hati yang lebih lembut dari sutra," aku mengutip daripada kata-kata bijak dari Abu Hamid Al Ghazali.

Afiq dan kawan-kawanku yang lain muncul di pintu kelas. Naufal dengan segera bangun dan berdiri, raut wajahnya cuba dikawal seperti biasa. Dia mengambil begnya dan disandangkan di bahu kanan.

Hatiku berdegup kencang. Aku berharap sangat-sangat Afiq dan yang lain-lain tidak mencari gaduh dengan Naufal. Padaku, semuanya sudah selesai apabila Cikgu Nora memaklumkan kelas tentang perkara yang benar.

Tangan Afiq mencapai beg sandangku tanpa bertukar pandangan dengan Naufal. "Jom, balik."

"Kenapa Afiq kena bawa beg Mia? Mia tak boleh nak bawa sendiri ke? Dah terlebih manja bila dengan Afiq?" Soalan-soalan Naufal secara spontan itu membuat Afiq menoleh dan menarik kolar seragam Naufal.

Afiq bagaikan gunung yang hanya tunggu masa untuk meledak. "Untuk pengetahuan kau, badan Mia luka. Abah dia pukul dia teruk. Sebab itulah dia tak datang sekolah untuk seminggu masa tu. Bukan sebab dia rasa malu atas sebab memfitnah kau, kata kau ni tak cukup jantan nak luahkan isi hati kau, bodoh!"

Raut wajah Naufal berubah. Dia terkejut mendengar pernyataan Afiq. Namun belum sempat dia boleh menjawab, Afiq sudah menarik lenganku dan beredar keluar daripada terus berada di dalam bilik darjah tersebut.

Andainya Kau TerimaWhere stories live. Discover now