Bab 57

64 2 0
                                    

"Saja-saja aje Haikal masuk bilik Mia," Aku melangkah setapak demi setapak ke arah Haikal yang sedang berdiri di luar koridor rumah, sambil melihat pemandangan luar yang luas.

Haikal memusingkan badannya dan memandang diriku. Pandangan matanya penuh cahaya, wajahnya kelihatan begitu cerah seperti baru sahaja mengambil wudhuk. Walaupun kulitnya sebernarnya seperti lelaki Melayu lain yang berwarna coklat.

Dia kelihatan begitu segak dengan baju Melayunya yang berwarna hitam. Walaupun dia tidak memakai sarong dan songkok, dia masih kelihatan menawan sekali di mataku. Aku masih memerhatikan setiap inci mukanya. Aku belum puas lagi meneliti mukanya itu.

"Janganlah tenung saya macam tu. Nanti saya terus tarik awak bawa jumpa tok kadi pula," Haikal tersengih. "Saya bukannya sengaja nak terjah bilik awak, tapi suara tangisan awak buat hati saya susah."

Aku tertunduk. "Maaf, Mia susahkan hati Haikal."

Degupan jantungku berlagu kuat apabila Haikal mengangkat daguku. Renungan matanya begitu tajam, tapi penuh dengan cinta. "Tak susah sebenarnya.. Kalau awak bukakan hati awak dan terima saya. In shaa Allah, saya akan berada di sisi awak.. Dulu, sekarang dan selamanya."

"Tapi Mia tetap takut.." Airmataku berlinangan di pipi.

Haikal membersihkan wajahku yang basah. "Awak pernah nampak tak saya tinggalkan solat saya selama mana awak kenal saya?"

Aku menggelengkan kepalaku.

"Macam mana saya jaga solat saya, in shaa Allah, macam itu juga saya jaga awak. Saya tahu saya tak sempurna, dan mungkin melakukan kesilapan. Dan sebab itulah, saya perlukan awak untuk memperbetulkan setiap kesilapan saya. Tegur saya jika saya salah," Haikal menarikku ke dalam pelukannya. "Mia, kalau Afiq datang dan luahkan perasaan dia.. Awak terima tak?"

Sekali lagi aku menggelengkan kepalaku.

Haikal mengeratkan pelukannya."Tak sabar saya nak salam tok kadi nanti. Saya nak bertengkar dengan awak, bermanja dengan awak, tengok maharaja lawak dengan awak, peluk awak, sayang awak, ada anak dengan awak..."

Dehaman seseorang membuatkan kata-kata Haikal mati dan meleraikan pelukannya. Terkejut aku apabila melihat adikku, Pak Busu dan abah sedang menyaksikan adegan kami.

Haikal dan aku hanya mampu menunduk malu.

"Err... Haikal minta diri dululah. Assalamuailaikum," Haikal menyalam tangan abah dan Pak Busu lalu membuka langkah seribu. Aku pula cuba membuat muka selamba dan masuk ke dalam rumah.

Deringan telefon bimbitku membuatkan aku berlari-lari anak ke dalam bilik. Aku mencapai telefon bimbitku dan menjawab tanpa melihat nama di skrin telefon. "Hello?"

"We need to meet, Mia."

---

Hatiku berbelah bagi. Dahulu, saat inilah yang aku nanti-nantikan. Gembirakah aku? Andai dia melafazkan kalimah cintanya di suatu ketika dahulu, mungkin aku gembira. Tetapi sekarang? Mengapa hatiku seakan-akan geram apabila dia meluahkan bibit-bibit cinta yang sudah lama aku cuba tepis?

Selama ini aku berfikir bahawa perasaan yang hadir suatu ketika dahulu hanyalah sekadar cinta monyet dan ia bertepukkan sebelah tangan. Kenapa baru sekarang dia meluahkan isi hatinya? Kenapa baru sekarang?!

Setiap malam aku terbayang-bayang selama bertahun-tahun. Wajah dirinya yang aku sangat sayang. Hanya dirinya yang bertakhta di hatiku. Tetapi bagaimana sekarang? Fikiranku berserabut.

Aku mengepalkan kedua-dua tanganku, menahan geram. Marah, ya aku marah! Kesal, aku kesal dengan dirinya. Dia sudah terlambat! Aku sudah membuat keputusan untuk memberi peluang kepada bakal suamiku.

Aku merenung dirinya yang sedang menatap wajahku dengan penuh harapan di hadapanku. Aku singkap kenangan manis suatu ketika dahulu bersama dirinya. Sayang? Ya, aku pernah menyayanginya.

Rindu? Aku sememangnya rindu dengan kenangan-kenangan itu. Tetapi mahukah aku terus menaruh harapan disebabkan kenangan lalu? Kenangan yang kian menjauh dari masa kini.

"Awak.. Tunang saya pernah bertanya andai kata awak meluahkan perasaan awak kepada saya, apa yang akan saya lakukan. Adakah saya akan terus kekal setia bersamanya, atau memilih untuk berada di samping awak," aku memulakan bicara.

Hatiku pilu apabila melihat matanya mula berkaca. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?

"Berilah saya peluang, Mia. Saya tahu saya dah terlambat, tetapi selagi awak belum terikat dengannya bererti saya masih ada peluang. Saya tahu awak sayang saya. Begitu juga dengan saya. Kita saling menyayangi. Silap saya hanya menunggu masa yang tepat sehingga saya terlewat untuk menarik awak ke dalam pangkuan saya," suaranya bergetar-getar kerana takut kehilanganku.

Ya, aku boleh melihat kesungguhannya meluahkan segala perasaan yang terpendam di dalam hatinya. Namun, aku juga boleh melihat kesungguhan hati tunangku yang sentiasa berusaha memberi aku rasa disayangi, dilindungi, dihormati dan juga dirindui. Bolehkah dia membuat aku rasa sebegitu andai kata aku membuat keputusan untuk menerimanya?

"Saya faham, tetapi kenapa baru sekarang? Tahukah awak yang saya akan bernikah dalam tempoh masa sebulan?" Tanyaku dengan sedikit rasa amarah yang terpendam jauh ke dalam lubuk hatiku.

Dia mengeluh. "Ini semua salah saya. Bila saya dapat tahu tentang pertunangan awak, saya jadi resah. Selama ini, saya sentiasa merindui awak, merindui kenangan-kenangan manis kita bersama. Hati saya gelisah bila awak tak pernah pergi beraya dengan kawan-kawan sekelas kita. Bila saya tahu saya akan berjumpa dengan awak, hati saya melonjak gembira. Perasaan ghairah itu begitu membuak sehingga saya akan tersenyum bersendirian. Awak, selama ini cinta awak bukan bertepukkan sebelah tangan."

Dadaku mula berasa sebak. Mataku mula berkaca. Hatiku merintih. Tersilap langkahkah aku untuk menerima pertunangan itu? Tidak, kau tidak silap! Minda aku memarahi hatiku. Lelaki di hadapanmu ini pernah membuat kau ternanti-nanti. Bagaimana jika dia membuat kau menunggunya lagi sesudah mengikat tali pernikahan? Sanggupkah kau untuk terus menantinya?

Kelibat yang jauh di belakang lelaki di hadapanku ini membubuhkan rasa bersalah. Raut wajahnya berubah kecewa, sepertinya dia sudah menduga bahawa aku akan berbelah bagi.

Dia mengusap dahinya dengan tangan kanan sambil mengeluh kecil di sudut yang tersembunyi itu. Perhatianku sudah beralih kepada sang tunang. Lama aku memerhatikannya.

Rupa-rupanya, airmata tunangku menitis satu persatu. Jiwaku terhiris melihat airmatanya yang mula banjir. Sang tunang meraup wajahnya, menepis airmata yang mengalir berterusan.

Aku dapat melihat bahawa dia sudah mengalah. Akhirnya dia bangun dari sofa di sudut yang tersembunyi dan membuka langkah keluar dari kafe Coffee Bean.

"Awak, saya kena pergi," aku mencapai beg tanganku yang berwarna putih dan mengejar tunangku.

Sebaik sahaja aku keluar dari kafe, aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Langkah seribu sudah aku buka apabila melihat sang tunang. Aku menarik lengannya yang berlapikkan baju kemeja lengan panjang yang berwarna ungu gelap.

"Bila awak sampai?" Itu soalan pertamaku.

Dia tidak menjawab. Sebaliknya, dia hanya berdiam diri. Aku boleh merasa bahawa dia sudah tidak bermaya lagi. Dia sudah mengalah sepenuhnya.

"Awak tak sayang saya?" Tanyaku lagi.

Kali ini, airmatanya mengalir. "Kalau awak lebih bahagia bila bersamanya. Saya redha. Saya anggap jodoh kita sampai di sini sahaja."

"Hati saya hanya ada pada Abir Haikal," jelasku dengan tegas. "Bukan Syafiq Sufiyan."

Andainya Kau TerimaWhere stories live. Discover now