Bulan bagaikan tergantung di langit malam. Aku melipatkan sejadahku lalu melabuhkan punggung di kerusi belajarku. Butir-butir bintang yang menghias dada malam mengerdip cantik.
Lamunanku terbang jauh bersama malam yang bertahta. Kesepian mengcengkam perasaan. Tidak aku sangka Farah sanggup memburuk-burukkan aku sehingga membuatkan hubungan aku dan Naufal menjadi semakin renggang.
Kesejukan malam menusuk tulang. Sesekali aku mengusap lenganku untuk memanaskan badan. Angin malam bertiup berkali-kali, membuatkan fikiranku melayang lebih jauh.
Benarlah kata cikgu. Tahun peperiksaan besar mengandungi dugaan-dugaan yang tidak terduga. Perkara-perkara yang terjadi sememangnya di luar jangkaanku. Aku beruntung, kerana aku dianugerahkan kawan-kawan yang baik di sebalik dugaan-dugaan yang melanda. Di dalam setiap dugaan, tersembunyi sejuta hikmat dan rahmat.
Kehidupan ini adalah satu medan perjuangan. Di sini, bukanlah tempat untuk aku berehat. Dunia bukan tempat rehat. Hanya syurga. Liku-liku hidup, sama ada remaja atau pun dewasa, kita harus melaluinya dengan penuh ketabahan.
Pejam celik, pejam celik dan masa untuk menghadapi peperiksaan besarku telah tiba. Aku tidak tahu bagaimana kawan-kawanku yang lain mengulang kaji kerana aku lebih selesa mengulang kaji pelajaranku bersendirian. Aku sudah serik!
Pernah sekali aku mengulang kaji bersama mereka berempat. Akhirnya, kami berlima menonton drama-drama Melayu di komputer riba milik Afiq di rumahnya. Tidak sanggup untuk aku melalui pengalaman itu. Membuang masaku sahaja.
---
"Yay, last paper dah habis! Sekarang kita boleh lepak sampai kena sepak!" Hafiz bersorak sambil membuang semua nota-notanya ke dalam tong sampah di luar dewan sekolah.
Kami semua menggelengkan kepala. Ceria sekali wajah Hafiz detik ini. Kalau orang lain tidak tahu, pasti mereka fikir dia baharu sahaja terkena nombor ekor kuda! Haikal, Adam dan Afiq mengheret Hafiz sehingga ke luar perkarangan sekolah.
"Lepaslah, tahulah aku ni memalukan kau orang," Hafiz menolak lengan-lengan mereka sambil mencebikkan bibirnya tanda rajuk. Dilemparkan kepada mereka jelingan yang paling tajam sehingga menimbulkan rasa geli hati di dalam diri mereka.
Haikal menampar lembut pipi Hafiz. "Weh, jangan jeling-jeling kita. Geli aku! Dah, dah. Aku dapat tahu yang sekolah kita ni ada anjurkan acara rumah hantu untuk pelajar-pelajar akhir tahun macam kita. Nak pergi tak?"
"Hah? Haunted houselah maksud kau? Kau orang ajelah yang pergi. Aku takutlah," aku menolak keras cadangan Haikal.
Kali ini, bahuku ditolak mereka berempat. Walaupun tidak kuat, langkahku ke belakang akibat tolakan mereka. Adam cuba menyedapkan hatiku. "Nak takut buat apa? Kita ni empat lelaki tau! Kalau kita ni tak boleh nak 'lindung' kau dari hantu-hantu tu semua, tak jantanlah kita!"
Mereka berempat bersorak riang dengan kata-kata Adam. Aku hanya mampu mengeluh dengan reaksi mereka. Apalah nasibku... Itulah, padahnya kawan dengan lelaki. Cara mereka meluangkan masa bersama sungguh berbeza dengan yang perempuan.
"Kalau aku terkencing dalam seluar aku macam mana?" Aku menaikkan keningku. Sengaja aku ingin mencabar Adam.
Adam tersengih. "Kalau kes tu, aku pakaikan kau pampers dulu sebelum masuk rumah hantu nanti!"
Geram aku dengan jawapan Adam. Mereka ketawa terkakah-kakah dengan jawapan Adam. Aku menggigit bibir bawahku, risau tentang apa yang akan terjadi di rumah hantu itu nanti.
Kakiku berat untuk pulang ke rumah. Hanya tinggal beberapa tapak lagi dan aku akan tiba di hadapan rumah. Aku dapat melihat pintu pagar dan pintu kayu dalam sudah terbuka.
Telingaku menjadi peka apabila aku semakin hampir dengan rumahku. Aku mengeluh ketika mendengar suara abah sedang berborak-borak dengan adikku dan mak. Aku memberi salam seperti biasa setelah menanggalkan kasut sekolah dan stokinku di luar rumah.
Aku memerhatikan suasana di dalam rumah. Wajah abah, mak dan Rizal kelihatan ceria sekali. Dahiku berkerut, memikirkan pelbagai alasan untuk mereka bertiga menjadi seceria ini.
Sudah lama aku tidak melihat senyuman lebar abah. Di saat ini, senyuman lebar abah mengingatkan kembali detik di mana abah menunjukkan kasih sayangnya. Senyuman itu mengingatkan aku bahawa abah adalah seseorang yang penyayang dan prihatin.
Mataku tajam menangkap buku biru kecil di tangan adikku, Rizal. Otakku terus teringat bahawa hari ini adalah hari keputusan adikku. Aku jadi ragu-ragu. Patutkah aku duduk bersama mereka sedangkan aku masih ingin abah tahu tentang rajukku?
"Akak! Keputusan adik dah keluar. Tengok ni," Rizal berlari ke arahku. Buku kecil itu bertukar tangan. Aku meneliti keputusan adikku. Wah... Tidak ada pun satu mata pelajarannya yang mendapat grade C.
Aku cuba mengawal perasaanku. Kepalaku dianggukkan beberapa kali sebagai tanda aku sudah maklum dengan keputusan akhir tahunnya. Rizal terus menarikku ke dalam dakapannya dengan erat.
Dia berbisik. "Terima kasih, akak. Sebab banyak bagi dorongan dekat Rizal."
Aku menepuk bahuku sambil mengangguk. "Dah, dah. Akak tak boleh bernafas ni."
Rizal tergelak kecil dan meleraikan dakapannya. Aku tidak menoleh ke arah mak dan abah. Mataku masih melekat ke arah adikku. Aku menguatkan suaraku agar abah dan mak boleh mendengarnya. "Minggu depan akak nak keluar dengan kawan-kawan akak. Kita nak pergi haunted house event dekat sekolah. Lepas maghrib akak gerak. Akak balik lambat. Sebelum pukul dua belas malam akak sampai rumah."
Baru sahaja aku membuka langkah untuk memasuki bilik, suara abah mematikan langkahku. Abah hanya tunduk, menekur lantai. "Abah izinkan."
Aku menghela nafas. Abah bangkit dan jalan mendekatiku. "Abah percaya anak abah pandai jaga diri dia. Pandai jaga maruah dia. Apa-apa, kamu jangan lupa telefon mak atau abah, ya?"
Abah mengusap pipiku sambil mengujarkan kata-kata yang begitu lembut hingga menusuk ke kalbu. Roboh terus dinding yang aku bina untuk beberapa minggu agar abah tidak bisa menembusinya.
"Abah tak takut ke Mia jadi perempuan yang tak senonoh bila keluar dengan Afiq, Haikal, Hafiz dan Adam?" Aku benar-benar ingin memastikan bahawa abah sudah memberi kepercayaan yang penuh kepada diriku. Mataku sudah berkaca.
Gelengan abah meruntuhkan segala kebencian yang terisrat di dalam hati. "Mia bukan perempuan yang macam tu. Anak abah kenal mana yang salah dan mana yang benar."
Aku berlari ke pelukan abahku dan menangis hiba. Habis ronyok baju kurung abah yang berwarna kuning emas dengan airmataku yang berlinangan berterus-terusan. Aku meleraikan pelukan tersebut.
Abahku mengelap setitis airmatanya yang mengalir di pipi. Aku menoleh ke arah mak dan Rizal. Mereka berdua tersenyum kerana kami sekeluarga akan kembali ceria seperti dahulu.
Abah, percayalah. Mia tidak mungkin akan berbuat sesuatu yang akan mengaibkan nama keluarga kita. Betul, bah. Anak abah ini kenal yang mana salah dan yang mana betul.
Rizal, akak bangga dengan kau. Kau dah tunjukkan dekat akak yang usaha dan dorongan boleh merubah segala-galanya. Terima kasih kerana sudi menerima nasihat akak. Akak tahu, tidak semua manusia boleh menerima teguran. Alhamdulillah, teguran akak berkesan, dik.
Mak, Mia seoranglah anak perempuan mak. Akan Mia tunjukkan di luar sana bahawa Mia adalah seorang wanita yang serba boleh. Bukan hanya sekadar bijak dalam pelajarannya, tetapi juga berbudi pekerti, pandai memasak dan membuat kerja rumah.
Masa hadapan, akan aku cuba tempuhi segala dugaan yang melanda selagi tidak melebihi batasku. Masa hadapan, akan aku corakkan yang indah-indah belaka. Biarlah aku berduka dan bersusah sekarang, asalkan aku bersuka dan bersenang di kemudian hari.
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...