Aku berhenti mendengar lagu PUSPA nyanyian ST12 dengan alat pendengarku yang berwarna putih. Disimpannya telefon bimbitku bersama alat pendengarku ke dalam beg sandang hitam kecilku.
Mataku berkeliaran, menikmati suasana restoran makanan 89.7 Supper Club. Adikku masih membelek-belek menu tersebut manakala orang tua aku sibuk bersembang. Perhatianku kini beralih ke arah kaca televisyen di hadapanku.
"Okey, adik dah tahu apa yang adik nak makan," Rizal menutup buku menu hitam dan melambai tangan kanannya ke arah salah seorang pelayan lelaki yang sedang memakai bandana hitam di kepalanya.
Pesanan kami sudah pun diambil. Sebaik sahaja pelayan lelaki itu beredar, abah memberi isyarat mata kepada aku dan Rizal agar kami memberi perhatian kami kepadanya.
Wajah abah berubah. Begitu juga mak. Hatiku kurang senang dengan raut wajah mereka, sepertinya ada sesuatu yang tidak baik ingin disampaikan abah dan mak. Aku memerhatikan raut wajah abah. Matanya tajam memandang Rizal.
Kepala Rizal terus tunduk, rasa bersalah. Keningku berkerut. Kenapa suasana berubah tegang dengan sekelip mata?
Aku mencapai pergelangan tangan abah yang duduk di sebelahku. "Kenapa ni, abah?"
"Kenapa?" Mata abah beralih ke arahku lalu beralih semula ke arah adikku. "Kenapa ya, Rizal? Apa kamu rasa?"
"Abang, sudahlah. Kita dekat luar ni. Ramai mata yang memandang, abang." Wajah mak mula berubah risau.
Abahku mengeluh. "Tak boleh ke kamu jadi macam kakak kamu? Aku pun tak tahulah apa yang kamu belajar dekat sekolah sampai keputusan sekolah kamu jadi teruk macam ni."
Suara abah perlahan tetapi tetap tegas. Aku boleh merasa ketegangan setiap ayat yang abah lontarkan. Aku menoleh ke arah adikku.
Baru kali ini aku sedar bahawa setengah tahun sudah berlalu. Keputusan tengah tahun sudah keluar. Pasti abah dan mak tidak berpuas hati dengan keputusan peperiksaan Rizal.
"Abah, ini baru separuh tahun. Adik masih ada masa nak mempertingkatkan diri dia," aku cuba menenangkan keadaan, memegang lengan kiri abah.
Abah meraup wajahnya dengan kedua-dua tangannya, menyebabkan leraianku terlepas secara spontan. Kelihatannya, abah begitu kecewa dengan keputusan Rizal. Mak hanya mampu menunduk sambil mengeluh manakala adikku hanya memuncungkan bibirnya untuk menunjukkan kesedihannya.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah sesudah makan, kami sekeluarga tidak bersuara walau sekali pun. Aku cuba menghampiri Rizal, tetapi adikku malah berasa kurang selesa apabila aku berada di sampingnya.
Sebaik sahaja kami tiba di rumah, Rizal terus berjalan pantas masuk ke dalam bilik lalu menghempaskan pintu dan berkunci. Abah melabuhkan punggungnya di sofa ruang tamu sambil menekan alat remote untuk menghidupkan televisyen. "Memberontaklah anak kesayangan awak tu! Pantang kalau saya banding-bandingkan dia dengan kakak dia."
Kakiku melangkah masuk ke dalam bilik dan menutup pintu. Badanku bersandar dengan pintu bilikku yang berwarna coklat sambil mendengar kata-kata abah. Dahiku berkerut. Aku menggaru dahiku yang tidak gatal.
Keluhanku kedengaran. Sudah lama abah tidak membanding-bandingkan aku dan Rizal. Kenapa harus dia berbicara sebegitu? Tahukah dia bahawa apa yang diluahkan akan mengakibatkan hubungan aku dan Rizal menjadi renggang?
Aku mencapai tuala merahku dan masuk ke dalam bilik mandi untuk bersihkan diri. Padaku, bilik mandi adalah tempat yang paling aku gemari kalau fikiranku berserabut. Air yang membasahi tubuhku banyak membantu diriku untuk bertenang.
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...