Bab 16

35 0 0
                                    

"Alamak..." Keluhan Afiq membuatkan aku menoleh pandangan ke arahnya sambil terus menepuk Asyran yang sudah lama terlena di atas katil Afiq.

Dengan perlahan-lahan, Afiq bangun dan mencapai selimut yang baru kerana selimut yang satu lagi sudah terkena muntah Afzal. Aku pula menarik selimut tersebut agar kedua-dua kembar itu tidak kesejukan kerana kipas angin Afiq yang berputar tetap dingin walaupun sudah diperlahankan.

Afiq mengangkat selimut yang dipenuhi muntah dan membawanya ke bilik air di dapur. Melihat kedua-dua kembar sudah terlena diulit mimpi, aku dengan perlahan-lahan menuju ke dapur.

Ketika itu, Afiq sedang membilas selimut tersebut dengan air paip. Diletakkan selimut yang berwarna biru itu ke dalam besen yang berwarna hijau gelap. Wajah Afiq berkerut. Aku tahu dia kepenatan melayan kedua-dua adik saudaranya. Berbandingkan dengan aku, Afiq banyak menghabiskan masanya bermain dengan mereka kerana aku perlu memasak dan mengemas rumah.

Aku mencapai serbuk basuh dan pewangi yang berada di balkoni sebelah bilik air dan masuk ke dalam bilik air bersama dengan Afiq. Aku melipatkan lengan bajuku yang panjang dan seluarkan.

Afiq memerhatikan sahaja kelakuanku tanpa bicara. Ya, mungkin rajuknya masih belum hilang lagi. Tak sangka, hanya kerana aku memanggilnya busuk, dia sanggup tidak berbual dengan aku selama enam jam!!!

Afiq meletakkan selimut ke dalam besen yang sudah dipenuhi air manakala aku pula meletakkan serbuk basuh dan pewangi. Sebelum melangkahkan kakinya masuk ke dalam besen, Afiq melipatkkan seluarnya.

"Tak payah tolong. Kau tengok-tengokkan si Afzal dengan Asyran dekat bilik," kata Afiq yang sedang memijak-memijak selimutnya ketika melihat aku ingin memijak juga selimutnya.

Aku tidak menghiraukan kata-katanya dan terus sahaja memijak-mijak selimut biru itu dengannya. Aku mahu Afiq berhenti merajuk.

"Jangan merajuk lagilah.." Aku bersuara sambil melihat kakiku dan kakinya memijak-mijak selimut. Aku tahu kalau aku mengangkat wajahku, jarak wajah kami akan menjadi begitu dekat.

Ketawa kecil Afiq kedengaran. "Okeylah, aku tak merajuk lagi. Sampai sanggup basahkan kaki untuk pujuk aku eh?"

Lenguh leherku apabila aku terus menunduk. Aku mengangkat kepalaku. Mata aku dan mata Afiq bertemu. Sesak dadaku buat seketika. Matanya tajam merenungku.

Wajahnya menghampiri wajahku. Sedikit demi sedikit. Aku cuba bernafas dengan perlahan kerana takut didengari Afiq.

Apakah perasaan ini? Kenapa hatiku bergetar di saat wajahnya menghampiri wajahku? Kenapa aku tidak perasan bahawa Afiq juga lelaki biasa yang boleh menghadirkan perasaan yang bergetar seperti ini di dalam hatiku?

"Argh!" Aku menutup wajahku dengan kedua-dua tanganku.

Tawa Afiq memecahkan kesunyian di antara kita. Wajahku berubah merah. Malunya!!!

Aku menumbuk dada. "Jangan buat macam tulah! Malulah aku."

"Malu? Kenapa malu?" Wajahnya semakin menghampiri aku ketika soalan dilontarkan.

Aku menolak tubuhnya dengan tenaga yang sedikit. "Mestilah malu. Kau ni nak buat hati aku bergetar ke?"

Afiq tidak meneruskan perbualan kami. Sebaliknya, dia hanya melemparkan senyuman manis kepadaku. Senyumannya membuatkan aku rasa segan untuk terus memandangnya.

---

"Assalamualaikum," adikku memberi salam sambil menutup semula pintu rumah Afiq. Jam menunjukkan pada pukul sembilan malam.

Tanganku mencekak pinggangku, tanda marah dengan adikku. Kata nak tolong tapi datangnya selepas isyak!

"Dah, dah. Kau balik sudah. Kehadiran kau dah tak bermakna lagi," aku mendakap tubuhku sambil berdiri di hadapan adikku, kali ini bagaikan merajuk kerana dia tidak menetapi janjinya.

"Jangan cakap macam tu, kak. Tadi orang lupa yang orang nak jumpa kawan main bola hari ni. Ni untuk akak," Rizal cuba memujukku dengan mengangkat tangan kanannya. Mulutku ternganga melihat tiga kotak piza. "Jangan merajuk eh?"

"Assalamualaikum.." Aku dan Rizal menjawab salam mama Afiq yang sedang menutup pintu rumah yang dibuka untuk masuk. "Mia, Rizal? Kenapa kamu berdua tercegat dekat pintu ni?"

Aku dan Rizal menyalam tangan mama Afiq. "Ni si Rizal baru datang sebelum mama tadi. Dia ada belikan piza untuk kita semua, tapi kalau mama nak makan nasi, Mia boleh sendukkan nasi dengan lauk yang Mia dah masak siang tadi."

"Lah, ye ke? Tak apalah, mama lagi suka makan nasi. Mia dan Rizal pergi makan sahajalah piza tu. Tak payah susah-susah sendukkan mama. Kamu tu mesti penat menjaga anak saudara mama, lepas tu masak, kemas lagi. Ni mana si Afiq?" Mama Afiq melabuhkan punggungnya di atas sofa empuk di ruang tamu.

Tepat pada masanya, Afiq baru keluar dari dapur setelah menjemur selimutnya di balkoni. "Eh, ma? Baru balik? Dah makan?"

Afiq menyalam tangan mamanya lalu melabuhkan punggung di sebelah. Wajah mama Afiq berkerut. "Kamu ni kenapa macam penat sangat? Kamu buat apa dekat dapur tu?"

"Tak, tadi Afzal muntah dekat selimut Afiq. Itu yang Afiq dengan Mia basuh sendiri lepas tu Afiq sidaikan dekat balkoni tu," jelas Afiq sambil mengurut bahunya sendiri.

Andainya Kau TerimaWhere stories live. Discover now