Bab 45

43 1 0
                                    

Aku menarik dan menghela nafasku. Ya, ini keputusan muktamadku. Aku menekan butang klik setelah membuat pilihan kursus-kursus untuk diplomaku. Sesekali, jari-jemariku mengetuk meja belajarku.

Tepatkah pilihanku? Aku menggelengkan kepala. Sudah, sudah. Aku sudah pun membuat pilihanku. Aku menutup komputer ribaku dan menyebamkan mukaku di atas meja.

Empat bulan.. Di dalam masa empat bulan ini.. Apa yang boleh aku lakukan untuk membantu keluargaku? Walaupun aku tahu gaji abah lebih daripada cukup untuk menampung kami sekeluarga, aku tidak ingin abah berasa yang dia keseorangan di dalam perjalanan ini.

Jam menunjukkan hampir pukul lima petang. Sebentar lagi, abah akan pulang. Aku harus mula memasak. Aku memasuki bilik abah, mana tahu aku dapat terjumpa buku-buku masak arwah mak.

Setiap laci aku bongkari, akhirnya aku terjumpa juga buku yang lama sekali di laci yang paling bawah. Aku mula menyelak halaman buku arwah mak yang warnanya sudah pudar.

Aku mula membuka langkah dan masuk ke kamarku.

---

"Sedapnya, bau. Mia masak apa ni? Dari ruang tamu abah boleh bau," Suara abah kedengaran di ruang tamu.

Aku menjerit. "Abah, jangan masuk dapur!"

Dengan sepantas kilat aku berhenti daripada terus mengalihkan lauk-pauk ke mangkuk. Aku lari ke ruang tamu dan bersalaman dengan abah. Abah mengecilkan matanya, cuba mengagak muslihat apa yang aku ada.

"Mia ada masak lauk istimewa hari ini. Abah mandi dan solat dahulu, ya?" Sengihku lalu menolak tubuh abah dari belakang ke kamarnya.

"Assalamualaikum! Woi, apa ni bau sedap nah?" Kali ini suara adikku kedengaran. Ini lagi satu. Aku menarik lengan kanan adikku dan menolaknya masuk ke dalam kamar.

"Woi, sekurang-kurang jawablah salam orang ni!" Suara lantang adikku sebaik sahaja aku menutup pintu biliknya.

Aku ketawa terkekeh-kekeh. "Waalaikumsalam!"

Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal. Aduh, ingatkan nak buat kejutan buat mereka tetapi nampaknya kejutan itu tidak menjadi. Dengan semangat yang tinggal sedikit, aku menuju ke dapur dan meyediakan lauk-pauk.

Harap-harap, menjadilah lauk-pauk yang aku masak hari ini. Perlahan-lahan, aku mengangkat mangkuk-mangkuk yang dipenuhi dengan lauk ke meja makan. Setelah aku selesai sahaja menghidangkan lauk dan menyediakan pinggan dan juga minuman di atas meja makan, aku mengetuk pintu bilik abah dan Rizal. "Makanan dah siap!"

Abah dan Rizal memulas tombol pintu secara serentak, membuatkan aku terkedu sesaat. Mulut mereka terbuka membuatkan huruf O yang besar apabila mereka melihat lauk-pauk yang tersedia di atas meja.

"Mia masak ikut resepi arwah mak. Harap-harap, menjadilah," ujarku sebaik sahaja abah dan Rizal mula menjamah masakanku.

Abah yang duduk di sebelah kananku mengusap rambutku yang terikat satu dengan tangan kirinya. "Terima kasih."

Matanya berkaca. Aku tahu abah sedang mencuba sebaik mungkin untuk menahan airmatanya daripada terus berlinangan di pipi. Aku faham bahawa dia ingin menunjukkan bahawa dia kuat. Dia harus kuat untuk anak-anaknya.

Usapan abah sedikit sebanyak menyentuh hatiku. Ya Allah, adakah tindakanku hari ini salah? Niatku hanya ingin memberitahu bahawa arwah mak akan sentiasa berada di dalam hati kami semua.

Pandanganku beralih ke Rizal yang duduk berhadapan denganku. Rizal terus menunduk sambil bermain-main dengan nasi dan lauk ayam masak merah yang ada di pinggan. Hatiku semakin sebak. Mungkin, aku sudah tersilap langkah.

Kali ini, aku juga tertunduk. Rasa sebak itu tidak dapat aku tepiskan. Suara Rizal yang serak berjaya membuatkan aku mengangkat wajahku. "Sedap, kak. Sedap macam arwah mak dulu buat."

Andainya Kau TerimaWhere stories live. Discover now