"Naufal? Ada apa telefon malam-malam?" Aku cuba sedaya-upaya untuk bersuara dengan selembut-lembutnya di talian. Harap-harap, suara macam gadis melayu terakhirlah! Hehehe.
Aku tergolek-golek di atas katil, menunggu jawapan si dia. Wahai hati, kenapalah kau berdebar? Tenang, tenang. Seperti monyet kena belacan, aku beralih ke posisi duduk bersila di atas katil lalu berjalan berpusing-pusing di dalam bilikku sendiri.
Keluhan Naufal kedengaran di talian. Eh, macam sedih sahaja bunyinya? Jangan-jangan, yang seorang lagi gagal ujian itu adalah Naufal. Tetapi, tidak mungkin. Setahu aku, Naufal ialah seorang pelajar yang sangat rajin.
Dia lebih banyak meluangkan masa untuk belajar daripada bergaul dengan kawan-kawan sekelasnya.
"Kau pun gagal?" Aku bertanya lembut.
Sekali lagi keluhannya kedengaran. "Aku sedih tengok markah aku."
Ketika itu, aku kembali teringatkan keputusan ujianku. Aku pun mengeluh. Menangis? Aku sudah puas melalak sehariannya.
Aku cuba memberinya semangat seperti mana adikku memberi semangat. "Sudahlah, jangan terlalu bersedih. Ini baru ujian pertama. Kita ada banyak masa untuk mempertingkatkan diri. Kita belajarlah sama-sama. Biar kita saling memberi semangat antara satu sama lain."
Eh, eh apa aku cakap? Lidah main sedap ikut kata sahaja! Oi lidah, yang kau memandai-mandai cakap nak belajar bersama buat apa? Kau pun bukan rapat mana dengan dia! Silap hari tahu kau kena duduk sebelah dia. Biar kau rasa janggal baru padan muka!
Si Naufal itu bukannya kaki borak macam kau. Nanti kau rapat dengan dia, kau pun ikut jadi pendiam macam dia.
"Terima kasih, Mia. Kau dah naikkan semangat aku," ujar Naufal.
"Hahaha, tak ada hal. Eh, esok kau lari kan untuk pertandingan merentas desa?" Wahai lidah, pandai betul kau cari topik untuk berbual.
Naufal ketawa kecil. "Em, sokong aku tau. Jumpa esok. Kita boleh berbual bila nak belajar sama-sama."
"O-oh, okey. Jumpa esok," aku mematikan talian. Tidak aku sangka bahawa aku dan Naufal Iskandar berbual-bual di talian sebentar tadi. Mimpikah aku?
Baru kali ini aku benar-benar berbicara dengannya walaupun sudah tiga tahun aku dan dia rakan sekelas. Teringat akan aku kali pertama aku bertemu dengannya semasa aku berumur 13 tahun.
Hatiku terpaut dengan wajahnya yang seperti dipenuhi dengan cahaya nur. Wajahnya seperti begitu cerah sekali. Sekali-sekala, dia akan mengukir senyuman apabila kawan-kawannya sedang bergurau senda.
Malam sunyi. Gelap tanpa bulan, tanpa bintang dan hujan turun renyai-renyai membasahi bumi. Aku menyelubungi tubuhku dengan selimut tebal. Hari ini, aku alami sesuatu yang sedih dan juga gembira.
Sedih kerana aku gagal dengan ujian pertamaku. Gembira kerana hubungan aku dan Naufal sudah mula rapat. Aku tidak percaya bahawa perkara yang menggembirakan dan menyedihkan boleh terjadi dalam masa satu hari. Mungkin, ini sudah suratan takdir. Kun faya kun. Jadi, maka jadilah.
---
Kakiku melangkah perlahan-lahan menuju ke arah Stadium Politeknik Republic untuk acara pelarian merentas desa. Sambil berjalan, aku menghirup udara segar. Jam tanganku yang menunjukkan pada pukul 7 pagi.
Angin pagi melirih lembut. Suria muda memancarkan sinarnya. Pelajar-pelajar semua sudah mula berhimpun di padang dimana terletak di dalam stadium tersebut.
Aku melambaikan tanganku ke arah sahabatku, Afiq. Aku berjalan gontai menuju ke arahnya dan melabuhkan punggung di atas rumput bersebelahan dengannya.
"Teruk kau nangis semalam? Sampai mata kau bengkak-bengkak macam ni," aku lekas-lekas menutup mataku apabila Afiq berkata begitu.
Dengan manja, aku menolak bahu Afiq. "Janganlah tengok mata aku ni. Malulah. Teruk sangat ke?"
Aku tidak menyedari bahawa Naufal duduk bersila di hadapanku. Apabila Naufal menoleh ke belakang, segaris senyuman terukir di bibirnya. Aku pula hanya mampu membalas dengan mengulum senyuman tipis.
"Oh, mata bengkak juga? Menangis tengok cerita ke semalam?" Aku sengaja bertanya walhal aku tahu sebab sebenar matanya bengkak.
Mata redupnya menjamah mesra wajahku sambil ketawa kecil. "Itulah, cerita sedih sangat."
"Oi, bila masa kau tengok wayang dengan dia?" Afiq berbisik ke telinga kananku.
Aku mengerutkan dahiku. "Hah? Bila masanya aku tengok wayang dengan dia?"
Perbualan kami diganggu Naufal. "Mia, jagakan seluar bila aku lari nanti boleh?"
"Hah? O-okey," Naufal memberi aku seluar sekolahnya apabila dia sudah siap dengan seluar lariannya itu. Oh, dia pakai saiz 28... Hehehe.
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...