Bab 20

42 1 0
                                    


Hari yang aku nanti-nantikan sudah tiba. Inilah kali pertama aku akan keluar bersama Naufal dan menonton cerita baru di pawagam. Perasaan ghairah tidak dapat aku sembunyikan. Sesekali aku akan menutup wajahku dengan kedua-dua tanganku kerana malu.

Dengan sekilas pandang jam di dinding bilik, aku menolak buka pintu almariku dan mengeluarkan semua pakaian-pakaian jalanku. Aku membelek-belek pakaianku satu-persatu.

Keluhanku kedengaran setiap kali aku rasa pakaian yang aku cuba tidak sesuai untuk keluar menonton wayang. Bahuku mula terasa lenguh, memberiku petanda bahawa ia tidak berdaya lagi untuk mencuba pakaian-pakaian yang ingin aku sarungkan.

Aku menjatuhkan punggungku di birai katil sambil menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Telefon bimbitku berbunyi. Mataku terbeliak besar. Jam sudah menunjukkan pada pukul enam petang!

Fikiranku berserabut. Ah, pakai sahajalah apa yang aku selalu pakai. Aku mencapai t-shirt yang berwarna putih bersama seluar jeans dan memakainya. Setelah itu, aku memusing ke kiri dan ke kanan untuk memastikan pakaian yang aku kenakan kelihatan cantik dan tidak selekeh.

Sebaik sahaja aku mencapai beg sandang kecilku yang berwarna hitam dan juga jaketku yang berwarna merah, aku memulas tombol pintu dan berlari ke pintu rumah. Aku sempat mengambil kasut Converse putih sesudah memakai sarung kaki hitam.

"Balik sebelum pukul sepuluh!" Suara mak dengan lantang dari dapur apabila aku menutup pintu pagar rumah.

"Okey!" Jeritku, takut-takut suaraku tidak didengari oleh mak kerana jarak yang jauh.

---

Tanpa membuang masa, aku membuka langkah seribu apabila pintu lif membuka sebaik sahaja tiba di tingkat tujuh. Dengan pantas aku mendapatkan Naufal apabila melihat kelibatnya yang sedang berdiri sambil mendekap tubuhnya dengan kedua-dua tangan.

"Maaf, maaf! Aku lambat, kan? Aku betul-betul tak sengaja." Nafas aku tersekat-sekat kerana berlari tadi. Aku membetulkan beg sandangku dan jaket kerana takut jatuh ke lantai. Aku masih belum berhenti tercungap-cungap. "Ah.. Penatnya.. Sebenarnya.."

Wajah Naufal kelihatan tegang sekali. Dileraikan dekapannya dan memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam saku depan seluar jeansnya sambil mengangkat kaki meninggalkan aku.

Oleh kerana aku sudah termengah-mengah, aku memusingkan badanku memandang ke arah dinding sambil membongkokkan bahuku sedikit. "Aku tahulah.. Yang.. Yang aku lambat. Sebab tu aku nak minta ma-maaf.. Dia tak perlu nak tinggalkan aku macam tu aje.."

Di saat penafasan aku mula kembali stabil, aku menoleh semula memandang khalayak ramai yang sedang menunggu angka pawagam mereka untuk menyala. Kelibat Naufal kelihatan jelas, berjalan menuju ke arahku semula.

Rupa-rupanya, dia membeli air botol mineral dan menghulurkannya kepadaku. "Nah.. Minumlah."

Seluruh tubuhku menjadi beku. Mataku melekat memandang wajahnya. Kini, tiada lagi ketegangan di wajah mulus itu. Wajahnya ketika ini kelihatan tenang sekali. Matanya bersinar sehingga membuatkan hatiku berasa rapuh sekali.

"Minumlah.." Aku mencapai botol mineral yang berada di tangan Naufal dan mula meminum.

"Aku tahulah kau nak aku minum ni jadi mulut aku senyap kan?" Aku cuba membuang rasa kaku apabila bersama dirinya.

Naufal menggelengkan kepala. "Macam manalah kau boleh lambat? Lama aku tunggu kau, tahu tak?"

"Kenapa kau tak masuk aje dulu?" Aku memberikan botol mineral itu semula kepada Naufal.

Naufal menyimpan botol tersebut ke dalam beg sandangnya yang berwarna putih. "Eh, eh anak dara ni. Tiket kau kan ada dengan aku. Orang lain mesti fikir yang aku ni kena paitao dengan matair aku."

"Aku kan dah sampai. Mesti dia orang dah tak fikir macam tu," gelakku pada sesaat. Kejap, kejap. Apa tadi si Naufal katakan? Matair? Ooooohhhhhhh... Alangkah indahnya kalau benar aku menjadi kekasih hatinya.

Dahi Naufal berkerut. Dia menaikkan kening kanannya. Aku menggigit bibir bawahku. Apa yang telah aku katakan? Geli hati ini sudah tidak dapat dibendungkan lagi. Aku menepuk dahiku sambil melarikan pandanganku manakala Naufal tertawa melihat reaksiku.

"Dah, dah! Jomlah masuk panggung. Wayang dah mula, kan?" Aku berdeham dan membuka langkah.

Langkahku mati setelah beberapa langkah. Suara Naufal membuatkan aku menoleh ke arahnya. "Tak payah. Cerita dah separuh jalan. Lain kali aje kita tengok Eclipse. Kita pergi makanlah."

"Makan? Nak makan mana eh?" Aku menelan air liurku. Pelbagai makanan yang sedang aku fikirkan ketika ini. Akan tetapi.. Aku sedang berjalan dengan Naufal. Aku tidak boleh memikirkan tentang diri sendiri dan memakan mengikut selera aku sahaja.

Mindaku teringat bahawa Naufal gemar memakan nasi ayam di The Chicken Rice Shop. Aku pun bersuara. "Okeylah, kita makan dekat Chicken Rice Shop."

"Tak naklah. Kita makan aje dekat Long John," jawab Naufal sambil membuka langkah.

Aku cuba menyamakan langkah aku dengan Naufal. "Chicken Rice Shop ajelah."

"Long John.." Naufal menjawab lagi.

"Chicken Rice Shop.." Ujarku sekali lagi.

Langkahku mati apabila langkah Naufal mati. Kami berpandangan dan pada masa yang sama, kami bersuara.

"Kau kan suka makan dekat Long John!"

"Kau kan suka makan dekat Chicken Rice Shop!"

Mata aku dan Naufal terbeliak apabila kami bersuara niat sebenar kami tentang pilihan tempat makan kami. Segaris senyuman mula kelihatan di wajah kami sambil ketawa kecil.

"Okeylah, kita makan dekat Chicken Rice Shop," Naufal membuat kata putus dan terus membuka langkah semula sambil tersengih.

Aku pula hanya mampu mengekori tubuh Naufal dari belakang sambil tersenyum malu. Pipiku ketika ini membahang seperti bara-bara yang sedang dibakar. Kepala ini terus menunduk sahaja.

Ya, Naufal tidak pernah berhenti membuatkan hati ini berdebar apabila bertemu dengan dirinya. Aku rasa pelbagai perasaan apabila aku bersama dia.

Andainya Kau TerimaWhere stories live. Discover now