"Oh, Farah belum balik? Teman Mia belajar ke?" Naufal bertanya sambil meletakkan tuala kecil yang berwarna biru terang di lehernya.
Farah mempamerkan senyuman manis kepada Naufal sambil menolak bahuku dengan bahunya. Aku menarik nafas. Rasa tidak selesa menyelubungi diriku. Tanpa aku sedari, wajahku jelas menunjukkan bahawa aku tidak selesa sehingga Naufal dapat membaca raut wajahku.
"Kenapa ni?" Naufal berbisik kepadaku. Aku menelan air liurku. Raut wajah Farah sudah berubah, menjadi sedikit bingung dengan kelakuanku.
Aku menggaru kepalaku. "Fal, aku nak pergi tandas sekejap. Kau berbuallah dengan Farah."
Dengan pantas, aku membuka langkah menuju ke tandas yang berhampiran. Aku menjatuhkan beg sandangku sebail sahaja aku masuk ke dalam tandas. Tanganku membuka air di sinki lalu membasuh wajahku.
Aku tidak sanggup mendengar Farah meluahkan perasaannya kepada Naufal! Tidak sanggup! Aku menutup telingaku sehingga terduduk di atas lantai tandas. Pelbagai perasaan yang sedang aku alami pada ketika ini.
Sakit hati? Ya, aku sakit hati. Aku menenangkan diriku lalu mencapai beg sandangku dan keluar dari tandas. Aku mencuri-curi pandangan Naufal dan Farah yang sedang berbicara.
Hatiku berdegup kencang apabila melihat Naufal dan Farah mengeluarkan telefon bimbit mereka. Mungkin bertukaran nombor telefon? Dah, dah. Kau dah melepas, Mia!
Sesudah mereka menyimpan telefon bimbit mereka, barulah aku berani berjalan menuju ke arah mereka. Naufal dan Farah melemparkan senyuman kepada diriku sementara aku hanya mampu memberi senyuman yang tidak ikhlas.
"Mia, aku kena gerak dulu. Jumpa nanti, Fal!" Suara Farah berubah lembut apabila berbicara dengan Naufal. Farah terus beredar pulang manakala aku dan Naufal masih lagi berdiri bertentangan.
"Jom," Naufal memberi isyarat agar kami juga perlu beredar kerana jam sudah menunjukkan pada pukul enam petang.
Naufal menyamakan langkah bersama dengan aku. Ketika itu, aku hanya mampu menunduk kerana terganggu dengan pandangan yang aku lihat tadi. Farah meluahkan perasaannya ke? Naufal terima ke tidak perasaan Farah? Tapi... Farah dan Naufal tidak menunjukkan raut wajah mereka yang tidak gembira.
Aku mengeluh. Naufal menegurku. "Dari tadi asyik mengeluh. Ada apa-apa ke?"
Soalan Naufal aku biarkan tanpa jawapan. Naufal menarik bahu kiriku. Langkahku mati. Pandanganku beralih kepada Naufal yang sedang menunduk.
Rupa-rupanya, dia ingin mengikat tali kasutku yang sudah terlepas ikatannya. Aku pun menunduk, ingin menghentikan kelakuan Naufal.
"Tak apa, biar aku ikatkan. Kau belum jawab lagi soalan aku." Suara Naufal membuatkan aku berasa sebak. Aku hanya diam menyepi.
"Tadi Farah confess," ujar Naufal sambil mengikat tali kasutku.
Aku mengeluh. "Baguslah tu. At least kau bukan loner lagi."
"Kau tak nak tahu apa aku jawab dekat dia?" Pertanyaan Naufal menimbulkan rasa bingung dan marah.
Sesudah Naufal mengikat kedua-dua tali kasutku, dia pun berdiri semula. Namun, dia berdiri bertentangan dengan aku. Matanya tajam memandang aku. Aku cuba mengelak dan hanya memandang lantai simen sekolahku.
Pandangan Naufal tidak beralih walau seketika. Aku menjadi semakin rimas. Akhirnya, aku menolak bahu Naufal dan membuka langkah untuk pulang. Aku boleh mendengar langkah Naufal yang mengejarku.
"Cemburu eh? Ke sakit hati?" Naufal cuba meneka.
"Mana ada!" Aku menafikan apa yang ingin Naufal tahu tentang perasaan aku.
Naufal ketawa kecil sambil mencuit-cuit lenganku. "Ye ke? Ye ke?"
"Mana ada!!!" Aku menumbuk-numbuk lengan Naufal sehingga dia mengadu sakit.
Aku semakin sakit hati apabila melihat Naufal masih mampu ketawa walaupun di dalam kesakitan. Argh, malunya aku! Jelas sangatkah perasaan aku ini? Kalau begitu, kenapa dia tidak berbuat apa-apa?
Jika dia benar dapat membaca perasaanku, kenapa dia tidak memberi petunjuk bahawa dia juga suka atau pun tidak bila bersama denganku? Mungkin... Dia hanya selesa denganku? Mungkin kerana itu dia selesa dan berani mengusikku?
"Comellah kau ni," suara Naufal sambil mencubit lembut pipiku. Aku menepis kerana rasa malu yang menyelubungi diriku.
Pipiku terasa bahang. Kepalaku terus menunduk, memerhatikan kakiku yang melangkah setapak demi setapak.
Naufal, Naufal, Naufal. Aku rasa seperti berada di dalam roller coaster. Satu ketika aku berasa gembira. Satu ketika aku berasa kesal. Terlalu banyak perasaan yang muncul apabila menaiki roller coaster.
Bingung, aku bingung!!!
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...