"BANGUN, SUBUH ANAK-ANAK!!!" Suara nyaring mak dari ruang tamu berjaya membuatkan aku dan adikku tersadar dari mimpi lena. Secara spontan, kami berdua bangun terduduk di atas katil ketika mendengar suara lantang mak. Rasa ngantuk terus hilang sebaik sahaja mendengar suara mak bagaikan bunyi loceng sekolah berada hampir dengan telinga.
Jam di dinding menandakan pada pukul enam suku pagi! Aku berlari ke bilik airku manakala Rizal berlari keluar menuju ke bilik air di dapur. Tawa mak dan abah kedengaran apabila melihat kami adik-beradik kelam-kabut ke bilik mandi.
"Akak, kita jemaah ah," Rizal memasuki bilikku ketika aku sedang menyarung telekungku.
Aku hanya mengangguk manakala Rizal sudah membentangkan dua sejadah di lantai bilikku. Solat subuhku pada hari ini diimam oleh adikku sendiri, Rizal Ihtisham.
Sesudah solat dan berdoa, aku meleraikan telekungku. Bau harum nasi yang sedang dimasak dihidu aku dan adikku. Aku dan Rizal saling bertukar pandangan. Sebaik sahaja kami melipatkan sejadah, aku dan Rizal berlari ke meja makan.
"Ha ha, orang sampai dulu! Bluek!" Rizal menjelirkan lidahnya apabila dia tiba di hadapan periuk nasi terlebih dahulu. Tingkah lakunya mengundang rasa panas di hatiku.
Badan Rizal aku tolak dan terus melabuhkan punggung di atas kerusi bersebelahan dengan mak yang sedang menyediakan nasi di atas pingganku. Mak aku hanya mampu menggelengkan kepalanya. "Kamu berdua ni pagi-pagi aje dah buat perangai. Cuba jaga perangai sikit. Kamu berdua ni dah besar panjang tau."
Aku terlupa seketika bahawa Rizal dan abah masih belum bertegur. Patutlah Rizal bersungguh-sungguh ingin duduk di sebelah mak. Walau bagaimana pun, pandangan Rizal tertumpu kepada aku kerana kami duduk bertentangan.
Ditelannya air liurku sambil mataku terkebil-kebil macam katak disimbah air dengan pandangan mata Rizal yang tajam. Matanya bagaikan memancar api terbakar.
Pandanganku jatuh ke nasi lemak di pingganku. Aku dapat merasa panas hatinya dengan kelakuanku kerana aku gagal membaca apa yang cuba dilakukannya. Ya, panas hatinya seperti menggoncang sekelumit keimanan yang bertapak di pintu kalbunya.
"Kamu berdua tidur pukul berapa semalam?" Aku dan adikku membisu seribu bahasa dengan pertanyaan abah.
Kali ini, aku memberanikan diri untuk mengangkat wajahku. Tiada lagi api yang memancar di mata adikku. Dirinya kelihatan kembali tenang sambil menjamah makanan di hadapannya.
Gerak mata adikku hanya tertumpu kepada pinggannya. Aku mengeluh di dalam hati. Nampaknya, akulah yang kena jawab soalan abah. Kalau soalan abah tidak dijawab, itu namanya nak bermain tali dengan maut. "Pukul satu pagi, abah."
"Lain kali walau belajar macam mana lambat pun, kamu adik-beradik jangan tidur sebilik. Tak manis. Anak-anak abah dah besar. Nanti apa orang kata," nasihat abah sambil menyeduk lauk sambal tumis udang ke pinggannya.
"Baik, abah..." Aku kembali menunduk. Sakit betul tengkuk aku pagi-pagi ini. Agaknya sudah berapa kali aku harus menunduk? Kalau dikira-kira, daripada semalam aku menunduk sahaja untuk memastikan Rizal berada di landasan yang betul ketika dia mengulang kaji. Aku menendang kaki adikku dari bawah meja. "Kau tu lain kali tidur bilik kau!"
"Eh, orang tak sentuh pun tau! Lagipun, ni salah akaklah bercerita tentang kisah yang kononnya sedih tu. Dah macam bedtime story sebelum tidur," suara adikku kedengaran begitu sinis di telingaku.
Kerdipan mataku bagaikan pisau yang melapah perasaan geram. Kami bertukar renung. Melihat wajahnya cukup membangkitkan sejuta rasa benci dan geram di saat ini.
Aku sedar bahawa kini abah dan mak ada di meja makan. Mustahil aku bisa meninggikan suaraku terhadap adikku. Aku merengus sambil menyeduk semua udang-udang di dalam mangkuk kecil ke pingganku sehinggakan Rizal tidak berpeluang untuk menambah lauk sambal tumis udangnya.
Sengaja aku cuba makan dengan bersemangat agar abah dan mak tidak mengesyaki perang yang cuba ingin aku menangi. Puas hatiku melihat mata redup adikku menjamah wajahku yang comot dengan sambal tumis.
"Lah, cepatnya lauk udang ni habis?" Mak aku terkejut apabila dia ingin menambah lauk udang ke pinggannya.
Aku menjilat ibu jariku. "Sedap sangat, mak. Tu yang orang bertambah!"
Rizal mengangguk tanda faham dengan perang yang cuba aku cetuskan. Tanpa berlengah lagi, adikku mencapai semua kepingan telur dadar di atas piring kecil ke pinggannya dan memakannya dengan cara yang agak rakus!
Kali ini abah pula bersuara. "Eh, saya baru nak tambah telur dadarnya. Cepat betul kamu semua mencapai, ye?"
"Lapar," ujar Rizal sepatah.
---
Sesudah bersarapan, Rizal sambung mengulang kaji mata pelajarannya di dalam bilikku kerana bilikku lebih selesa untuk belajar manakala mak sedang membuatkan air kopi untuk abah.
Mentari pagi sudah tinggi di atas kepala. Aku dipanggil abah agar duduk bersamanya di ruang tamu. Apakah yang ingin diperbualkan abah, ya? Aku duduk di sofa empuk yang bertentangan dengan abah manakala abah sedang membaca senaskhah surat khabar.
Aku menggaru tengkukku yang tidak gatal. Katanya ingin berborak denganku tentang sesuatu, tetapi dia tidak berhenti daripada membaca surat khabarnya. Dehamku yang berbunyi-bunyi menghentikan pembacaan abah.
Barulah lega hatiku apabila abah mula meletakkan surat khabarnya di atas meja. Dia membetulkan cermin matanya. "Macam mana dengan adik kamu tu?"
"Abah, orang nak cakap sesuatu dekat abah..." Ya, aku harus meluahkan apa yang tersirat di dalam hati. Aku bukan ingin menasihatinya tetapi sekadar menyurakan pendapatku. "Janganlah abah banding-bandingkan Mia dengan Rizal lagi."
"Kamu nak kata yang abah dah buat salah?" Abahku mengerutkan keningnya.
Gelengku dengan pantas. "Bukan salah.. Cuma tak betul. Cara abah akan merenggangkan lagi hubungan Mia dengan Rizal. Mia cuma ada Rizal sahaja. Mia tak nak sampai Rizal tak nak menjadikan Mia tempat dia mengadu nasib."
Aku cuba menjelaskan lagi. "Dengan hubungan rapat, Mia dapat memerhatikan gerak-gerinya. Andai kata dia bercampur dengan orang yang salah, Mia akan dapat mengecam perubahan dirinya dulu..."
Abah memberikan isyarat henti dengan tangan kanannya. "Abah faham. Bila abah fikir-fikir balik, abah tak patut banding-bandingkan anak-anak abah. Dua-dua abah sayang. Cuma mungkin, abah sedikit kecewa dengan keputusan adik kamu."
"Abah, mungkin Rizal tidak sebijak Mia. Tapi, Mia akan pastikan bahawa keputusan Rizal tidak akan merosot lebih teruk. Semua orang ada kekuatan mereka yang tersendiri. Mia cuma harap yang abah tak akan lagi membandingkan kita adik-beradik," terangku.
"Anak abah dah matang," abah mengukir senyuman manis.
Aku membalas senyuman. "Dah kata anak sulung, kan?"
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...