Aku menarik bangku kerusi milikku dan melabuhkan punggungku. Pandangan mataku hanya tertumpu ke papan tulis di hadapanku. Aku tidak sanggup lagi mengambil peduli dengan rakan-rakan sekelasku yang mencaci aku, memanggil aku pencuri dan tangan panjang.
Beberapa kali rakan-rakan sekelasku menepuk belakangku sambil memanggil nama kepadaku. Mataku sudah mula berkaca. Andai bisa aku melarikan diri, aku sudah pasti akan melakukannya.
Aku mengepalkan penumbuk, mencuri pandang ke arah Naufal, Farah, Ain, Ana dan Seri. Tiada langsung expresi di raut wajah Naufal. Dia kelihatan terlalu dingin untuk ditegur. Tiada langsung rasa kasihan terhadap diriku di raut wajahnya.
Farah pula asyik tersengih-sengih apabila melihat aku diperlakukan sebegini. Aku kembali memandang ke hadapan sehingga Cikgu Nora tiba. Lega benar hatiku apabila melihat kelibat Afiq yang sedang bergegas masuk ke kelas sambil termengah-mengah.
Hanya Allah SWT yang tahu betapa bersyukurnya aku apabila kelibat Afiq kelihatan. Ya, aku harus kuat! Aku ada Afiq di sisi aku. Aku bukan keseorangan lagi. Terima kasih, ya Allah. Kau telah kirimkan aku seorang sahabat yang sentiasa di sebelah aku ketika susah dan senang.
Afiq mengambil tempat duduknya di sebelahku. "Eh, kau orang ni semua dah kenapa?!"
Mata Afiq tajam memandang satu-satu pelajar di dalam bilik darjah. Mukanya berubah merah. Pandangan mata tajam Afiq seperti singa yang sedang memberi tumpuan terhadap mangsanya.
"Kenapa ni, Afiq? Pagi-pagi awak dah mengamuk. Awak tak dapat sarapan ke?" Cikgu Nora berdiri di hadapan tengah-tengah kelas sambil meletakkan tangannya di punggung.
Afiq menarik lengan kiriku dengan kuat sehingga aku berdiri. Dipusingkan tubuhku sehingga tubuh belakangku memandang Cikgu Nora. "Cikgu cuba tengok apa murid-murid cikgu buat dekat kawan saya!"
Rupa-rupanya, terdapat banyak nota-nota tampal pelbagai warna yang ditampalkan di belakangku bersama dengan cacian rakan-rakan sekelasku. Aku hanya mampu mengeluh. Mengeluh kerana hanya ada Afiq yang membela diriku.
"Astaghfirullah, apa yang kamu semua dah buat dengan Mia?!" Marah Cikgu Nora sambil menarik tanganku sehingga aku berdiri di sisinya.
Aku tidak mempunyai kekuatan untuk mengangkat wajahku dan memandang semua mata-mata di dalam bilik darjah ini. Aku sudah seperti mengaku kalah. Apa nak jadi, jadilah.
"Ala, cikgu. Padan muka dia. Siapa suruh dia curi barang orang!" Sindir Ana.
Aku mencuri pandang. Adam berdiri sambil menunjuk jari telunjuknya ke arah Ana. Matanya terbakar dengan api kemarahan. "Kau diam! Orang yang hanya tahu sebar fitnah macam kau sepatutnya aku humban ke api neraka!"
"Eleh, kau fikir aku takut ke? Kau tu malaikat ke nak humban-humban aku masuk ke neraka?" Balas Ana.
"Sudah! Adam, saya nak awak duduk. Ana, cikgu nak awak minta maaf dengan Mia sekarang. Begitu juga dengan Farah, Ain dan Seri. Saya nak semua orang minta maaf dengan Mia," Cikgu Nora cuba menenangkan keadaan kelas.
Sudah terang lagi bersuluh, semua rakan-rakan sekelasku menunjukkan bahawa mereka tidak berpuas hati. Kata-kata cikgu hanya masuk ke telinga kanan dan keluar dari telinga kiri.
"Semua orang berdiri sekarang!" Jerit Cikgu Nora.
Murid-murid di dalam kelas berdiri secara spontan kerana terkejut. Wajah mereka semuanya jatuh memandang ke lantai bilik darjah. Kini, hanya kedengaran kipas angin yang berputar malas.
"Mia tidak mencuri! Saya dah dapat bukti itu." Cikgu Nora berjalan ke arah Farah dan kawan-kawannya. Satu-satu Cikgu Nora memandang dengan rasa amarah yang harus dibendung. "Saya kecewa dengan awak berempat. Sanggup awak buruk-burukkan kawan awak sendiri."
Aku mengetap bibirku sambil memejam mata. Dengan sedaya upaya aku cuba menahan airmataku. Pelbagai perasaan yang aku rasakan ketika ini. Rasa diri ini terbela, rasa terkilan dengan sikap rakan-rakan dan rasa luluh dengan diri Naufal.
Airmataku mengancam untuk jatuh berderai. Manik-manik jernih mula membasahi pipi. Entah kenapa aku sudah tidak dapat menahan airmataku lagi. Aku ligat menenyeh mata yang sudah berair. Aku ingin hapuskan semua airmata ini!
Aku terpandang ke arah Naufal ketika cuba menepis airmataku. Matanya penuh dengan kekesalan, namun itu semua sudah terlambat. Yang ada kini hanyalah rasa meluat dan benci untuk dirinya.
"Kalau awak semua nak tahu, rakan-rakan awak yang empat orang ini sanggup meletakkan barang ke dalam beg Mia lalu menuduhnya mencuri! Sekarang saya nak satu-satu minta maaf dengan Mia," Cikgu Nora memberi arahan sambil memeluk tubuh.
"Tak nak! Sampai mati pun saya tak nak minta maaf!" Farah mencapai begnya dan melarikan diri keluar dari bilik darjah. Ain, Ana dan Seri juga ikut berkari mengejar Farah.
Airmataku berterus-terusan mengalir. Ia tidak mahu berhenti! Aku hanya mampu menunduk agar mereka semua tidak dapat melihat wajahku yang basah dengan airmata.
Aku dapat melihat sepasang kaki yang menghampiri aku. Ianya milik Adam. Ditariknya keluar nota-nota yang tertampal di seragam belakangku manakala Afiq mendekati aku dan mengelap wajah basahku dengan tangannya. Haikal dan Hafiz pula berdiri dan menolong Adam untuk membuang nota-nota yang penuh dengan caci dan maki.
Aku memerhatikan wajah Adam, Hafiz, Haikal dan Afiq. Satu persatu. Inilah sahabat-sahabat aku. Yang benar-benar akan kekal bersamaku kala suka dan duka. Yang berkawan dengan aku bukan atas sebab ingin mengambil kesempatan atas kemahiran aku terhadap pelajaran.
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...