Mata Melisa ke kiri dan kanan mengikut Lucas yang berjalan ke hulur ke hilir di depan matanya. Sekejap-sekejap tangan pemuda itu menggosok kepala. Rambut yang rapi diikat kini serabai serupa orang baru bangun tidur dan tak mandi. "Kau ni dah kenapa teruk sangat serabutnya? Macam dilanda masalah negara."
Lucas pandang temannya. Kecil besar, kecil besar sahaja Melisa dipandang. Kalau makanan, dah ditelannya hidup. Kalau doh tepung, dah diuli-ulinya buat roti. Geram pun ya juga. Tapi sebabkan sahabat, dia sabarkan diri.
"Kau boleh tanya soalan tu dekat aku Melisa?"
"Selepas apa yang kau dah buat ini?" Dua tangan Lucas menghala ke atas sekeping kad saiz A6 berwarna emas yang bertindih di atas sampul kad berwarna merah baldu di atas meja kopi.
Melisa menayang sengih. "Apa?"
"Apa, Melisa?" Lucas menepuk-nepuk belakang leher. Tahap kesabarannya sekarang ini sipi-sipi sahaja disebabkan Melisa.
"Layla yang hulurkan aku kad jemputan tu. Bukan aku yang gatal-gatal minta dijemput." Melisa menayangkan muka tidak bersalah.
"Kalau engkau tak gatal-gatal singgah melawat Corvo semalam, kau tidak akan dijemput. Melainkan kalau..." mata Lucas mengecil pandang temannya. Melisa pula melarikan pandangan ke arah lain mengelak daripada dia.
"Melisa!" Lucas yang sudah mula hilang sabar menjerit memanggil nama si teman. Geramnya dia dengan Melisa sekarang ini. Melisa selalu buat begini tanpa pengetahuan dia. Pastinya gadis itu tahu kalau dia dimaklumkan awal-awal, dia sendiri akan menegah Melisa berjumpa Layla di Corvo semalam petang.
"Kau tahu sejak awal lagi. Sebab itu kau ke Corvo kan semalam?"
"Tahu apa?" Melisa berpura-pura naif.
"Jangan nak berpura-pura yang kau tak tahu apa-apa pasal ini." Patutlah beria sangat Melisa semalam nak keluar pergi ke Corvo. Apabila ditanya jawapannya rindukan Layla dan adik-adik angkat di Corvo. Yang dia pun satu, percayakan temannya bulat-bulat. Bukan tidak tahu yang Melisa banyak akalnya.
"Seriuslah. Aku tak faham apa kau cuba sampaikan ni." Melisa yang tahu dirinya kantoi sengaja mengusik Lucas. Dia masih berdendam lagi dengan temannya yang mengungkit pasal Isolabella. Jadi, tak salahkan kalau dia membalas dendam dengan cara ini. Cara yang bakal menguntungkan mereka berdua.
"Andai kata..." Lucas cuba mencari ayat. "Andai kata Loenardo tanya macam mana kau boleh hadiri majlis itu, kau nak jawab apa?"
"Beritahu sahajalah yang aku dapat kad jemputan ini daripada Layla."
"Kalau dia halau kau sebelum kau masuk, macam mana?"
"Aku? Dia nak halau aku? Cubalah."
"Kalau Melisa. Kau nak buat apa?"
"Kau ingat aku nak biarkan dia senang-senang halau aku macam tu sahaja?"
"Ya aku tahap kedegilan kau boleh tahan juga tapi kau sendiri-"
"Aku dah move on." Melisa mencelah bicara Lucas.
"Kau move on? Seriuslah?" Melisa buat muka apabila Lucas tidak percayakan dia.
"Ya, aku dah move on." Sudah dua bulan dia tidak bersua muka atau bertembung dengan suaminya. Lagi pula, kenapa perlu dia melayan rasa sedih dan bermuram durja hanya kerana dia tidak diperlukan sesiapa. Tak bawa ke mana-mana kalau dia biarkan diri mengikut perasaan. Lebih baik dia fokus dan gunakan masa yang ada dengan mencari keberadaan Alfonso daripada memikirkan rajuk hati yang makan hati dengan Leo dan Nikolai. Kedua-dua lelaki yang penting dalam hidupnya itu, bodoh. Bodoh sebab tak percayakan dia. Bodoh sebab tak mahu berikan dia peluang. Nak menang sangatkan dengan ego lelaki, menangkanlah. Dia boleh jaga dirinya sendiri.

ANDA SEDANG MEMBACA
YEOUBI
Roman d'amour(n.) the sun shining through rain Melisa, seorang gadis yang selamba. Leonardo, seorang lelaki yang misteri. Mereka berdua bertemu di taman tasik. Sedang Melisa menjadi model memperagakan baju pengantin rekaan kembarnya, Leonardo pula mencari pengan...