bab 46

6K 161 12
                                    

HAYDEN keluar dari perut kereta sebaik sahaja enjin selamat di matikan. Pakaian serta barang keperluan milik Ardell yang dibawa dari penthouse tadi turut dibawa keluar sama.

Selepas subuh tadi, dia pulang ke penthouse seketika. Cadangnya mahu terus ke hospital selepas itu. Namun, pagi-pagi lagi Datin Catrina sudah menghubunginya, memberitahu yang wanita itu mahu menemani Ardell.

Pada mulanya Hayden menegah namun apabila wanita itu berkeras mahu dia berehat dan menyakinkan yang wanita itu boleh menjaga Ardell, Hayden hanya akur. Lagipun, dia sedikit rasa penat. Mungkin tidur yang tidak cukup.

Semalam, tidurnya langsung tidak lena akibat tidak biasa tidur di atas kerusi. Habis, sakit-sakit badannya sebaik sahaja dia terjaga. Balik sahaja penthouse, terus dia melelapkan mata. Pun begitu, masih dia tidak dapat lena memikirkan isterinya di hospital. Jauh dari pandangan membuatkan Hayden risau walaupun dia tahu keadaan Ardell baik-baik sahaja.

Sebelum dia balik ke penthouse tadi, langsung tiada kata yang di tinggalkan untuk Ardell. Dia tidak mahu kehadirannya dikesan isterinya. Entah kenapa, dia lebih memilih untuk berbuat begitu. Sedangkan dia tahu, tindakannya ini tidak patut dilakukan.

Sebaik sahaja memastikan tiada kenderaan yang lalu, Hayden kembali mengatur langkahnya untuk melintas. Pintu masuk utama hospital di tujunya. Jam sempat dikerling, sudah masuk waktu tengah hari. Pintu lif yang sudah terbuka dimasuk, sebelum butang lif ditekan ke wad vvip di mana Ardell di tempatkan atas permintaannya sendiri.

Dia tidak pasti sama ada Datin Catrina masih berada di wad Ardell atau pun tidak. Dia sudah memberitahu wanita itu tentang kedatangannya ke sini.

Jauh di sudut hati, Hayden berharap yang Datin Catrina masih belum pulang. Sekurang-kurangnya, dengan adanya wanita itu, tidaklah Ardell mahu mengamuk seperti semalam. Tidak perlu diagak, dia tahu, mama pasti sudah syak tentang hubungan mereka.

Tiba sahaja di hadapan pintu wad Ardell, tombola pintu hampir sahaja mahu dipulas namun terhenti sebaik sahaja melihat apa yang terbentang di hadapan matanya melalui cermin kaca yang ada di pintu itu. Terkaku dia melihat adegan mesra itu.

Dengan orang lain boleh pula kau bermesra? Tapi dengan suami kau sendiri? Getus hati lelakinya yang sudah berombak dengan amarah. Sakit hati dan sakit matanya melihat.

Melihat lelaki itu yang memegang kedua-dua bahu Ardell yang baru sahaja keluar dari tandas, benar-benar mencabar egonya sebagai suami. Dia tahu lelaki itu bukan mahu membantu, malah cuba mengambil kesempatan pada Ardell.

Bukan dia tidak tahu yang lelaki itu masih ada hati dengan isterinya. Dengan keadaan dia dan Ardell yang sedang berantakan begini, senanglah lelaki itu mencucuk jarum. Apatah lagi melihat reaksi Ardell yang sedang tersenyum itu cukup membakar hatinya.

Kau isteri aku, Ardell!

Hayden tidak pasti sama ada dia sedang dilanda cemburu atau diasak kemarahan.

Dia tahu, kedua-duanya sedang menguasainya tika ini.

Tidak menunggu lama, terus dia merempuh masuk sehingga tersentak kedua-duanya. Namun, tidak pula lelaki itu mahu melepaskan pautan pada bahu Ardell. Tajam dia merenung tangan lelaki itu yang semakin kejap pada bahu isterinya sebelum naik memandang mereka berdua.

" Apa hal ni? " soal Hayden dengan wajah bengang. Kedua-duanya beriak seolah apa yang mereka lakukan itu tidak salah sama sekali. Dia pula yang panas hati di sini!

Love me, HaydenWhere stories live. Discover now