bab 29

5.3K 169 15
                                    

PAGI-PAGI lagi Ardell sudah berperang di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Sudah lama dapur di penthouse itu tidak berasap. Bahan mentah di dalam peti sejuk pun langsung tidak terusik.

Dia jadi tertanya-tanya. Selama dia tidak pulang ke sini, Hayden tidak pernah makan ke? Atau lelaki itu lebih memilih untuk makan di luar seperti selalu? Mungkin juga dia makan masakan isteri barunya itu. Tapi, pandai ke seorang model seperti Ainin itu memasak?

Bercakap tentang Ainin dan Hayden, Ardell tidak tahu apa yang terjadi di antara mereka, sama ada masih berperang atau sudah berbaik. Dia pun selepas masuk sahaja ke dalam bilik, terus tidak keluar. Keluar pun hanya sekadar untuk mengisi perut, itu pun di lewat malam. Sengaja mahu mengelak dari bertembung dengan mereka berdua.

Merasakan tiada barang yang pecah atau suara bertikam lidah, Ardell beranggapan bahawa mereka sudah berbaik. Lagipun, mereka pasangan yang terlalu bahagia, gaduh seperti itu cuma di celah gigi sahaja. Lainlah jika dirinya ini. Ada sahaja yang tidak kena.

Ardell tidak tahu berapa lama dia perlu duduk di sini. Ikutkan hati, dia lebih rela tinggal bersama Dato Eshan dan Datin Catrina daripada serumah dengan Ainin dan Hayden. Itu bermaksud dia perlu menghadap segala jenis perangai pasangan itu.

Segera Ardell menyiapkan sarapan pagi. Bila-bila masa sahaja Ainin dan Hayden akan turun dan dia sebolehnya tidak mahu menghadap dua makhluk Tuhan itu. Matanya akan disaji dengan perkara yang akan menyakitkan hatinya. Dia tidak sanggup mahu membiarkan hatinya disakiti lagi.

Ardell masih hormatkan Hayden sebagai suaminya, disebabkan itu dia kebalkan hatinya untuk tinggal di sini. Dia sudah ikhlaskan hatinya untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri lelaki itu. Tuhan akan sentiasa bersamanya, itu yang membuatkan dia terus bertahan sehingga kini.

Dan dia berdoa agar Tuhan tidak membolak-balikkan perasaannya buat Hayden. Jika ya, dia tahu Tuhan ada perancangan buatnya dan berkemungkinan ada yang lebih baik untuknya. Dia sudah bersedia dengan segala yang akan berlaku nanti.

" Sukalah you kan dapat duduk dekat sini? "

Terhenti tindakan Ardell yang sedang mengacau milo panas. Matanya dipejam rapat. Baru tadi dia berdoa tidak akan bertemu dengan Ainin mahupun Hayden. Bukan Hayden yang muncul, tetapi madunya. Dan pastinya sekejap lagi Hayden pula yang muncul.

Ardell berdiri membelakangi Ainin. Cepat-cepat dia mengacau milo panas itu sebelum berpaling untuk diletakkan di atas meja. Sikit pun dia tidak menoleh pada Ainin yang berdiri memeluk tubuh di meja makan. Lantak kau lah!

" Eh, I cakap dengan you lah. " seraya itu terasa bahunya ditolak Ainin. Tanpa sedar dengusan kecil terkeluar dari mulutnya. Pantas sahaja matanya menikam anak mata Ainin. Ada juga yang makan kaki nanti.

Apa lagi yang wanita itu tidak puas hati dengannya? Ainin sudah dapat Hayden, itu tak cukup lagi ke?

" Apa? Nak tampar I? Tamparlah. Kita tengok sama ada Hayden akan marah I atau you. " ujar Ainin dengan senyuman sinis. Dia gelak sinis selepas itu.

Ardell hanya menggelengkan kepalanya dengan sikap Ainin yang suka cari pasal sebelum bergerak ke dapur gas. Mangkuk pada rak dicapai sebelum Ardell mencedokkan nasi goreng ke dalamnya. Seperti tadi, dia langsung tidak menghiraukan Ainin. Biarkan je perempuan tu nak menyalak!

" Dulu bukan main lagi you melawan dengan I, Ardell. Sampai berani simbah I dengan air manis. Kenapa sekarang dah macam orang bisu? " sinis pertanyaan daripada Ainin. Dia tidak betah apabila Ardell membuatnya seolah dia tidak wujud di situ.

Love me, HaydenWhere stories live. Discover now