bab 22

5.1K 132 7
                                    

PINTU bilik tidurnya terus dikuak. Gelap sahaja ruangan di dalam bilik itu. Suis di sebelah kirinya ditekan sebelum menutup pintu. Keadaan di dalam biliknya masih sama. Sudah lama dia tidak tidur di bilik itu. Kali terakhir apabila dia dibawa Affan akibat pengsan.

Dia sudah tiada kekuatan lagi untuk berdiri. Perlahan dia menapak ke arah katil dan terus merebahkan tubuhnya. Pandangannya hanya tertumpu pada siling putih di hadapannya.

Datin Catrina meminta mereka berdua untuk bermalam sahaja di sini. Tanpa banyak bicara dan meminta persetujuan daripada Hayden, Ardell terus naik ke tingkat atas. Tubuhnya mahu berehat, otaknya mahukan ketenangan selepas apa yang terjadi di meja makan tadi.

Selama ini dia begitu menjaga hati dan perasaan Hayden sehingga terpaksa mengabaikan perasaannya. Tapi bila soal ini sudah merendahkan martabatnya sebagai seorang isteri, dia lebih mahu menjaga hati dan perasaannya.

Dia tidak tahu Hayden ke mana dan dia tidak mahu ambil tahu. Mungkin lelaki itu menghantar Ainin ke rumah. Entahlah, saat ini dia merasa begitu kecewa. Dia cuma mahu bersendirian, merawat hatinya yang sudah begitu terluka.

Tahu yang tiada siapa yang akan membelanya, mengatakan ini semua mimpi. Tiada siapa yang mahu mempertahankan dirinya walaupun Dato Eshan sendiri. Dia berseorangan menghadapi semuanya.

Sekali lagi terasa tubir matanya panas. Tidak segan-silu air matanya tumpah buat kesekian kalinya. Entah kali ke berapa. Dia hanya membiarkan kerana sekurang-kurangnya dengan menangis dia dapat menenangkan dirinya.

Fikirannya mulai melayang mengenangkan kekurangan diri. Apa silapnya dalam menjadi isteri Hayden sehingga lelaki itu mahu menduakannya? Apa kurangnya dia di mata lelaki itu sehingga Hayden tekad mahu mencari perempuan lain?

Dia tidak tahu bagaimana nasibnya selepas ini. Kuatkah dirinya untuk melihat Hayden bersama perempuan lain di hadapan matanya? Atau lebih tepat, membiarkan Hayden menjadi milik orang lain selain dirinya? Dia tidak sanggup mahu berkongsi Hayden dengan perempuan lain.

Ardell tahu dia bukanlah isteri pilihan Hayden dan perkahwinan ini terbina bukan atas kerelaan lelaki itu sendiri namun patutkah dia dilayan sebegini rupa seakan dia tidak mempunyai hati dan perasaan?

Dia tidak mahu perkahwinan mereka dirahsiakan apatah lagi membiarkan Hayden menjadi milik perempuan lain. Tapi itu semua hanyalah angannya sahaja dan realitinya, dia dianggap bukan sesiapa pada Hayden dan lelaki itu akan menjadi milik orang lain kelak.

Isteri mana yang rela? Jika ditanya pada dirinya, dia langsung tidak rela. Namun siapa dia untuk membantah niat suaminya? Dia tidak dapat menghalang.

Dia juga sudah tidak mahu fikirkannya kerana tahu lambat-laun dirinya pasti akan dibuang dan tidak diperlukan lagi. Dia akan bersedia untuk mendapat gelaran..... Ah! Dia sendiri tidak sanggup mahu mengungkapkannya.

Perlahan kejadian yang berlaku sewaktu makan malam tadi kembali diulang tayang. Ardell hanya mampu menahan rasa.

Ardell memandang sayu belakang badan Ainin dan Hayden yang sudah bergerak ke dapur. Lelaki itu tidak sedikit pun menoleh memandangnya. Sibuk bermesra dengan Ainin tanpa mempedulikan kehadirannya di situ.

Sedar yang tangannya tiba-tiba sahaja digenggam, Ardell berpaling. Datin Catrina tersenyum manis padanya seraya mengusap lembut bahunya, memberi secebis kekuatan. Dato Eshan mungkin sudah berlalu ke dapur. Dia tidak tahu apa yang tidak kena dengan lelaki itu.

Love me, HaydenWhere stories live. Discover now