“Kau sungguh rapat dengan Lanang,” kata Adi memecah kesunyian antara mereka. Mustika tersengih.
“Lanang itu baik orangnya, kita suka,” balas Mustika lemah lembut sambil bermain dengan kain penutup kepalanya. Kain sutera milik dia sudah hilang akibat kejadian tempoh hari. Kala ini dia hanya memakai kain selendang milik Puspa sahaja.
Adi mencebik “Aku tidak baik kah? Kau tidak suka aku kah?” soalan maut dia berikan kepada Mustika. Mustika tergamam sebentar dengan soalan itu “Hmmm mestilah tuanku baik,” balas Mustika, tidak tahu membalas apa, asalkan dia tidak membiarkan sahaja soalan Adi itu.
“Kau jatuh cinta kah pada Lanang?”
“Eh, sudah semestinya tidak. Kita anggap Lanang hanya sebagai teman sahaja,” balas Mustika perlahan.
Tiba-tiba sahaja ditanya soalan itu. Adi hanya mendengar tidak membalas apa.
“Tuanku mahu membawa kita kemana?”
“Makan,” balas Adi sepatah. Mustika hanya mengangguk. Aneh sungguh dengan tingkah Adi ketika ini. Kenapa agaknya ya?
Mereka sampai di pokok buah ganjil, terus sahaja Mustika memetik satu buah untuknya dan Adi. Dia menghulur buah kepada Adi dan duduk bersandar pada dahan pokok.
Adi mengikut perbuatan Mustika.
Adi melihat Mustika tidak makan buah tersebut dan hanya mengelamun sambil tersengih. Adi mengerutkan dahinya. “Kenapa tidak makan?” soal Adi.“Tuanku tahu? Jika kita membawa pulang makanan yang enak ke rumah pasti adik kita Malik akan bertanya 'Makanan apa yang kakak bawa pulang?' selepas itu dia akan makan semua makanan itu,” Mustika mula bercerita. Adi mendengar sambil melihat wajah Mustika yang ceria menceritakan kisah itu.
“Selepas itu, bapak pula datang meminta makanan, bila kita kata makanan hanya tinggal sedikit bapak akan kata, jika dia tidak memberi wang pasti kita tak akan dapat membelinya. Sengaja mahu memberi alasan untuk memakannya. Selepas itu mak kita pula datang dan kata jika dia tidak mengizinkan kita keluar pasti kita tak akan dapat membelinya,” Mustika ketawa bila menceritakannya, dia teringat, dia rindu.
Masing-masing tidak mahu kalah dalam memberi alasan untuk mendapatkan makanan yang dia bawa pulang.
“Sebab itulah, kalau kita keluar ke pasar, pasti akan membeli makanan yang banyak. Malik tu kuat makan,” sempat lagi dia mengutuk adiknya. Adi hanya tersengih bila Mustika membisik apabila mengutuk Malik.
“Jika Malik lihat kita makan buah ini, pasti dia menangis kerana tak berinya sedikit. Dia itu, kata sahaja mahu sedikit. Alih-alih semua makanan dia sapu,” mereka bedua ketawa serentak. Kelakar dengan telatah Malik.
Dalam ketawa tiba-tiba kelopak mata Mustika basah. Ya dia rindu, gelak dan senyuman hanya pelindung kedukaan sahaja. Pantas dia menyeka air matanya. Adi yang melihat terus berubah wajah, dia tahu perasaan rindu pada seseorang itu bagaimana rasanya.
“Kau rindu mereka?” Mustika menoleh dan tersenyum manis. Dia mengangguk “Sudah tentu kita rindu, masuk harini sudah 23 hari kita disini. Apa agaknya yang mereka lakukan?” Mustika menyoal diri sendiri.
“Tak lama, sekejap sahaja lagi. Kau tunggu ya...” pujuk Adi sambil menatap langit petang. Mustika mengangguk “Ya kita tunggu,”
Dummm.....
Terkejut mereka dua mendengar bunyi dentuman yang kuat itu. Mustika memandang Adi yang hanya tenang. Pantas Adi bangun dan diikuti Mustika.
“Mari pulang,” ajak Adi dan terus beredar dari situ. Mustika hanya ikut.
![](https://img.wattpad.com/cover/305787070-288-k280414.jpg)
YOU ARE READING
Eka Asmara ✔️
RomanceBermula kisahnya dimana seorang gadis, Mustika Delima tersesat masuk ke kawasan terlarang sewaktu mencari adiknya. Disangkakan sudah berhati-hati tapi sayangnya nasib tak menyebelahinya apabila dirinya benar-benar berada di alam lain. Adi Rajuna s...