Bab 10

1K 40 1
                                    

Genap beberapa bulan, Diezel masih lagi mengelak daripada bersemuka dengan papa mahupun mamanya. Apa tidaknya, jika mereka bertentang mata sahaja, pasti soal jodoh dengan Zahif akan diutarakan.

   Hal ini menyebabkan Diezel mula rimas berada di rumah. Kalau hendak diikutkan hati, sudah lama dia pindah keluar ke rumahnya sendiri. Tapi, dia kasihankan Hanna. Mesti Hanna akan rasa bersalah dan tertekan bila dia ditinggalkan seorang diri menghadap kedua ibu bapa mereka.

  Namun begitu, baik Hanna mahupun orang lain di sekitar Diezel gagal mengesan perubahan yang ditunjukkan olehnya. Memang mereka sentiasa ada di sisinya. Tapi,  Diezel lazimnya menyibukkan diri dengan urusan kerja.

  Sebulan yang lepas pula, Diezel sudah mula mengikuti latihan core strength dan taekwondo yang telah ditinggalkan selama 2 tahun. Dia hanya dapat mengikuti latihan khasnya selepas waktu kerja iaitu 10.30 malam sehingga 12 pagi.

  Diezel akan masuk kerja seawal 4 pagi dan hanya pulang ke rumah pada pukul 12 pagi. Hanna pula awal-awal lagi diminta agar mengikuti jadual kerja mereka yang asal seperti staf yang lain.

  Staf yang menjadi pengintip papanya? Awal-awal lagi sudah dipecat oleh Diezel! Rimas bila memikirkan yang papanya pasti akan menggunakan pengintip itu dalam usaha untuk menyatukannya dengan Zahif.


Pukul 4.10 pagi

Diezel memarkir kemas keretanya pada pada tempat letak khas. Dia sempat mengeluh. Kali ini dia lebih penat dan lelah. Sesi semalam agak mencabar.

  "You can do this, Didie." Diezel memberikan dirinya semangat saat melangkah keluar dari kereta.

  Begnya diangkat bersama sambil melangkah ke pintu belakang. Gril keselamatan bahagian belakang dibuka lalu dia terus sahaja melangkah ke dalam.

  Matanya sempat menangkap beberapa lembaga hitam di luar sebentar tadi. Sekarang dia sudah semakin pakar dalam menghindari mereka. Sudah tidak ada rasa takut dan tidak selesa seperti sebelum ini.

  "Manusia lebih menakutkan dari kau orang." Hanya itu bait yang terbit dari bibirnya setiap kali ada yang cuba mengganggunya.

  Setiap suis lampu dan pendingin hawa dihidupkan. Apabila dia yakin yang semuanya hidup dengan baik dan sempurna, barulah dia beredar ke kaunter.

  Seperti rutin biasanya, dia akan memeriksa setiap aliran keluar masuk wang, jumlah order kelmarin dari sistem komputer, dan juga sebarang memo yang mungkin ditinggalkan oleh Hanna.

  Diezel mengambil masa selama 20 minit di situ kemudian barulah dia mengangguk tanda berpuas hati dengan laporan yang dibacanya.

  "Okay. Time to bake!" Diezel berkata sebelum menukar pakaian dan memulakan kerjanya.

  Hanna hanya tiba bersama Alex kira-kira sejam kemudian. Kehadiran Alex sekarang tidak lagi menjadi satu persoalan bagi Diezel. Malah baginya kemunculan Alex bagaikan satu rutin harian padanya. Ibaratnya tidak sahlah perjalanan hari mereka tanpa kemunculan Alex.

  "Good morning, boss! Awal gila bos kerja hari ni?" Alex menyapa sambil menghampiri Diezel yang sibuk mengisi krim keju pada acuan tart yang sudah tersusun kemas pada dulang pembakar.

  "Kakak memang dah ubah jadual dia. Balik rumah 12 pagi datang kafe pukul 4 pagi." Hanna mencelah. Menjawab bagi pihak kakaknya sebelum menghilangkan diri ke bilik lokar baju.

  Alex agak terkejut dan hairan. Jika dihitung, berapa sangatlah masa Diezel untuk berehat? Dia menggaru kepala sebelum mendekati Diezel dengan wajah serius.

  "Serius ke? 12 pagi? Awak buat apa je? Kafe tutup pukul 10.30 kan??" Soalnya sambil berpeluk tubuh.

  "Haih..." Keluh Diezel. Dia meletakkan piping bag ke tepi. Alex ditenung sebelum bahu jejaka itu ditekan perlahan.

Cafe Girl &  Mr. MafiaWhere stories live. Discover now