EMPAYAR HADID

247 25 1
                                    

Karina's POV

Sebaik jarum pendek pada jam di dinding merapati nombor 10, hatiku mula berdebar. Tiba-tiba teringat akan jadual Ethan yang akan bertemu dengan klien baru pada jam itu. Siapa klien barunya? Kenapalah aku tak tanya tadi. Langkahku longlai menuju ke perpustakaan.

Ia terletak di bangunan belakang bangunan akademik. Aku perlu meredah panas untuk bergerak ke bangunan yang mungkin berusia 100 tahun itu. Luarannya begitu uzur, seperti ia pernah menjadi saksi kepada peperangan besar suatu ketika dahulu.

Ia seakan menyimpan 1001 rahsia yang tidak mungkin diketahui manusia zaman ini. Sedangkan... puntianak juga wujud, mungkinkah perpustakaan ini mengetahui kewujudan makhluk itu? Menurut Ethan, dia 'ditukar' kepada puntianak selepas dia mati. Dia sudah mati 20 tahun yang lalu... namun hidup semula disebabkan 'sesuatu'.

Apa 'sesuatu' tu? Perang apa 20 tahun yang lalu? Di mana?

Mungkin perpustakaan ini ada sejarah ARY.

Perlukah aku mencari?

Agak sukar mencari buku sejarah berkaitan tamadun yang musnah di perpustakaan ini kerana di sini lebih banyak menyimpan koleksi seni kerana kolejku ialah kolej muzik.

Aku suka muzik. Aku suka menyanyi. Suatu hari nanti, aku berharap aku dapat berdiri di atas pentas dunia, berkongsi ceritaku dalam lagu yang akan aku dendangkan. Itulah impianku. Jika aku mengahwini Ethan dalam masa terdekat, adakah impian itu masih boleh dicapai?

"Excuse me."

Aku menahan seorang ahli pustakawan yang sedang menolak troli buku untuk dikembalikan semula ke rak asal. Madam Marie namanya. Umurnya sudah mencecah 59 tahun, bakal bersara tahun depan. Dia sentiasa mengenakan pakaian yang sama. Kemeja putih berlengan panjang dengan skirt hitam paras lutut. Rambutnya juga sentiasa disanggul, berselang seli warna rambutnya dengan hitam dan putih.

Nampak sangat dia tidak kisah dengan uban yang menghiasi rambutnya. Bibirnya sentiasa merah terang dengan warna lipstik yang sama dan solekan nipis. Kaca matanya sering berada di hujung pangkal hidung, barangkali rabun dekat.

"Ya?"

"Di mana saya boleh dapatkan buku sejarah tamadun dunia?"

"Tamadun apa tu?"

"Erm... Ada tak tamadun Ary... ?"

Madam Marie diam sejenak, mungkin cuba mengingat lokasi buku-buku tersebut. "Tiada nama tamadun Ary. Atau barangkali kamu mencari pemerintah yang berasal dari keluarga Ary."

Mataku bercahaya. "Ya! Ada ke?"
.
.
.
.
.

FLORANCE. Negara Florance.

Ya... aku pernah mendengar nama negara ini. Ia kecil saja. Berhampiran Sepanyol. Mungkinkah keluarga Ary berasal dari sini? Buku setebal 1000 muka surat dihulur kepadaku oleh Madam Marie selepas dia mencapainya di rak tingkat keempat bahagian QZ menggunakan tangga sebelum dia kembali menolak troli buku ke destinasinya.

Memanglah Ethan tidak pernah bagitahu yang dia ialah seorang putera raja. Namun naluriku juga kuat mengatakan bahawa dia bukan sekadar rakyat biasa. Abang kandung aku ialah seorang raja jadi serba sedikit aku boleh melihat seseorang yang datang dari rumah atas bukit. Lebih-lebih lagi katanya kaitannya dengan kerabat diraja. Takkanlah dia maksudkan kerabat diraja Syrus? Sudah pasti dia bercerita tentang keluarganya, kan?

"Oh!"

Pada bab 25, empayar Hadid menjadi kuasa utama di rantau itu. Pemerintahan yang berpusat di Florence, menjajar jauh sehingga ke kutub utara. Sejarah yang panjang. Penguasaannya adalah melalui peperangan.

Memang benar. Pemerintahan empayar Hadid diterajui oleh keluarga diraja Ary. Namun tidak dinyatakan nama pemerintah terutama pemerintah terakhir sebelum empayar itu musnah. Menariknya, keluarga diraja Ary masih lagi memerintah di Florence sehingga sekarang.

"OK. Mungkin Ethan bukan putera raja tetapi dia mempunyai pertalian darah dengan keluarga diraja Ary. Ramai je yang mempunyai nama keluarga yang sama tetapi tidak membawa apa-apa makna."

Entah mengapa, bulu roma di tengkuk ku berdiri. Angin perlahan meniup rambutku seperti berada di luar bangunan. Cepat-cepat aku mengangkat kepala, menoleh kiri dan kanan, tiada apa-apa yang pelik. Seingatku inilah perasaan yang sama kali pertama aku bertemu Ethan. Tetapi jika Ethan berhampiran, sudah pasti aku dapat menghidu harumannya.

"Lady Karina... ."

Aku tersentak dengan kuat apabila suara lelaki yang tidak ku kenali tiba-tiba menyapa di kiriku. Entah bila dia duduk di sebelahku, aku tidak tahu. Dia memberikan senyuman yang lebar sehingga ke telinga namun bukan kemesraan yang ditonjolkan. Nyilu jantungku dengan senyumannya.

Pilihan pakaiannya unik: sut lengkap dengan bunga ros di poket serta memakai topi koboi. Fesyen apa ni? Wajahnya tidak pernah ku lihat di kolej ini.

Dia... bukan manusia...

"Awak siapa?" Kakiku mula menggigil, namun cuba ku tahan. Suaraku sudah bergetar, dadaku berombak berat, aku mahu lari. Kepalaku pantas ku tundukkan kembali kerana takut memandangnya.

Pada masa yang sama, tanganku mencapai telefon pintar di atas meja, cepat-cepat ku sembunyikan di bawah meja dan mendail nama Ethan. Aku tahu aku perlu menghubungi Ethan kerana lelaki ini... bukan manusia.

"Lady Karina, selamat berkenalan... aku.... Lucas atau... kau boleh panggilku... kambing."

Telefon pintarku jatuh ke atas lantai, aku tidak tahu sama ada aku sempat menghubungi Ethan atau tidak. Sebaik dia memperkenalkan namanya, aku terus bangkit dari kerusi dan berlari menuju ke pintu utama.

Entah mengapa, perpustakaan itu tiba-tiba menjadi sunyi. Sepertinya hanya aku seorang. Sedangkan ketika aku masuk awal tadi, ia penuh dengan pelajar.

**

My Brother's Guardian is a Vampire (Complete 💯❤️)Where stories live. Discover now