Tuala Putih

535 48 5
                                    

'Raja Roshan, The King of Syrus. Daulat tuanku! Daulat tuanku! Daulat tuanku!'

Menaiki takhta di usia yang muda dan tanpa permaisuri, Roshan berkeras untuk kekal bujang sehingga dia menemui calon yang sesuai. Dia tidak mahu dibebankan dengan masalah 'wanita dan emosi' seperti yang terjadi terhadap ayahandanya selepas kemangkatan bondanya.

Hakikatnya, dia juga mahu untuk bercinta dan dicintai. Namun situasinya tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian. Selain masalah kesihatan, dua persoalan masih belum terjawab. Pertama, bagaimana Karina boleh 'wujud'? Kedua, mengapa Karina dikurung di penjara bawah tanah pemberontak utara?

Acara yang panjang pada sebelah siang menyebabkan dia terlanjur lena dalam rendaman air bunga-bungaan di kamar mandinya sehingga terlepas majlis keraian yang diadakan di tengah kota bagi meraikannya. Bukannya dia kisah pun semua tu. Menaiki takhta sekadar memenuhi takdirnya sebagai putera mahkota negara Syrus. Sungguhpun begitu, lenanya disulam dengan mimpi ngeri.

Mimpinya sentiasa sama. Entiti seorang lelaki dalam seragam tentera Syrus yang berlumuran darah mencengkam kakinya sambil mengerang kesakitan mengucap perkataan yang sama, "Me... rah... ."

Setiap kali itu juga Roshan akan terpaku di tanah. Peluh mengalir deras di sisi wajahnya, kerutan di dahi semakin jelas malah turun naik dadanya menarik nafas juga semakin cepat. Walau seberapa kuat dia berusaha untuk melarikan diri, kakinya tetap tidak dapat diangkat.

"Hero, lari!"

Bonda.


Mata terbuka pantas. Suara bondanya seakan menjadi isyarat untuknya terjaga dari mimpi itu. Perlahan-lahan badan bangkit untuk keluar dari tub, menepis sekuntum dua bunga yang melekat di badannya. Mimpi itu sudah tidak memberi kesan kepadanya lagi.

Kejadian 20 tahun yang lalu tidak pernah hilang dari memorinya malah terus mengganggunya sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Bayangan ayahandanya ditusuk pedang tepat ke jantung menghantuinya selama bertahun-tahun sehingga memaksanya berjumpa dengan pakar psikiatri.

Khabar angin bertebaran di seluruh negara suatu ketika dahulu akan 'kesihatan mental' yang dialami Putera Mahkota Roshan namun ditepis oleh pihak istana secara tegas. Hanya sekali itu berita kedengaran. Selepas itu, tiada lagi media yang berani memuat naik sebarang berita kesihatan mental putera mahkota.

Tuala putih dicapai lalu membalut bahagian bawah badannya sehingga ke lutut. Baru sahaja keluar dari kamar mandi, telefon bimbitnya berdering.

Aih? Siapa pula? Pantas melihat ke dinding, memeriksa jam sudah larut malam. Siapa yang menghubunginya ketika ini? Lebih-lebih lagi ke nombor peribadinya? Karina ke?

Kemudian nama di skrin diperiksa.

Oh... dia... Sudah pasti. 

Roshan menarik nafas dalam-dalam sebelum menekan butang hijau pada skrin. "Roshan di sini." Nadanya perlahan dan rendah.

"Tahniah di atas pertabalan tuanku... ." Suara Wanita. Serak-serak basah. Namun lembut tutur bicaranya.

"Maafkan saya... ." Roshan tertunduk. "Awak- faham, kan?"

Wanita misteri itu tertawa perlahan. "Sudah pasti, tuanku. Kenapa tuanku meminta maaf. Tuanku tidak berbuat apa-apa kesalahan. Patik fikir, tuanku belum tidur sebab itu patik menghubungi tuanku. Memandangkan siang tadi, patik tidak hadir... ."

Akhirnya Roshan mengukirkan senyuman. Tekanan di wajah hilang serta merta. "Terima kasih."

"Tidurlah. Dah lewat. Esok hari pertama tuanku. Nanti Majlis Raja-raja buli tuanku pula, patik tiada di sana untuk membantu."

My Brother's Guardian is a Vampire (Complete 💯❤️)Where stories live. Discover now