BODYGUARD PERCUMA

257 25 0
                                    

Karina's POV

Aku tiba di muka pintu masuk lobi Apartmen Omega, 45 kilometer dari kediaman Ethan, selepas menerima mesej berbaur cemas daripada kawan baikku, Lisa. Kami berdua berada dalam kelas yang sama sehingga awal tahun ini sebelum Lisa menamatkan pengajiannya kerana mengandung anak kepada teman lelakinya, Eric.

Aku tidak pernah berkenan dengan Eric. Malah untuk bercakap atau membuat sebarang interaksi dengannya jauh sekali kerana satu sikapnya yang aku takuti. Memukul orang setiap kali mabuk.

Aku tak tahu bagaimana Lisa boleh terpedaya dengan Eric sehingga terpaksa menamatkan pengajian disebabkan kandungan luar nikahnya. Beberapa kali aku menasihatinya untuk menjauhkan diri daripada Eric namun tidak pernah diendahkan. Eric bersetuju untuk bertanggungjawab dengan kandungan Lisa dan mereka akhirnya mendaftarkan perkahwinan mereka seminggu kemudian, bagi mengelak daripada diketahui oleh keluarga masing-masing.

Malang sekali, perkahwinan mereka tidak memberi manfaat kepada kedua-duanya. Eric sering melepaskan kemarahan kepada Lisa setiap kali dia pulang dari bekerja dalam keadaan mabuk. Oleh kerana dia bekerja sebagai penyanyi di sebuah kelab malam, mabuk adalah perkara biasa baginya. Namun, barannya setiap kali mabuk menyebabkan Lisa sering dipukul.

Belum sempat aku menolak pintu, Lisa sudah muncul bersama bagasi 28 inci. Matanya merah dan bengkak. Terdapat lebam di lengan kirinya seperti bekas belitan tali pinggang. Perutnya yang semakin sarat jelas kelihatan membuatkan hatiku remuk melihat sahabat baikku dalam keadaan sebegini.

"Karina... ."

Aku memeluknya erat. Kali itu juga, tangisannya kedengaran lagi. Dia meletakkan kepalanya di bahu kananku dengan butir bicara yang aku tidak dapat fahami. Perlahan aku membelai belakang badannya, hanya mendiamkan diri untuk memberi peluang kepadanya untuk bertenang.

"Dia pukul lagi... aku dah tak tahan... ."

"Tinggal dengan aku je."

"Berhenti, Lisa! Lisa!"

Aku sudah menduga Eric akan muncul. Kerana itu aku sudah bersedia dengan 'bodyguard' percuma, yang entah ke mana hilangnya. Takkan takut. Katanya bodyguard elit, bekas tentera lagi. Tapi aku menoleh kiri dan kanan, masih tak nampak bayang bodyguard elit yang aku upah secara percuma.

"Lisa, aku minta maaf." Eric menarik Lisa dengan kasar sehingga hampir saja Lisa tersungkur ke lantai. "Aku minta maaf. Aku tak sengaja."

Lisa mengetatkan bibirnya sambil menggeleng. Langsung tidak mahu bersuara. Air matanya masih deras mengalir. Kedua bahunya dicengkam erat oleh Eric, aku cuba untuk meleraikannya namun badanku yang ditolak ke lantai. Eric menarik lengan Lisa yang meronta-ronta untuk dilepaskan, masuk ke dalam bangunan.

"Not so fast mister!" Aku mencengkam kaki kiri Eric. "Run, Lisa. Run!" Entah dari mana keberanianku muncul, Eric bukan lelaki sembarangan. Badannya tegap dan tinggi sedangkan aku bulat dan pendek. Senang saja kakinya menyepakku namun demi Lisa, aku sanggup lakukan.

"Lisa, pergi!"

Lisa terlepas dari cengkaman Eric dan terus berjalan dengan laju ke bahu jalan sebelum sebuah Ford Escape berwarna putih muncul lalu pintu di bahagian penumpang dibuka. Pada ketikalah, aku terpandang Ethan keluar dari bahagian penumpang sebelum membantu Lisa masuk ke dalam kereta.

Ethan...

Sedaya upaya aku menahan tanganku yang dipijak-pijak oleh Eric tapi aku gagahkan juga. Semakin kuat kakinya memijak tanganku, semakin kuat cengkamanku, semakin kuat juga jeritan kesakitan sehingga aku terpaksa mengetap gigi demi mengelak suaraku kedengaran.

Karina!

Suara Ethan bergema dalam kepalaku. Nadanya lebih keras dan tajam, aku seakan sudah boleh meneka nasib Eric. Perlahan cengkaman tangan aku lepaskan sebelum kaki kiri yang memijak tanganku sebentar tadi diayun ke belakang seperti bersedia untuk menendang bola lalu singgah ke perutku.

Tidak sempat. Ethan lebih pantas. Aku tidak tahu apa yang dilakukannya, sebaliknya hanya terdengar dia berkata, "Masuk dalam kereta dan balik ke rumah kita."

Rumah kita?

Rumah kita?

Di mana rumah kita?

Dia guna perkataan 'kita'!

Hei, jangan berkhayal! Lisa lebih penting. Aku bangun lalu membalas, "Jangan bunuh dia, Ethan." Dan terus masuk ke dalam kereta. Aku tahu Eric sudah tiada peluang.

Dua minggu yang lalu, bekas majikan ku hampir saja terputus leher gara-gara mengangkat tangannya di hadapanku. Dan lelaki ini, memijak tanganku sehingga kesan tapak kasut kelihatan jelas di atas kulit, entah apa yang akan Ethan lakukan. Aku tak kisah. Biar dia. Dia melukakan bukan sahaja hati kawan baik aku, malah seluruh badannya berbirat dengan bekas pukulan.

"Kita ke mana?" Sebaik kereta mula bergerak, Lisa terus melontar pertanyaan ke arahku. Kami meninggalkan Ethan mengikut arahannya.

Ke mana?

"R-rumah aku."

"Tapi rumah kau di bandar."

Oh, ya! Apartmen aku di bandar. Haluan kereta ini berbeza. Tapi 'rumah kami' (seperti yang Ethan sebut) berada di luar bandar. Atau rumah lain yang Ethan maksudkan?

"Terima kasih, Karina. Kau... dah banyak membantu aku. Aku... malu. Aku... eh?" Dia segera mencapai tanganku yang berlumuran darah. "Tangan kau luka! Kita perlu ke hospital!"

Oh?

Ada kulit yang terkoyak menyebabkan darah mengalir akibat hentakan kasut tanpa henti. Tanganku menggigil kesakitan sejak aku duduk di kerusi.

"Encik, tukar haluan ke hospital terdekat!" Lisa langsung tidak teragak-agak. Awalnya aku ingin membantah namun Lisa betul, pedih luka tidak tertahan.

Pemandu hanya menurut. Aku tidak kenal siapa pemandu ini. Mungkin orang suruhan Ethan? Kerana kami ke Apartmen Omega dengan membonceng motosikal elektrik Ethan. Sempat lagi dia berkata, "Cintai alam sekitar. Jangan menambah karbon di udara." Tahu pula dia tentang karbon.

"Memang sakit." Air mataku menitis namun mulutku tertawa. "Tak sampai seminit dah jadi macam ni. Macam mana kau bertahan dengan dia selama ni?"

"Maafkan aku, Karina. Sebenarnya Eric baik tapi dia... jadi orang lain kalau mabuk."

"Masih nak pertahankan dia?"

"Dia... ayah kepada bayi dalam kandungan aku. Memang aku nak lari dari hubungan ini tapi dia tetap ayah kepada bayi aku. It's called co-parenting."

Lisa mempertahankan Eric membuatkan rasa sakit dan pedih di tanganku menjadi-jadi. Seolah-olah perbuatanku tadi sia-sia. Dia yang meminta pertolongan untuk diselamatkan tetapi dia juga yang mempertahankan tindakan bodoh suaminya itu.

Tidak semena-mena, pemandu kereta menghulur telefon pintar ke arahku. Bingung dengan tindakannya, aku bertanya, "Saya ke?"

"Orang tadi." Itu saja jawapannya.

Oleh kerana tanganku cedera parah, Lisa mencapainya lalu membantu memegang telefon itu ke telinga kananku. Belum habis perkataan 'helo' aku lafazkan, suara Ethan mengamuk terlebih dahulu menyerang.

"Aku kata balik ke rumah kita! Kau ke mana pula?!"

Sakit telinga! Dah kenapa dia telefon pemandu pula, bukan terus ke nomborku? Hah... ya tak ya, kami belum bertukar nombor telefon. Bertunang tapi nombor telefon pun tiada.

"Ke hospital. Tangan saya... ," ayatku tidak berjaya dihabiskan. Telefon pintar jatuh ke bawah. Aku tergamam.

Pandangan Lisa ke bawah. "Karina... ." Aku mengikut pandangan matanya dengan suara yang menggigil ketakutan. Terdapat cecair lutsinar bercampur darah kelihatan, mengalir dari kaki kirinya. "Dah pecah... ."

"Apa yang pecah?!"

**

My Brother's Guardian is a Vampire (Complete 💯❤️)Where stories live. Discover now