KAU KENAL SIAPA ETHAN?

272 26 2
                                    

Ethan's POV

Sia-sia aku beli empat buah kereta. Akhirnya aku masih terpaksa order UBER! Membazir! Dahlah aku kepanasan sebab si Shahib! Duit aku pula hangus disebabkan kereta yang tak berfungsi!

"Karina, angkatlah!" Aku masih mencuba. Di dalam Toyota Vios, begitu berbeza kelajuannya dengan motosikal ku. Dalam jalan yang sesak, UBER yang ku naiki tersekat di lorong tengah sedangkan jika aku menunggang motosikal, setiap ruang sudah dicelah, kiri dan kanan tanpa perlu berbaris.

Hon kedengaran di kiri dan kanan. Ada kemalangan kecil di hadapan. Mengikut laporan radio, lima buah kereta bertembung. Puncanya aku tak tahu. Kepalaku sudah terlalu berserabut memikirkan hal Karina. Kenapa dia menghubungiku tiba-tiba tetapi tidak menjawab panggilanku?

Sesuatu berlaku? Dia diganggu lagi ke? Ryder dan Laila? Mustahil. Sekejam-kejam mereka, mereka tidaklah sebodoh itu untuk mengganggu wanitaku. Karina ialah bakal isteriku, mereka tahu itu.

Kali ke seratus, akhirnya panggilanku dijawab.

"Karina! Kau buat apa ni?! Kenapa tak angkat dari tadi aku call kau? Aku ingat kau dah kena culik vampire. Hampir tercabut jantung aku."

"Maaf. Saya bukan. Saya terjumpa telefon ini di bawah meja."
.
.
.
.
.
New Bettle tiada di tempat letak kereta. Memang di sana lah aku meletaknya pagi tadi. Petak ketiga, baris kedua, bahagian pelajar. Kereta itu sudah tiada. Pelajar perempuan yang menemukan telefon Karina juga telah menyerahkan telefon itu sebaik aku tiba di kolej. Namun, maklumat yang dikongsi kepadaku amat menarik perhatian.

"Oh! Karina tu? Yang naik kereta pink baru tu, kan? Awak yang hantar dia pagi tadi? Saya nampak dia keluar dengan lelaki lain. Hah... ." Dia tertawa perlahan.

Apa masalah budak perempuan ni? Dahlah menggeliat macam cacing kepanasan depan aku, sambil memintal-mintal rambut perangnya yang panjang. Jelas sangat niatnya. Aku dah masak dah teknik menggoda dari budak-budak muda ni. Pengalaman aku lebih luas dari kau. Tak payah menggedik.

"Apa rupa lelaki tu?!" Mula lah darahku mendidih lagi. Belum reda amarahku di Alpha Guardian, tiba-tiba dapat berita aku dicurangi.

Ini sudah melampau!

Aku tahulah Karina tidak akan berbuat begitu tapi mulut busuk budak ni betul-betul menaikkan kemarahan.

"Tak pasti." Tersengih-sengih, bengang aku.

Macam ni ke pelajar kolej berpakaian sekarang? Pakaian seperti hendak menghadiri majlis makan malam, berkilat, separuh badan macam guni. Ketat pula tu. Aku pula yang sesak nafas.

"Tapi dia pakai sut. Pakai topi koboi," tambahnya.

Topi koboi? Entah-entah...

"Ada bunga di poket baju dia?" Seorang saja yang muncul di kepalaku jika sut dan topi koboi bergabung. Tidak lain tidak bukan...

Dia tidak teragak-agak, terus mengangguk.

Kambing!

Karina's POV

Lucas? Brian? Stephen? Entah, lupa nama dia. Yang aku ingat, dia sebut kambing je. Memang betul pun. Dia ketawa macam kambing mengembek.

Aku rasa aku dah kena culik ni, walaupun dalam kereta aku sendiri. Si kambing menarik tanganku menuju ke kereta baruku (macam mana dia tahu kereta ni?) dan mengambil tempat pemandu sebelum membelah jalan menuju ke destinasi rahsia.

Aku membeku di tempat duduk penumpang sebelah pemandu seperti dipukau kerana aku langsung tidak melawan.

Punggungku betul-betul melekat di kerusi sementara tanganku memeluk kedua lututku dengan ketat. Kepala direhatkan di kepala lutut, memandang ke tingkap.

Tak rela aku memandang entah manusia ke puntianak di sebelah aku ni. Busuk. Macam bau minuman coklat basi.

"Kita tunggu kekasih kau telefon. Mungkin dia dah tahu sekarang." Dia mengembek lagi.

"Awak pernah tak dengar suara awak ketawa? Betul-betul macam kambing." Sudah. Aku dah tak tahan dengan ketawanya. Amat menjengkelkan.

Aku boleh bayangkan betapa bengangnya Ethan setiap kali berurusan dengan dia. Melihat tahap kesabaran tunangku senipis kertas, terbayang di mataku Ethan mengetap giginya menahan sabar dengan ketawa si kambing.

Telefonnya berdering, sama seperti tekaannya. Dan nama TUAN ETHAN terpampang jelas pada nama pemanggil tatkala dia menunjukkan skrin telefonnya tepat ke mukaku.

"Betul kan cakap aku," dia tersengih.

Butang hijau ditekan. Sepertinya dia sudah tahu perangai Ethan, dia hanya tersengih sebaliknya membiarkan Ethan mengamuk dalam telefon.

"Kau dah hidup lama, kan... ?" Hanya itu ayat yang keluar dari mulut Ethan. Nadanya rendah dan perlahan, bukan seperti kebiasaannya memaki.

"Tuan Ethan, what a nice car you got here. Comel... macam tuannya." Si kambing memandangku apabila perkataan 'macam tuannya' dilafaz. "Patutlah kau gila bayang... ."

Gila!

Apa yang pasti, aku hanya mendengar Ethan menderam perlahan seperti seekor singa yang memberi amaran kepada musuhnya namun kekal membisu.

"Bila aku kata jadikan dia isteri kau yang sah, apa yang kau buat? Bermain? Aku hanya mahu kau selamat tapi kau degil. Sekarang, aku terpaksa lakukan sesuatu supaya kau bertindak."

"Apa yang kau nak sebenarnya? Apa kepentingan kau dalam hal ini?"

Mengejutkan. Ethan masih kekal tenang. Masalahnya, aku yang tak tenang! Aura lelaki di sebelahku (tolong, dia bukan manusia!) lebih menggerunkan berbanding Ethan pada kali pertama kami berjumpa.

"Aku nak selamatkan kau saja," ujarnya.

Selamatkan apa benda menculik aku?! Kalau nak selamatkan Ethan, culiklah dia. Kenapa mesti libatkan aku?

Telefon dihumban ke kerusi belakang. Pedal minyak ditekan kuat. Kelajuan 80 kilometer sejam bertukar 90, naik ke 100, 110, 120. Bila ia mencecah 160, aku sudah berasa rohku melayang keluar dari badan. Tersalah brek, badanku pasti terpelanting ke hadapan.

"Pandulah elok-elok. Ini kereta baru!"

Kenapa aku bercakap macam Ethan ni? Padahal baru sehari kami tinggal 'bersama', sikapnya yang sarkastik seperti sudah sebati denganku sehingga aku terikut-ikut.

"Kau kenal siapa Ethan?" soalnya tanpa mengalih pandangan ke hadapan. "Dia sangat dekat tapi jauh dengan kau."

"Aku tak nak tahu."

Dia 'mengembek' untuk kali ke seribu. Ugh! "Hubungan kamu berdua sangat menarik. Dia tak kenal kau dan kau tak kenal dia. Tetapi ada seseorang yang menjadi penghubung antara kamu berdua yang akan meruntuhkan hubungan itu."

"Awak cakap apa ni?"

"Soalan aku, kau kenal siapa Ethan?"

**

Writer's note: Fuhhh!! Minggu ni 4 chapters. Next week kembali 2 ya, rabu dan jumaat. Terima kasihhh 😘🥰🤗

My Brother's Guardian is a Vampire (Complete 💯❤️)Where stories live. Discover now