PIHAK KEDUA SELAIN UTARA

217 21 2
                                    

KARINA'S POV

Disebabkan aku? Kenapa pula aku punca kepada semua ni? Aku dan Ethan hanya bertemu kali pertama dua minggu yang lalu. Dan ianya hanya pertemuan untuk satu jam. Dua hari lepas, kami berjumpa kembali dan aku diam di rumahnya kerana rumahku telah direnovasi secara 'paksa'.

Dua hari yang amat padat tetapi aku jatuh hati kepadanya dalam tempoh itu. Begitu cepat. Awalnya aku fikir kerana kontrak darah. Namun setelah mendengar penjelasan kambing, aku sudah tidak pasti.

"Ethan memiliki darah emas. Sebenarnya semua 10 orang ahlinya yang selamat juga memiliki darah emas. Ia sangat berharga dalam dunia puntianak.

Mana-mana pihak berjaya mendapatkan pemilik darah emas, mereka akan memiliki kuasa yang tiada tandingnya. Tetapi 8 orang ahlinya sudah tewas. Hanya tinggal Ethan dan Daniel. Tapi Ethan ialah sasaran utama."

"Sebab?"

Kambing mengambil masa untuk menjawab kerana fokusnya pada pemanduan. Dia memperlahankan supercar itu sebelum menjawab soalanku.

"Sebab dia berketurunan diraja. Aku kira dia telah menceritakan kisah hidupnya kepada kau. Tapi aku yakin dia tidak memberitahu kau tentang kaitannya dengan keluarga diraja Florance.

Ethan ialah putera raja dari Florance. Sepatutnya jika dia masih berada di Florance, dia akan menjadi ketua tentera negara itu dan akan mengetuai peperangan menentang bangsa puntianak. Satu-satunya negara di teluk ini yang mengetahui kewujudan bangsa puntianak."

Aku dah agak dah! Kata hatiku tidak salah. Entah kenapa aku sedikit lega setelah mengetahui asal keturunannya. Ini bermakna aku dan dia sekufu. Roshan pasti tidak membantah jika dia mengetahui keturunan sebenar Ethan. Pada masa yang sama, aku takut. Takut dengan statusnya sebagai kerabat diraja menjadi punca dia menjadi sasaran.

"Sikap Ethan yang juga satu kelemahannya ialah dia tidak mahu ambil tahu. Dia hanya bertindak mengikut arahan. Atau jika ada sesiapa yang membuat provokasi terhadapnya, dia sentiasa mengikut emosi. Satu-satunya bangsa puntianak yang masih kuat ialah di kubu utara.

Kejadian 20 tahun yang lalu adalah untuk menangkapnya. Cara untuk membalas dendam terhadap apa yang telah dilakukan oleh keturunan keluarga Ary kepada bangsa puntianak ialah dengan menjadikan keturunan Ary sendiri sebagai puntianak."

"Jadi... kenapa Ethan tak boleh ke kubu utara? Apa kaitannya dengan saya?"

"Dulu, Utara mahukan Ethan kerana dendam mereka terhadap keluarga Ary. Satu lagi pihak mahukan Ethan kerana darah emasnya. Lebih-lebih lagi, dia sudah mengikat kontrak darah dengan kau, maknanya darah Ethan sudah sempurna. Sekarang, dua pihak sedang berusaha untuk mendapatkan Ethan kerana darahnya sangat berkuasa."

Apa benda ni, aku tak faham!

"Ethan telah dikhianati... sejak 5 tahun yang lalu."

"Oleh ahlinya, bukan?"

"Ya. Seorang demi seorang ahlinya dilarikan demi kepentingan peribadi individu. Kemewahan disirami seorang demi seorang namun semuanya membawa kepada kemusnahan.

Ethan memiliki kemewahan yang berganda dan setiap seorang anak buahnya mahukan kemewahan yang sama. Kerana tidak berjaya mendapatkannya daripada Ethan, mereka mencari sumber lain dan mereka berjaya mendapatkan kemewahan dengan menjual darah emas mereka."

"Lepas tu?"

"Mereka hanya hidup mewah untuk beberapa ketika sebelum badan mereka diracun dengan darah mereka sendiri. Akhirnya mereka bertukar sepenuhnya menjadi raksasa, tidak boleh kembali lagi."

"Mereka sanggup khianati Ethan demi kemewahan sementara?"

"Siapa tak mahu ada Lamborghini? Atau Ferrari di laman rumah? Atau wanita keliling pinggang? Rumah yang besar? Mereka bekas tentera, apalah sangat upah yang mereka dapat berbanding menjual darah emas mereka. Tapi manusia semakin tamak. Darah emas tidak cukup. Akhirnya Ethan menjadi sasaran terakhir."

My Brother's Guardian is a Vampire (Complete 💯❤️)Where stories live. Discover now