ZURIAT TERAKHIR

360 32 0
                                    

Pada masa yang sama di istana kediaman raja, Roshan sedang menikmati makan malam bersama Puteri Brianca apabila mesej daripada bapa angkatnya masuk. Perbualan antara Roshan dengan ibu saudaranya banyak berkisar perihal pejabat sebelum isu 'Karina' mencelah. Itulah peluang yang perlu direbut Roshan iaitu memperkenalkan Puteri Karina kepada dunia.

"Ada perkara yang yang ingin saya sampaikan kepada mak cik."

Ruang makan Dewan 3 ialah satu-satunya ruan makan bercirikan keluarga. Ia mempunyai sebuah meja makan untuk 6 tempat duduk dan merupakan dewan makan terkecil di istana kediamannya. Roshan sengaja memilih ruang yang paling kecil kerana perkara yang ingin dibincangkannya begitu peribadi. Niatnya untuk memasyhurkan adindanya sebagai puteri raja Syrus akan diteruskan, apatah lagi dalam usia 23 tahun ialah masa yang tepat. Tujuannya bukan sahaja untuk Karina namun juga sebagai 'kunci' kepada kedudukannya sebagai raja. Hanya dalam pakaian yang kasual, Roshan mahukan suasana yang tenang untuk membuka rahsia itu.

"Selama 20 tahun saya simpan rahsia ini. Saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk saya kongsikan dengan mak cik."

"Rahsia?"

Puteri Brianca ialah adik kepada ayahanda Roshan iaitu Raja Ash namun berbeza ibu. Ibu kepada Puteri Brianca merupakan isteri kedua raja terdahulu. Raja Ash merupakan zuriat tunggal raja dan permaisuri sementara Puteri Brianca pula satu-satunya zuriat antara raja dan isteri kedua. Perbezaan usia 8 tahun antara Ash dan Brianca menyebabkan hubungan mereka tidak akrab. Malah Ash tidak pernah menganggap Brianca sebagai adindanya. Hanya selepas kemangkatan isteri Ash iaitu Luna, barulah Brianca diterima sebagai ahli keluarga diraja secara rasmi dan diperkenalkan ke seluruh negara yang dikenali sebagai Puteri Brianca. Tiga tahun kemudian, Ash terbunuh dalam serangan hendap ketika rombongan tentera diraja dalam perjalanan pulang ke istana selepas menyelamatkan Roshan yang telah diculik oleh pemberontak utara. Akhirnya Majlis Raja-raja membuat keputusan untuk menyerahkan takhta sementara kepada Puteri Brianca yang baru berusia 25 tahun pada ketika itu memandangkan Roshan baru berusia 6 tahun.

"Mak cik masih ingat peristiwa saya diculik 20 tahun yang lepas?" Roshan meletakkan sudu dan garpu ke meja. Mengumpul semangat di genggaman tangan, dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya panjang.

"Sudah pasti mak cik ingat." Puteri Brianca mencapai hujung tuala di pangkuannya lalu mengelap hujung bibirnya dengan perlahan.

"Saya ada adik." Seperti kilat yang menyambar, Roshan menyembur fakta dengan pantas. Hampir tidak terkeluar butir bicaranya.

"Apa dia?"

Saya ada adik," Roshan mengulang dengan lebih perlahan.

Puteri Brianca tidak memberi reaksi terhadap kenyataan Roshan, sebaliknya memandangnya dengan ekspresi kosong. Sama ada dia keliru atau langsung tidak berjaya menangkap ayat Roshan.

"Saya ada adik perempuan. Adik kandung. Zuriat terakhir ayahanda dan bonda. Puteri bongsu Raja Ash dan Permaisuri Luna," Ayat Roshan lebih teratur dan tenang kali ini.

"A-adik perempuan?"

Roshan mengangguk. "Adik kandung," tambahnya.

Perkataan 'adik perempuan' membuatkan Puteri Brianca terpaku. Bukannya seperti dia terkejut Roshan mempunyai saudara kandung, namun perkataan 'adik perempuan' secara spesifik membuatkan dunianya seolah-olah terhenti.

'Adik perempuan?'

Melihat reaksi emak saudaranya, Roshan tidak menunggunya untuk terus-menerus membuka rahsia. Sekali sudah terbuka, biarkan semuanya terbongkar habis.

"Masa saya dikurung dalam penjara, dia dah ada di sana. Badannya sangat kurus kering dan dia sangat muda. Terlalu muda. Saya ingat lagi... dia tak pandai bercakap lagi pun tapi dia sudah dikurung di sana seperti sejak lahir lagi, dia membesar dalam penjara."

"Berhenti, Roshan... Mak cik masih keliru. Kamu ada adik kandung perempuan?"

"Ya."

"Mustahil! Macam mana kamu tahu dia adik kamu? Logik apa ni? Luna meninggal dunia sebelum bayi lahir."

"Wait, what?" Giliran Roshan tergamam. Bondanya mengandung ketika mangkat? "Bonda mengandung... ?"

Puteri Brianca menghela nafas panjang. Bahu yang keras tadi mula bertenang. "Tak ramai yang tahu, Luna mengandung ketika dia mangkat. Ash pun tak tahu. Tapi kandungannya masih awal. Seingat mak cik dalam 15 minggu."

"Macam mana mak cik tahu tapi ayahanda saya tak tahu? Bonda saya bagitahu mak cik?" Roshan langsung tidak percaya bahawa bondanya akan merahsiakan perkara yang besar itu daripada ayahandanya. Mereka berdua pernah digelar 'The Cinderella's love story' kerana Luna hanyalah seorang rakyat biasa yang menjadi kesayangan Putera Ash ketika mereka masih di bangku sekolah.

"Mak cik tahu sebab mak cik terbaca rekod perubatan Luna sebulan selepas Luna meninggal dunia."

"Mak cik serahkan rekod itu kepada ayahanda?"

Puteri Brianca menggeleng. "Ayahanda kamu arahkan orang gaji untuk bakar semua barang peribadi Luna. Dia tak nak tengok apa-apa yang berkaitan dengan Luna kerana terlalu kecewa. Satu-satunya peninggalan Luna yang masih disimpan Ash hanyalah selendang merah kegemaran Luna dan cincin perkahwinan mereka. Selain daripada itu, semuanya diarahkan untuk dihapuskan.

Niat Roshan untuk memberikan kejutan kepada Puteri Brianca tidak kesampaian sebaliknya dia yang tergamam dengan rahsia yang disimpan Puteri Brianca. Permaisuri Luna mangkat ketika usia kandungannya masih muda dan ayahandanya tidak tahu apa-apa. Namun, maklumat ini mengukuhkan lagi fakta kewujudan Karina. Namun persoalan yang lebih dalam: Bagaimana Karina dilahirkan jika bondanya meninggal ketika usia kandungannya baru 15 minggu?

"Tapi kamu ada adik?"

Sekali lagi, riak wajah Puteri Brianca yang seakan memaksa dirinya untuk terkejut membuatkan Roshan keliru. Sudah beberapa kali Roshan mencuba untuk membaca fikiran mak ciknya itu namun seakan ada pengadang yang mengawal fikiran Puteri Brianca menyebabkan Roshan tidak pernah berjaya.

"Siapa nama dia? Mak cik ingin bertemu dengan dia. Bagaimana dengan wajahnya? Adakah dia seiras Ash atau Luna?"

Roshan yang masih tergamam dengan pendedahan Puteri Brianca hanya mampu mengangguk seperti otaknya kosong. Wajah Karina? Bukan itu yang menjadi perkara utama.

"K-Karina."

"Karina? Wah, sedapnya nama dia! Puteri Karina. Sangat sesuai. Bila kamu nak perkenalkan dia dengan mak cik?"

"Err... ."

"Bawa dia masuk istana. Mak cik tak sabar nak jumpa dia. Oh! Mungkin ini ialah takdir. Kaden juga baru pulang dari luar negara. Mungkin kita boleh satukan mereka? Bukankah ia baik untuk keluarga kita?"

Hah? Dahi Roshan berkerut. Mulutnya ternganga sedikit kerana masih terkejut. Ditambah dengan reaksi emak saudaranya yang seakan dibuat-buat, dia menjadi keliru. Tiba-tiba saja hendak menjodohkan adiknya dengan sepupunya sendiri. Logik apa pula ni? Kemudian dia teringat akan mesej yang baru dihantar oleh Ethan. Menggunakan alasan itu, dia bangun dari kerusi untuk ke luar beranda membaca mesej.

'I'm engaged!' - Ethan

What??!

My Brother's Guardian is a Vampire (Complete 💯❤️)Where stories live. Discover now