Bab 25:Sokongan Keluarga

3 1 0
                                    

Sesampainya di sekolah, Lily masih enggan untuk keluar dari kereta. Tangisannya semakin menjadi-jadi, dan dia memegang erat tangan Hairul, tidak mahu masuk ke dalam bangunan sekolah. Mia dan Hairul terus memujuknya, tetapi Lily tetap tidak mahu berganjak.

Tiba-tiba, seorang cikgu datang mendekati mereka bersama Haikal. Cikgu Syahira, guru kelas Haikal yang sangat dikenali oleh keluarga mereka, tersenyum lembut sambil memandang ke arah Lily yang masih menangis.

"Kenapa ni? Kenapa Lily tak nak masuk sekolah?" tanya Cikgu Syahira dengan nada lembut dan penuh prihatin.

Lily yang masih teresak-esak perlahan-lahan memandang ke arah Cikgu Syahira. Air mata masih mengalir di pipinya, tetapi dia kelihatan sedikit tenang apabila melihat senyuman cikgu tersebut. Cikgu Syahira menunduk sedikit, berada pada paras mata Lily, dan menghulurkan tangan dengan lembut.

"Tak apa, sayang. Cikgu di sini untuk bantu Lily. Kita akan main dan belajar banyak benda seronok hari ini," kata Cikgu Syahira dengan mesra, sambil cuba menenangkan Lily.

Haikal yang sudah terbiasa dengan suasana sekolah, dengan pantas terus berkata, "Cikgu, ini lah adik saya, Lily. Dia takut nak masuk sekolah."

Cikgu Syahira tersenyum mendengar kata-kata Haikal. Dia tahu betapa pentingnya sokongan dari keluarga pada hari pertama sekolah. "Oh, jadi ini adik Haikal yang comel tu? Jangan risau, Lily. Abang Haikal pun selalu cakap yang baik-baik tentang Lily. Semua cikgu di sini baik-baik saja," sambung Cikgu Syahira, cuba menarik perhatian Lily.

Lily memandang ke arah abangnya, kemudian kembali ke arah Cikgu Syahira. Walaupun masih ragu-ragu, dia mula merasa sedikit tenang dengan kehadiran cikgu yang ramah itu. Hairul dan Mia memandang situasi itu dengan penuh harapan, berharap Lily akan berasa lebih selesa.

"Bagaimana kalau Lily pegang tangan cikgu, dan kita masuk sama-sama?" cadang Cikgu Syahira, sambil menghulurkan tangannya dengan lembut kepada Lily.

Lily memandang tangan yang dihulurkan itu dengan ragu-ragu, namun setelah melihat senyuman cikgu Syahira dan dorongan lembut dari Hairul dan Mia, dia akhirnya menghulurkan tangannya yang kecil, menyambut tangan cikgu tersebut.

Hairul dan Mia tersenyum lega. "Bagus, Lily. Mama dan ayah akan tunggu sini sampai Lily rasa ok, ya?" kata Mia dengan penuh kasih sayang.

Lily mengangguk perlahan, dan bersama dengan Cikgu Syahira dan Haikal, dia perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam sekolah. Walaupun air mata masih ada, namun ketenangan mula menyelinap masuk ke dalam hatinya.

Hari pertama Lily di sekolah mungkin bermula dengan tangisan, tetapi dengan sokongan keluarga dan cikgu yang prihatin, dia akhirnya berani menghadapi dunia yang baru.

My Big FamilyWhere stories live. Discover now