Bab 47:Memori yang Tak Terlupakan

1 1 0
                                    

Beberapa hari berlalu, dan Hairul mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Suatu hari, Haikal membawa makanan ke bilik ayahnya. Ketika dia membuka pintu dan melangkah masuk, pandangannya tertumpu kepada Lily dan Hairul yang sedang ketawa bersama.

Lily berada di sisi Hairul, menceritakan sesuatu yang lucu sambil menggenggam erat tangan ayahnya. Wajah Hairul yang sebelum ini tampak lemah kini berseri dengan senyuman. Haikal berdiri sejenak di pintu, merasa hangat di hatinya melihat pemandangan itu.

Dengan senyuman lembut, Haikal melangkah masuk ke dalam bilik. "Abang bawakan makanan untuk ayah," katanya sambil meletakkan dulang makanan di atas meja kecil di sebelah katil.

Hairul menoleh ke arah Haikal dengan senyuman. "Terima kasih, Haikal. Kau sentiasa fikirkan ayah."

Lily memandang abangnya dan tersenyum. "Abang, ayah cakap abang yang jaga dia dengan baik. Lily pun bangga dengan abang."

Haikal tersenyum sambil duduk di sisi katil, merasakan kebahagiaan yang mendalam melihat ayahnya semakin sihat dan adiknya ceria. "Abang cuma buat apa yang patut. Asalkan ayah cepat sembuh, itu yang penting."

Mereka bertiga duduk bersama, menikmati makanan sambil berbual ringan, merasakan kehangatan keluarga yang sangat berharga.

Pada malam itu, Haikal berada di dapur, sibuk menyiapkan makan malam. Bunyi hirisan pisau yang berirama di atas papan pemotong mengisi ruang dapur yang tenang.

Tiba-tiba, kenangan lama menjelma di benaknya-memori indah ketika dia sering membantu ibunya di dapur. Dia teringat bagaimana ibunya dengan penuh kesabaran mengajarnya cara memotong sayur dengan betul, sambil berbual tentang kehidupan seharian mereka.

Saat kenangan itu makin jelas, Haikal tiba-tiba merasakan pedih di jarinya. Dia tersentak dan melihat darah mula mengalir perlahan dari luka di jarinya-dia tanpa sedar telah terhiris pisau semasa memotong sayur.

Dengan cepat, Haikal menekan luka itu dengan tangan yang satu lagi, menahan rasa sakit. Namun, lebih daripada rasa sakit fizikal, hatinya terasa lebih perih mengingat ibunya yang sudah tiada.

Dia segera membasuh jarinya di bawah air mengalir, dan memandang ke luar tingkap dapur. Malam yang tenang, namun di dalam dirinya, terdapat perasaan rindu yang mendalam terhadap ibunya. Sejurus selepas itu, Haikal membalut jarinya dengan kain, berusaha menenangkan diri.

"Ma, Haikal masih ingat semua yang mama ajar," bisiknya perlahan, seolah-olah berharap angin malam dapat menyampaikan pesan itu ke alam yang lain. Dia mengambil nafas dalam-dalam, kembali ke meja dapur untuk meneruskan tugasnya, kali ini dengan lebih berhati-hati, namun dengan hati yang sedikit berat.

Haikal melangkah perlahan menuju ke bilik ayahnya sambil membawa dulang berisi makanan. Sebaik sahaja dia membuka pintu, dia melihat Hairul sedang duduk di atas katil, tekun membaca sebuah buku. Cahaya lampu meja memancar lembut, menerangi wajah Hairul yang kelihatan tenang.

Haikal meletakkan dulang makanan di hadapan ayahnya. "Ayah, ni makanan untuk ayah. Lily tadi tolong sikit dekat dapur," kata Haikal dengan senyuman kecil. Hairul mengangkat kepala dari bukunya, tersenyum melihat anaknya.

Namun, senyuman Hairul hilang sebaik sahaja dia melihat tangan Haikal yang berbalut. "Haikal, tangan tu kenapa?" tanya Hairul dengan nada risau, sambil meletakkan bukunya ke tepi.

Haikal tergelak kecil, cuba menenangkan ayahnya. "Oh, ni... tak sengaja terhiris masa potong sayur tadi, ayah. Tak teruk pun, jangan risau," jawab Haikal sambil menunjukkan tangannya dengan tenang.

Hairul memandang tangan Haikal dengan rasa bersalah dan prihatin. "Haikal, kena hati-hati sikit. Kalau mama ada, dia mesti risau tengok tangan Haikal macam ni," katanya sambil menghela nafas panjang. Ada sedikit kepiluan dalam suaranya, mengenang isteri yang sudah tiada.

Haikal hanya mengangguk, memahami maksud ayahnya. "Haikal akan lebih berhati-hati lepas ni, ayah. Haikal tak nak ayah risau," balas Haikal, sambil tersenyum lemah.

Hairul mengusap kepala Haikal dengan penuh kasih sayang, berusaha menyembunyikan perasaan sedih yang masih bersisa. "Terima kasih, Haikal. Ayah bangga dengan kamu," ucap Hairul dengan lembut, sebelum menarik Haikal dalam pelukan hangatnya.

My Big FamilyWhere stories live. Discover now