Nazreen Fawwaz
Bunyian karaoke yang datang daripada penduduk-penduduk kampung yang berhibur sehingga ke tengah malam ini masih tidak mampu menggambarkan betapa aku sendiri kecewa dengan perasaanku. Setelah aku menikmati makan malam di rumah pusaka, masakan daripada air tangan Dayana sendiri. Aku tidak berlama-lama di situ kerana Johan anak maksu yang paling aku benci ada sekali di rumah tersebut. Sewaktu kami masih kecil, dia sering membuliku dan mengambil mainanku serta mengacau Nazreena sehingga dia menangis teresak-esak. Sehingga lah kami besar, tumpuan dan niatnya hanya lah untuk mengalahkan aku walaupun dalam keputusan peperiksaan atau apa jua yang aku sertai di sekolah. Kerana sudah tidak tahan bosan, aku bergerak pula menuju ke gerai yang terletak tidak jauh daripada rumah untuk membeli makan malam buat Qayra kerana Dayana tidak masak lebih. Aku tahu itu hanya lah rancangan maksu dan Dayana sahaja supaya aku tidak membawa pulang makanan buat Qayra. Dari gerai ini, aku masih boleh melihat rumah yang masih terang dek cahaya lampu menandakan Qayra masih belum tidur.
Apa yang paling aku kesal sekali apabila dia menolak pelawaanku untuk datang ke rumah atok bagi menikmati hidangan makan malam bersama. Aku tahu bahawa dia berasa risau jika maksu melakukan pelbagai cara untuk melukakan hatinya. Namun, dia perlu tahu bahawa aku ada untuk melindunginya. Jauh di lubuk hati, aku juga tidak dapat menipu diri sendiri jika aku juga kecewa Qayra tidak mempercayai suaminya sendiri yang boleh melindungi dirinya atas sebab aku juga telah banyak melukakan hatinya selama baru dua hari pertemuan kami.
Siang tadi aku tidak sabar untuk berjumpa dengannya. Terasa rindu yang menebal untuk melihat wajahnya sendiri setelah melihat dia kelmarin di dalam sepersalinan baju kurung bak wanita melayu terakhir. Dan apabila aku berjumpa dengannya tengahari tadi, aku tidak dapat menyembunyikan perasaan marahku apabila dia masih mahu memandu walaupun setelah kemalangan berlaku yang mengundang kecederaan pada kepalanya. Aku tidak berniat untuk mengatakan kepadanya bahawa dia hanya tahu menyusahkanku sahaja. Namun, itu adalah ayat yang dilontarkan sendiri tanpa hati dapat mengawal.
Ditambah pula sewaktu di dalam kereta aku terlalu ingin mendengar dirinya memanggilku dengan panggilan abang jadi aku terpaksa menyakiti hatinya. Aku tahu bahawa itu sahaja cara agar aku dapat mendengarnya berbual denganku. Dan aku tahu dia tidur dalam air matanya sewaktu terdengar lagu yang berkumandang persis kehidupan kami berdua. Wajahnya yang putih itu menjelaskan segala-galanya kerana berubah kepada kemerah-merahan. Aku mengumpulkan segala sisa baki kekuatan untuk tidak memberhentikan kereta di tepi jalan dan memeluknya erat serta mengatakan betapa aku rindukan dirinya. Mengatakan yang aku tidak berniat untuk melukakan hatinya.
Begitu juga dengan apa yang terjadi pada petang tadi sewaktu aku mengajaknya ke rumah atok. Aku tidak berniat merentap lengannya kasar sehingga membuat dia akhirnya mengalirkan air mata di hadapanku. Aku juga turut benci akan diriku sendiri kerana telah membuatnya menangis. Wajahnya kelihatan terlalu pucat walaupun dia menyembunyikannya di sebalik solekan nipisnya itu. Aku menjadi tidak keruan apabila melihat raut wajahnya yang sentiasa tampak lemah seperti sedang menanggung sesuatu beban.
Kata-katanya juga masih terngiang-ngiang di telingaku ibarat disiat-siat seluruh jiwa dan ragaku.
'Abang jijik dengan Qay?'
'Kalau Hafifi and umi cakap yang dulu abang ni seorang lelaki penyayang, Qay tak nampak mana kebenaran kata-kata diorang. Sebab apa yang Qay nampak sekarang hanya kebencian je dalam mata abang.'
"Panjang menung nak." Tegur tauke gerai itu menghentikan lamunanku. Aku hanya tersenyum tipis dan menatap wajah tua itu.
"Takda lah pakcik. Sibuk betul ya malam minggu ni?" Kataku ramah cuba untuk berbasa-basi.
YOU ARE READING
Harapan Tertunda
Teen FictionQayra Haufia x Nazreen Fawwaz "Tapi saya dah nak kahwin dengan Dayana 3 bulan dari sekarang." - Nazreen Fawwaz "Takpa. Saya janji saya takkan jadi penghalang kebahagiaan awak dengan Dayana. Saya hanya nak peluang daripada awak. Selebihnya terpulang...