Qayra Haufia
Sudah seminggu berlalu antara aku dan Nazreen selepas kejadian malam itu yang membuatkan maruahku hampir sahaja tercalar dek kerana perbuatan suami sendiri. Kami tidak bertegur sapa dan aku juga sentiasa berasa takut apabila dekat dengannya. Bukan itu sahaja, setiap kali aku di sisinya aku lebih banyak berjaga-jaga kerana khuatir perkara yang lepas akan kembali berlaku semula. Nazreen juga perasan dengan sikap was-was yang aku tonjolkan dan dia cuba menerangkan kepadaku setiap kali kami bersama namun tiap kali itu juga lah aku menegahnya untuk bercakap atau memintanya untuk diam sahaja.
Walaupun begitu, tanggungjawab aku sebagai seorang isteri tidak pernah aku lupa. Aku akan memasak untuknya dan makan tanpanya, begitu juga dengan Nazreen kerana sentiasa ada perasaan risau di dalam hati ini. Kebanyakan masaku hanya dihabiskan di dalam bilik dan di hadapan laptop sahaja. Boleh dikatakan seminggu juga aku tidak menghadap televisyen.
Rutin harian kami setiap pagi juga sama seperti kebiasaannya. Aku akan menolong membetulkan tali leher Nazreen tanpa mengucapkan apa jua patah perkataan dan akan bersalaman dengannya lalu masuk ke dalam bilik dengan serta-merta. Pernah juga kedengaran helaan perlahan atau dengusan daripada Nazreen kerana aku yang masih bersikap dingin itu. Maksu dan Dayana juga ada datang beberapa kali dan pernah bermalam di sini bersama-sama Johan. Namun aku mengelakkan diri daripada Johan sebaik yang mungkin agar tidak menghiris lagi hati Nazreen yang kemungkinan terluka kerana melihat isterinya bersama lelaki lain sewaktu aku masih dalam jagaannya walaupun dia tidak mencintaiku. Namun begitu, aku harus menjaga air mukanya sebagai seorang suami kerana aku tetap mencintainya.
Aku bangun daripada tikar sejadah selepas menunaikan solat Subuh lalu melipatnya dan meletakkan ia di katil. Dalam seminggu ini juga aku banyak belajar tentang agama daripada ustazah Aishah. Dia lah yang banyak menjadi sumber inspirasiku dan dia juga lah yang sabar menolongku dari sekecil-kecil perkara sehingga lah perkara yang besar.
Selesai menunaikan solat, aku keluar daripada bilik untuk melihat Nazreen yang sudah bersiap untuk pergi ke office atau belum kerana jam akan menginjak ke pukul 7. Aku tidak mendengar bunyi bising seperti kebiasaannya pada pagi ini. Aku menjadi pelik namun aku menapak ke arah bilik Nazreen untuk mengetuk pintu biliknya
"Abang." Tegurku lembut. "Abang dah bangun ke belum?" Apabila tiada balasan daripadanya, hatiku menjadi berdebar tidak tentu arah.
Aku segera memulas tombol pintunya dan masuk ke dalam. Nazreen yang sedang baring membelakangiku dengan comforter sehingga ke paras telinganya sungguh mengejutkanku. Aku pantas meluru ke arahnya dan duduk di birai katil sambil memegang bahunya supaya dia menghadapku.
"Awak nak apa?" Soal Nazreen kasar. Hidung, pipi dan telinganya terlalu merah. Aku melekap belakang tapak tanganku di dahinya. Dia menolak tanganku laju.
"Abang demam ni." Suaraku hampir tidak kedengaran. "Kita pergi hospital ya." Ajakku resah melihatnya yang masih melelapkan mata itu.
"Awak tak payah lah susahkan diri. Pergi lah! Jangan ganggu saya." Ujar Nazreen sambil menarik comforter menyelimuti dirinya semula sehingga ke kepala.
"Abang, jangan lah macam ni. Qay risau tau." Kataku mengusap lengannya dari luar comforter. Kata-kataku itu disambut dengan perlakuan Nazreen yang bangun secara tiba-tiba dan menghadap wajahku.
"Awak risau? Kalau awak risau dah lama awak care. Ni tak, awak always takda larikan diri daripada saya all the time." Tempelak Nazreen seperti berjauhan hati. Aku mengeluh perlahan.
"Qay takut ..." Aku tunduk menekur lantai tidak mampu untuk melihat wajahnya sambil bermain dengan jari-jariku.
"Takut apa? Takut saya rogol awak?!" Nada suaranya terlalu tinggi.

ANDA SEDANG MEMBACA
Harapan Tertunda
Teen FictionQayra Haufia x Nazreen Fawwaz "Tapi saya dah nak kahwin dengan Dayana 3 bulan dari sekarang." - Nazreen Fawwaz "Takpa. Saya janji saya takkan jadi penghalang kebahagiaan awak dengan Dayana. Saya hanya nak peluang daripada awak. Selebihnya terpulang...