Nazreen Fawwaz
Aku melihat setiap hembusan nafas yang terlepas dari bibir Qayra sewaktu dia sedang nyenyak tidur di sebelah. Jujur aku katakan, aku jatuh cinta terhadap diri Qayra berkali-kali walaupun hatiku keras menegah supaya aku tidak terlalu berlembut dengan Qayra atas apa yang telah terjadi antara kami berdua. Namun, siapa aku untuk menghalang perasaan yang merupakan fitrah utama manusia ini?
Qayra merupakan wanita yang terlalu lembut apabila kehilangan keseluruhan memorinya. Dia tidak pernah melawan, menghina atau bercakap yang buruk mengenai maksu ataupun Dayana walaupun mereka membuatnya pelbagai cara untuk menyakitkan hati Qayra. Mungkin begitu jugalah sikapnya apabila berdekatan dengan Hafifi. Dia tidak akan sekali-kali menceritakan hal perkahwinan kami sebagaimana dia tidak pernah menceritakan perilaku maksu dan Dayana yang keji terhadapnya.
Aku menghela nafas perlahan melihat wajah pucat Qayra yang terlena di atas lenganku setelah aku mengurut kepalanya sebentar tadi. Dia sentiasa berwajah pucat walaupun dia menutup dengan solekan namun jelas terpancar bahawa dia kelihatan seakan-akan terlalu penat. Dia tidak mempunyai morning sickness atau alahan mengandung yang lain namun aku juga tidak tahu masalah sebenar yang dihadapi oleh Qayra.
Aku bangun dari pembaringan dengan berhati-hati setelah meletakkan Qayra di tempat yang lebih selesa. Dia mengiring ke kiri membelakangiku dan aku turun dari katil untuk ke dapur bagi membasahkan tekak yang terasa kering.
Keadaan di dapur terang benderang menandakan ada seseorang yang turut berada di dapur. Aku melihat maksu yang sedang duduk tercongok di meja makan sambil bermain dengan gelas di hadapannya. Aku dapat melihat belakang tubuh maksu yang agak membongkok dengan tenungannya tepat ke hadapan seperti boleh menembusi dinding. Dia tidak sedarkan kehadiranku yang semakin menghampirinya di sisi.
"Maksu." Aku menepuk lembut bahunya. Terhinjut bahu maksu kerana terkejut dengan panggilanku namun semakin reda dan kembali memfokuskan perhatiannya di hadapan. Aku duduk bertentangan dengan maksu di meja makan.
"Qayra dah tidur?" Buat pertama kali dalam sejarah maksu menanyakan kepadaku mengenai Qayra tanpa tengkingan dan dengan nada suara yang begitu lembut sekali. Aku tersenyum tipis lalu mengangguk. "Ada benda maksu nak discuss dengan Naz." Kata maksu lalu meneguk sedikit air di dalam gelasnya. Aku menunggu dengan sabar tentang apa yang cuba maksu sampaikan. Namun setelah sekian lama maksu masih termenung, aku menepuk lembut tangannya.
"Ada apa maksu nak cakap dengan Naz?" Maksu yang bagaikan tersedar itu kembali meneguk air di dalam gelasnya. Tindakannya itu seperti orang yang dalam keadaan takut-takut sahaja lagaknya.
"Pasal wedding Naz dengan Yana." Kata maksu mendatar. Aku meneguk air liur yang terasa kesat. "Naz takda decide untuk batalkan perkahwinan ni kan?" Soal maksu lembut seperti tidak mahu menakutkanku.
"Qay tengah pregnant tu maksu." Maksu mengangguk perlahan namun jelas terpancar wajah kekecewaannya.
"Maksu tahu." Jawab maksu pendek. Aku mengerutkan kening tanda pelik melihat kelakuannya.
"Straight to the point maksu." Ujarku apabila melihat dia yang bermain dengan gelas di tangannya. Maksu menghela nafas perlahan lalu memandang wajahku lama.
"Maksu taknak Naz batalkan perkahwinan dengan Dayana." Walaupun nada suara maksu lembut namun masih ada ketegasan di dalamnya. Giliran aku pula bermain dengan gelas di tangan. "Maksu tak boleh tidur ni sebab fikir masa depan Naz. Maksu tak jamin Qay boleh bahagiakan Naz. Maksu ni ibu saudara Naz. Naz kena faham apa yang maksu buat ni semua untuk kebaikan Naz."
"Boleh tak Naz nak tanya satu soalan sensitif?" Soalku kepada maksu. Dia hanya menganguk kecil memberiku keizinan untuk bertanyakan soalan yang mungkin akan mengecilkan hatinya. "Kenapa maksu tak suka sangat dengan Qayra?"
ANDA SEDANG MEMBACA
Harapan Tertunda
Teen FictionQayra Haufia x Nazreen Fawwaz "Tapi saya dah nak kahwin dengan Dayana 3 bulan dari sekarang." - Nazreen Fawwaz "Takpa. Saya janji saya takkan jadi penghalang kebahagiaan awak dengan Dayana. Saya hanya nak peluang daripada awak. Selebihnya terpulang...
