Qayra Haufia
"Takpa lah umi, Qay boleh buat." Aku membantah pada umi apabila dia bertegah untuk mengemas pakaianku. Kami sudah dimaklumkan bahawa aku akan discharge pada tengahari ini selepas seminggu aku berada di hospital.
Perhubungan aku dan Nazreen juga semakin bertambah baik namun kami jarang-jarang bercakap, hanya apabila perlu sahaja. Dia juga rajin melawat namun tidak menjagaku di hospital pada malam hari kerana Hafifi keras menegah. Aku juga malas untuk mencampuri urusan mereka berdua memandangkan Hafifi melihat Nazreen dengan penuh api kebencian. Hafifi lah yang bertanggungjawab menjaga aku pada setiap malam. Dia juga sudah pulang ke Kuala Lumpur untuk kerja amalnya.
Hanya umi dan babah sahaja yang masih berada di Kota. Umi mengatakan bahawa aku tidak perlu risau untuk tinggal di rumah sendiri memandangkan maksu dan Dayana sudah pulang ke rumah pusaka. Tarikh perkahwinan Nazreen dan Dayana juga sudah tinggal dua minggu sahaja lagi dari sekarang. Kami pernah berbincang tentang hala tuju perkahwinan kami namun tidak lah terlalu serius jadi aku hanya menutup sahaja kes perhubungan kami mengharapkan masih ada harapan untuk kami bersama.
"Umi nak kena jaga Qay dalam pantang." Aku mengerutkan kening tanda pelik bahawa aku tidak melahirkan anak jadi mengapa aku harus berpantang? Umi tergelak kecil seolah-olah memahami kekeliruanku.
"Orang yang keguguran pun kena lalui proses berpantang. Takut ada angin masuk dalam badan, tak elok. Dulu mama Qay, umi lah yang jaga dia pantang after dia lahirkan Qay." Aku teringatkan wajah sedih mama yang sentiasa menghantui aku sejak aku mendapat semula memoriku.
"Umi, Qay taknak minum air akar kayu tu semua eh. Skip kalau boleh yang tu." Umi memukul lenganku manja sambil masih tergelak kecil.
"Boleh pulak nak demand. Semua kena buat Qay. Pakai bengkung, minum air akar kayu, lumur pilis atas dahi, semua lah Qay. Tak boleh skip lah." Aku tersenyum tipis. Mujurlah umi ada, jika tidak aku juga tidak tahu untuk bergantung harap dengan siapa lagi.
"Umi, Qay dah siap?" Soal Nazreen yang tiba-tiba sahaja terjengul di muka pintu. Wajah umi yang ceria tadi terus bertukar dingin. Aku tahu hubungan mereka anak-beranak tidak baik, berpuncanya semua dari aku. Jadi, aku perlu memulihkan hubungan mereka berdua supaya Nazreen tidak dianggap sebagai anak derhaka.
"Dah." Aku menjawab bagi pihak umi. Nazreen mengangguk kecil lalu mengambil luggage di sisi katil hospital dan dibawa keluar.
"Qay. Qay okay?" Soal umi sewaktu kami membontoti Nazreen dari belakang.
"Okay je umi. Kenapa?" Aku pelik mendengar soalan umi.
"Kalau Qay nak meluah, Qay tahu kan umi boleh jadi pendengar setia Qay." Aku mengangguk kecil sambil melentokkan kepala di bahu umi. Aku tidak menjawab kata-katanya dan hanya berjalan sehingga lah ke kereta Nazreen.
Kami bergerak meninggalkan ruangan hospital dan menuju ke rumah. Pemanduan kami hanya dipenuhi dengan alunan muzik terkini. Aku membuang pandang ke luar tingkap namun dapat aku lihat dari tingkap, Nazreen sesekali menjeling aku cuma masih tidak mengeluarkan suara untuk bertanya apa-apa. Aku juga tidak berminat untuk berbual dengannya memandangkan tuduhannya yang melulu tanpa usul periksa seminggu yang lalu masih segar dalam ruang ingatan.
🌸🌸🌸
"Awak nak apa-apa lagi Qay?" Soal Nazreen lembut sewaktu dia melakukan kerja di hadapan laptopnya. Aku tidak berapa selesa memandangkan sakit kepala yang masih belum berkurangan sejak dari awal pagi lagi. Namun, aku tidak menyuarakan rasa sakit itu kerana aku tahu aku tidak mahu menyusahkan Nazreen, umi ataupun babah.

ANDA SEDANG MEMBACA
Harapan Tertunda
Novela JuvenilQayra Haufia x Nazreen Fawwaz "Tapi saya dah nak kahwin dengan Dayana 3 bulan dari sekarang." - Nazreen Fawwaz "Takpa. Saya janji saya takkan jadi penghalang kebahagiaan awak dengan Dayana. Saya hanya nak peluang daripada awak. Selebihnya terpulang...