Qayra Haufia
"Assalamualaikum." Jerit seseorang dari luar rumah. Baru aku ingin bangun untuk melihat siapa gerangan yang memberi salam, Nazreen menolak tubuhku perlahan supaya kembali duduk sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk. Aku membalas senyumannya tipis.
Begitulah seminggu berlalu, perhubungan kami semakin baik sejak dikhabarkan dia akan menjadi seorang ayah. Dia tidak memberi aku melakukan kerja-kerja yang dia mampu buat. Nazreen akan sentiasa memanjakanku walaupun pada hari dia bekerja. Dia juga sudah tidak pulang lewat seperti kebiasaannya dan tidak bertandang di rumah maksu. Aku juga pernah menasihatinya supaya dia ke rumah maksu, menjenguknya kerana aku tahu maksu akan mengatakan bahawa aku lah orang yang menghasut Nazreen sehingga dia berubah sebegini. Namun, Nazreen hanya mengatakan urusanku lebih penting daripada segala-galanya dan dia tidak membenarkan untuk aku bersendirian sewaktu aku masih mengandung.
"Lambat Naz bukak pintu." Nazreen hanya menggaru-garu kepalanya apabila mendengar komen maksu itu.
Aku bingkas bangun untuk bersalaman dengan maksu dan Dayana yang turut berada di belakangnya. Namun hanya Dayana sahaja yang menyambut huluran tanganku. Maksu pula seperti kebiasaannya hanya buat tidak endah seperti angin lalu menyapa dia sahaja. Aku sudah terbiasa dengan sikapnya yang satu itu. Johan pula baru naik ke rumah lalu duduk di sebelah maksu sambil tersenyum senang ke arahku. Mujurlah ada tudung yang disidai di tepi sofa jadi aku hanya perlu sarung untuk menutup rambutku yang terdedah.
"Qay buatkan air ya." Aku tersenyum ke arah mereka bertiga lalu memandang wajah Nazreen yang tegang itu. Aku mengerutkan kening tanda tidak faham.
"Abang cakap apa? Biar abang yang buatkan. Qay duduk je." Wajah tegang maksu dan Dayana tidak dapat disembunyikan. Muka mereka benar-benar berang apabila mendengar perkataan yang keluar dari bibir Nazreen.
"Apa Nazreen cakap ni?! Nazreen dah buang tebiat ke?" Soal maksu dengan nada suara yang tinggi.
"Naz cakap apa mak? Dia nak tolong Qay buat air je pun. Apa yang salahnya?" Soal Johan pula di sebelah maksu sambil berkerut-kerut mukanya seperti orang yang kebingungan.
"Betul kata Jo tu maksu. Apa yang salahnya? Naz nak tolong Qay buat air je." Sambut Nazreen menyokong kata-kata Johan.
"Selama ni takda pulak nak tolong perempuan ni!" Bentak maksu kuat sehingga dia menepuk meja kopi di hadapan.
"Nama dia Qayra maksu. Qayra Haufia! Dia wife Nazreen. Lagipun dia tengah pregnant!" Tempelak Nazreen seperti orang yang hilang sabar. Maksu dan Dayana masing-masing melopong apabila mendengar pengkhabaran daripada Nazreen. Aku menjadi serba tidak kena untuk berdiri dan melihat pertengkaran mereka, jadi aku mengambil keputusan untuk berlalu ke dapur.
Belum sempat aku ingin ke dapur, Nazreen menarik lenganku lembut. Aku mendongakkan kepala untuk memandang wajahnya dengan lebih jelas. Raut kemerahannya itu menggambarkan bahawa dia sedang berperang dengan perasaan sendiri supaya lebih bersabar dengan kata-kata serta tindakan maksu.
"Biar abang buat air okay." Kata Nazreen lembut. Dia tidak menunggu jawapanku dan hanya berlalu ke dapur meninggalkan aku untuk menghadap maksu dan Dayana yang masih menyinga memandangku.
"Dah berapa bulan Qay?" Soal Johan ramah. Aku tersenyum malu ke arahnya. Aku tahu dia sedang berlakon seperti tidak tahu bahawa aku sedang mengandung kerana dia adalah orang yang pertama tahu mengenai kandungan ini sewaktu kami berjumpa di klinik seminggu yang lalu.
"Dah masuk 4 weeks." Ujarku membalas pertanyaan Johan. Dia mengangguk kecil sambil tersenyum.
"Alhamdulillah. Syukur lah." Maksu di sebelahnya menjeling tajam ke arah kami berdua.
YOU ARE READING
Harapan Tertunda
Teen FictionQayra Haufia x Nazreen Fawwaz "Tapi saya dah nak kahwin dengan Dayana 3 bulan dari sekarang." - Nazreen Fawwaz "Takpa. Saya janji saya takkan jadi penghalang kebahagiaan awak dengan Dayana. Saya hanya nak peluang daripada awak. Selebihnya terpulang...