Kulit kau seakan-akan seperti ada sesuatu yang mahu keluar dari bawah sana; aku hairan bagaimana kau kelihatan begitu tenang dengan apa yang hidup di bawah kulit itu.
Aku tidak dapat melihat hal sebenarnya; namun hal itu terasa kuat melingkari nafas kita malam ini. Bulan juga gementar melihat kau sebegini rupa. Dia hanya menghantarkan beberapa gugus bintang mewakili dia. Bintang itu aku gunakan untuk menerangi senyumanmu yang seakan malap ketika ini.
Lalu satu persoalan terlontar dariku. Tidakkah kau menyedari kata-katamu tempoh hari? Kau bilang kau senang sendiri. Padahal setiap malam aku mendengarimu menangis sepi. Kau berharap tangismu itu hilang di udara malam; lalu kau menuliskan dukamu pada deru yang dingin ketika itu.
Cintamu tidak lagi bergelora seperti selalu. Pandangmu hilang menerobos langit biru membawamu semberono. Tubuhmu rebah pada sandaran yang tiada rela menantimu. Kau seperti hilang di perairan yang sendiri ciptakan.
Aku tidak pernah takut.
Kulit kau seakan-akan seperti ada sesuatu yang mahu keluar dari bawah sana; namun kau masih tenang dengan apa yang hidup di bawah kulit itu.

YOU ARE READING
Sejarah Dari Mata Pengalah
PoetryKumpulan puisi dan prosa tulisan M. Firdaus Kamaluddin.