DANIAL lari selaju yang mungkin. Tangga yang berada di hadapannya terus dipijak satu persatu. Apabila sampai sahaja di anak tangga teratas, sebuah pintu terus dibuka.
Semak-samun dan pohon-pohon yang tumbuh meninggi memenuhi pandangan. Gelap-gelita, tanpa ada sedikitpun cahaya yang menyuluh kawasan persekitaran. Hanya pantulan cahaya mentari ke bulan sahaja menjadi harapan. Itupan masih kelihatan suram dan kelam.
Dadanya berombak keras dek kekurangan oksigen. Sistem jantungnya terus memainkan peranan, mengganti semula semua oksigen yang telah dihabiskan sewaktu berlari tadi. Dia kepenatan.
"Periksa di sana!" ujar satu suara yang tidak jauh dari tempat dia berdiri.
Danial terus berpaling. Kelihatan sekumpulan kecil lelaki dewasa yang memakai sut hitam dan lengkap bersenjata, menjaga setiap ceruk kawasan rumahnya agar tiada mata-mata yang memerhati perilaku mereka dalam diam.
Dia terus menunduk dan membongkokkan badan. Perlahan-lahan kakinya dibawa pergi jauh dari kawasan rumahnya. Jika dia masih berdiri di situ, peratus kemungkinan untuk dia ditangkap sangat tinggi.
Kawasan hutan yang dipenuhi semak-samun itu memudahkan lagi urusannya untuk bersembunyi. Diperhati sahaja gerak-geri sekumpulan lelaki bersenjata itu dari jauh. Hendak melawan, dia tiada daya dan upaya. Dia hanyalah budak lelaki yang berumur 11 tahun, masih belum mempunyai kudrat yang kuat untuk bertahan apabila diserang.
Sedang dia asyik memerhati, seekor ular secara tiba-tiba muncul entah dari mana. Danial sedikit terkejut dan takut. Dia ingin beralih ke tempat lain, namun niatnya terkubur dek terdapat dua orang pengawal yang sedang berdiri tidak jauh dari tempat persembunyiannya.
Justeru, dia mengambil keputusan untuk kekal di situ. Dua orang pengawal dan ular tedung yang berada di sisinya itu dipandang silih berganti. Hatinya usah dikatakan, risau menghadapi dua ancaman dalam satu masa yang sama.
Ular itu seperti memerhatikan Danial, mungkin ia berasa sedikit terancam dengan kehadiran budak lelaki itu. Pandangan tajam ular itu seakan-akan ingin membunuh. Danial sekadar meneguk air liur yang terasa kelat. Takut.
"Jangan risau, ular. Aku tak kacau kau pun." Danial berbisik perlahan, berharap ular itu faham dengan kata-katanya.
Secara tiba-tiba, reptilia berdarah sejuk itu terus mematuk ke arah Danial. Dia terus berundur ke belakang secara refleks. Secara tidak sengaja, kaki kanannya terpijak satu ranting kayu yang telah patah daripada pohon asalnya.
Prak!
Bunyi ranting yang patah itu kedengaran kuat. Danial terus terkaku. Wajahnya kelihatan cuak. Matilah dia!
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Action𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...