DIA berjalan dengan menghentakkan kaki sebagai tanda protes terhadap Danial. Pipinya yang putih mulus itu dikembungkan seperti belon. Tidak cukup dengan itu, bibirnya mula mengomel dan mengutuk tindakan jejaka itu yang sengaja mengusiknya tadi. Dasar lelaki!
"Eeeeii! Geramnya! Tak habis-habis nak mengusik aku! Dah la ayat dia tu selalu menyakitkan hati! Jangan disebabkan aku pernah confess dekat kau, kau senang-senang je nak buli aku? Memang tak la!" kata Ivy sendirian.
Dia menganggap batu kecil yang berada di atas lantai itu ialah Danial lalu dipijak-pijak sepenuh hati. Setelah itu, batu itu terus disepak sejauh yang mungkin. Puas hatinya! Tuan badan tidak dapat dibelasah, batu pula yang menjadi mangsa.
"Ambil kau! Cari pasal sangat kan!" omel Ivy dalam nada yang penuh kegeraman.
Dia berpeluk tubuh, cuba untuk menenangkan diri yang masih terasa panas dan berbahang. Tadi punyalah sejuk, sekarang tiba-tiba dia menjadi panas pula.
"Relaks, Ivy. Sabarkan hati... Sabar itu separuh daripada iman!" ujarnya penuh bersemangat.
Nafas ditarik lalu dihembuskan secara perlahan-lahan. Tangan dikipaskan ke muka, cuba untuk mengurangkan sedikit rasa berbahang pada mukanya.
"Ivy!" Sayup-sayup satu suara memanggilnya dari arah kanan. Ivy pantas menoleh dan menepuk dahi. Dia terlupa akan Zahra!
"Zahra!"
"Kau pergi mana? Puas aku cari kau merata tempat," kata Zahra sambil berpeluk tubuh.
Mana tidaknya, selesai sahaja membuang hajat di tandas, dia terus menapak semula ke kafe tadi. Namun, kelibat Ivy langsung tiada, malah barang-barangnya juga. Dia pula yang berasa risau lantas dicari gadis itu di segenap kawasan.
Ivy berasa serba-salah, terus jari-jemarinya dicantumkan sebagai tanda permohonan maaf. Bukan sengaja niatnya ingin meninggalkan Zahra tetapi dengan keadaannya yang dimalukan dengan teruk tadi, memaksa Ivy untuk berlalu pergi mengikut Danial.
"Sorry! Saya terlupa! Sorry sangat-sangat!" ujar Ivy sepenuh hati.
Zahra hanya melepaskan keluhan. Perasaan amarah perlahan-lahan memudar dalam jiwanya. Senyuman diukirkan bagi menenangkan hati Ivy yang mungkin berasa sangat serba-salah.
"Hmm. Yelah. Aku maafkan kau. Tapi asal muka kau merah-merah ni?" tanya Zahra yang mula perasan raut wajah Ivy.
Gadis itu terbungkam. Kedua-kedua tangannya terus dilekapkan ke pipi. Panas dan berbahang. Fikirannya ligat mencari alasan yang kukuh dan munasabah. Justeru, kejadian dia bersama Danial tadi terus diungkit tanpa menyebut nama jejaka itu.
"Entahlah. Tadi ada mamat entah dari mana datang sakitkan hati orang! Eii! Kalau saya berjumpa dengan dia lagi, mesti akan kena belasah!" ujar Ivy sambil tangannya menggenggam penumbuk.
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Acción𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...