BAB 58 | BELAJAR MELEPASKAN

414 16 7
                                    

"It is not the eyes that are blind, but the hearts."

( 22:46 )









SEJAK kejadian dia dibawa pulang oleh ibu bapanya beberapa hari lalu, Rita hanya mengurungkan diri di dalam bilik. Bukan mudah untuk gadis sepertinya melawan perasaan trauma seorang diri. Dia mengalami fasa ketakutan dan penyesalan melampau setiap kali fikirannya mengimbas masa lalu yang penuh duka dan sadis itu.

Disebabkan cintanya dihalang orang tua, dia sanggup menjadi anak derhaka dan pergi melarikan diri. Namun, menjadi dewasa yang selalu ingin membuat keputusan sendiri kadangkala tersalah naluri juga. Akhirnya, kemanisan cinta bertukar menjadi racun yang membinasakan diri. Dikhianati orang yang dicintai menjadi bukti dunia ini bukan semuanya dipenuhi orang baik. Dia hampir terbunuh. Detik ngeri yang pasti meninggalkan kesan mendalam dalam fikiran.

Rita terbaring di atas katil sambil matanya sejak tadi merenung siling rumah. Mengimbas masa silam berdarah yang penuh dengan kegelapan. Tanpa cahaya, tanpa sesiapa. Keadaan bilik terasa mengecil dan menjadi sempit. Masa juga seperti bergerak dengan sangat perlahan dan nafasnya terasa berat. Perlahan-lahan Rita mulai tenggelam dengan imaginasi masa silamnya.

Malam begitu sepi dan kelam pada masa itu bagaikan berada di ruang vakum angkasa lepas. Meskipun bunyi cengkerik menyanyi girang pada saat itu, tidak cukup menghilangkan resah dan takut di dada. Hanya ada dia dan lelaki itu. Mana mungkin tenaga seorang gadis mampu mengatasi kudrat seorang lelaki. Saat itu... barulah fikirannya terlintas mengingati Allah setelah melupai-Nya sejenak.

Dalam hati, tidak putus dia berdoa agar diberikan keajaiban hadirnya seseorang yang menjadi penyelamat namun, sesungguhnya Allah maha berkehendak atas sesuatu kejadian. Takdir yang sengaja Allah restukan agar dia belajar dan memahami konsep dunia fana ini walaupun darah dan air mata yang terpaksa menerimanya...

Mata hitam lelaki itu kelihatan begitu besar merenung tajam anak matanya. Tidak seperti Khairul yang dia kenali selama ini. Jelas ekspresi wajah lelaki itu bagaikan tidak sabar mahu membunuhnya. Senyuman lelaki itu lebar terukir di bibir bagaikan tidak sabar mahu membunuh mangsanya. Rita terus mengundurkan diri dan terhenti apabila mendapati di belakangnya ada tebing yang agak curam.

Matanya merenung ke bawah. Sukar untuk dia melihat keadaan kawasan curam itu dalam keadaan yang gelap. Pohon-pohon yang tumbuh di sekitarnya mungkin boleh digunakan untuk berpaut menuruni tebing tetapi tiada jaminan untuk dia sampai ke bawah dengan selamat. Namun, apa lagi pilihan yang dia ada selain mengambil risiko berbahaya ini? Tiada.

"Aku beri kau dua pilihan. Ikut aku, kau akan hidup. Turun bukit yang curam tu, kau akan mati," kata Khairul yang kelihatan berbangga diri seperti sudah memperoleh kemenangan.

"Jadi, aku akan pilih mati." Rita membalas berani.

Dia pantas memaut dahan pokok berdekatan lalu menghulurkan kakinya ke bawah tanpa menoleh ke belakang sedikit pun. Dalam keadaan tanah yang tidak rata, Rita melangkah ke bawah dengan berhati-hati. Dia bagaikan orang buta yang terkapai-kapai mencari tempat berpaut. Kawasan sekelilingnya kelihatan gelap, kelam dan hitam bahkan kakinya turut ragu-ragu ingin terus melangkah.

Mendengar tiada apa-apa balasan daripada Khairul, Rita menjadi lega. Sekarang, dia hanya perlu risaukan keadaannya sekarang. Patutkah dia teruskan rancangannya untuk turun ke bawah atau kembali naik ke atas? Masih belum terlambat untuk dia mengubah fikiran dan nalurinya yakin lelaki itu sudah pergi meninggalkannya keseorangan. Memikirkan risiko yang amat tinggi, Rita mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Ternyata jangkaan Rita meleset. Baru saja dia mendongakkan kepala, kelihatan Khairul sedang berdiri di hujung tebing bersama senyuman lebar. Jantung Rita bagai direntap saat pandangan matanya jatuh pada potongan kayu balak yang dipegang oleh Khairul. Hatinya kembali resah dan takut memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi. Menyebabkan bibirnya terkunci mahu melepaskan kata-kata.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 20, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

RAHSIA SEBUAH HATI Where stories live. Discover now