𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲
IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
SEKITAR jam 9.00 malam, keadaan bandar Kuala Lumpur masih lagi sesak dengan pelbagai jenis kenderaan di atas jalan raya. Semua manusia hanya sibuk memikirkan hal kepentingan masing-masing, bergantung sama ada niat itu lebih menjurus ke arah duniawi mahupun ukhrawi.
Andai langit menjadi raja, sudah lama dihempap manusia yang bermaharajalela. Andai bumi mampu meluahkan rasa amarah, sudah lama ditelan makhluk yang kononnya berjanji menjadi khalifah. Segala janji hanyalah dusta. Walaupun peringatan demi peringatan diberi, mereka tetap berbangga berada di atas pentas dosa.
Tidak semena-mena, mulutnya melepaskan keluhan yang berat. Potret malam yang terpampang pada jendela biliknya itu dipandang lama. Hari ini, bulan seolah-olah bersembunyi disebalik tirai langit. Kosong dan langsung tiada seri, seperti kisah kehidupannya ketika ini.
Pemergian isteri dan anak perempuan tercinta membuatkan hidupnya yang dipenuhi pelbagai warna bertukar pudar. Selama ini, beban di pundaknya tidak pernah sedikitpun berkurangan. Dirinya masih dibayangi kisah silam dan perasaan yang penuh dengan penyesalan.
"Maafkan abang, Fakhira... Abang tak pernah berterus-terang dengan sayang. Abang selalu abaikan sayang dan keluarga kita... Abang terlalu pentingkan kerja. Disebabkan abang, Fakhira dan Farah terbunuh... Ini semua salah abang. Salah abang..." ujar Encik Afnan, sayu.
"Ya Allah... Tolonglah ampunkan dosa aku Ya Allah. Akulah punca mereka berdua terbunuh. Akulah punca segala-segalanya. Maafkan dosa aku. Maafkan aku..."
Air mata yang selama ini disembunyikan semakin deras mengalir membasahi pipi. Selama ini, ditahan gejolak hatinya tatkala melihat Danial keseorangan. Walaupun anak lelakinya itu selalu mempamerkan raut wajah yang tenang, dia tahu hati Danial pasti berasa sunyi dan sepi tanpa kasih sayang seorang wanita yang bergelar ibu.
Seawal usia 11 tahun, Danial terpaksa berhadapan dengan pelbagai kejadian yang mengerikan. Keadaan rumah yang dipenuhi mayat dan tompokan-tompokan darah, amat sukar untuk kanak-kanak seusianya bertahan dari segi mental dan fizikal. Ngeri.
•¤•
ENCIK Afnan melepaskan pelukan. Mata Danial yang dipenuhi air mata itu ditatap lama. Diusap pipi yang masih basah itu dengan kasih sayang dan senyuman agar anak lelaki itu kembali tenang dan kuat. Danial sekadar mendiamkan diri sekali gus menanti bait bicara yang ingin disampaikan oleh ayahnya.
"Danial jangan nangis dah okey? Kita doakan supaya supaya ibu dan kak Farah selamat tau. Danial tunggu sini. Biar ayah yang masuk," kata Encik Afnan dengan lembut. Danial pantas menggelengkan kepala. Matanya kembali berair.
"Tak nak! Danial pun nak ikut juga."
"Tak boleh. Mental Danial masih belum stabil. Ayah tak nak Danial jadi takut dan trauma," ujar Encik Afnan, risau apabila fikirkan tindakan berani yang ingin dilakukan oleh Danial. Baginya, Danial masih belum kuat untuk melihat dan menghadapi kejadian mengerikan ini.