HARI berganti hari, sudah hampir dua minggu Ivy berada di bumi Perancis ini. Tidak dinafikan sepanjang dia berada di sini, pelbagai cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi. Mujur kehadiran Amirul dan Zahra yang sentiasa ada di sisi banyak membantunya untuk terus berdiri.
Dia sangat-sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan dua orang insan yang berhati murni itu. Walaupun berbeza sikap dan perangai, mereka berdua tidak pernah meninggalkan Ivy keseorangan walaupun hubungan Zahra dengan Amirul sangat dingin. Kalau bukan Zahra yang berada di sisi, Amirul pasti akan menemaninya.
"Kau termenung apa, Ivy?" tanya Zahra yang duduk berhadapan dengannya.
Dia terus tersentak daripada lamunan panjang. Kelihatan gadis itu sibuk menulis sesuatu di atas kertas. Bukunya yang berada di atas meja tidak lagi menjadi tumpuan utama.
"Oh... Saya terfikir juga, tak sangka dah dua minggu saya di sini. Nasib awak dan Amirul sentiasa menjadi penyelamat saya. Saya terhutang budi. Thanks," ucap Ivy ikhlas.
"Apa benda yang kau cakap ni? Dah kau tu kawan aku, tak kan aku nak biarkan kau dibuli?" Zahra membalas bersama kerutan di dahi. Ivy hanya tersenyum nipis.
"Ya. Saya tahu. Tapi boleh saya naktanya something tak?"
"Tanyalah," jawab Zahra, ringkas.
"Tapi janji jangan marah tau," tutur Ivy, polos. Zahra hanya menganggukkan kepala.
"Ya."
Ivy menarik nafas panjang, berharap sangat yang Zahra tidak akan berkecil hati dengan soalannya yang agak sensitif.
"Kenapa awak tak nak pakai macam perempuan lain? Awak cantik Zahra. Kalau awak pakai baju-baju yang cantik, awak pasti akan ada ramai kawan." Akhirnya, terluah juga persoalan itu daripada bibirnya.
Tangan Zahra terus berhenti menulis, sedikit terkejut dengan soalan yang diberikan oleh Ivy. Dia membisukan diri selama beberapa saat sebelum memberikan jawapan atas persoalan yang diajukan oleh gadis itu, terlalu sukar untuk dia melafazkan semua rahsia yang selama ini hanya terpendam di hati. Riak wajahnya kelihatan muram.
"Bukan aku tak nak jawab tapi..." tutur Zahra. Keluhan berat dilepaskan.
"Its okay. Kalau awak rasa sukar nak jawab tak apa. Saya tahu, semua orang pasti ada kisahnya yang tersendiri. Maafkan saya sebab dah buat awak terasa. Saya minta maaf," balas Ivy perlahan, serba-salah.
"Maaf, Ivy. Terlalu berat untuk aku ceritakan semula. Aku tak kuat. Kalau boleh, aku tak nak ingat dah semua kenangan pahit aku. Dan disebabkan peristiwa ni, aku bencikan semua lelaki termasuk Amirul..." luah Zahra perlahan. Buat pertama kalinya, air matanya menitis di hadapan gadis itu.
Ivy terus bangun dan duduk bersebelahan dengan gadis itu lalu dipeluk tubuh itu dengan erat. Tindakan Ivy mengundang rasa sebak dalam diri Zahra lalu air matanya deras mengalir ke pipi, membasahi tudung yang tersarung di kepala gadis itu.
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Azione𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...