DISEBABKAN kaki kanannya masih sakit, Rita membawa langkah perlahan ke arah dapur dengan berhati-hati. Tudung sarungnya dibetulkan sedikit agar auratnya tidak didedahkan tanpa dirinya sedari. Puan Zulaikha yang sedang memasak itu didekati.
"Assalamualaikum, mak cik..." Rita menyapa dengan sopan. Puan Zulaikha pantas menoleh.
"Eh? Kenapa bangun? Kamu kan perlukan rehat. Keadaan Rita masih lagi tak stabil ni," kata Puan Zulaikha, risau. Rita hanya mengukirkan senyuman.
"Rita bosanlah, mak cik. Daripada duduk dalam bilik tu tak buat apa, baik tolong mak cik memasak," kata Rita. Puan Zulaikha mengukirkan senyuman nipis.
"Kalau macam tu, Rita tolong hidangkan lauk-pauk untuk makan tengah hari kita boleh? Sekejap lagi suami mak cik dah nak balik."
Rita pantas menganggukkan kepala. Beberapa pinggan diambil lalu dia terus mengisinya dengan beberapa ikan goreng dan kuah gulai. Tidak dilupakan juga sambal belacan, pelengkap menu yang ringkas tetapi amat menyelerakan.
"Assalamualaikum!" ujar satu suara lelaki.
Rita dan Puan Zulaikha menoleh. Rita pantas menundukkan kepala, malu apabila bertentangan mata dengan jejaka yang telah menjadi penyelamatnya itu. Wajah yang ditayangkan tanpa purdah membuatkan dia bertambah segan.
"Laaa Nurhan. Awal balik? Selalunya kamu balik waktu petang," tanya Puan Zulaikha, memecah suasana yang tadinya sunyi.
"Hari ni saja nak bekerja separuh masa je. Nak rehat. Rasa letih sikit," kata Nurhan sambil kakinya dibawa ke meja makan.
"Oh... Habis, macam mana dengan kebun buah kamu? Tak kan nak tinggal macam tu je?" Puan Zulaikha bertanya lagi. Cawan yang berisi air teh'o panas diberikan kepada anak terunanya yang seorang itu.
"Mat dan Fikri kan ada. Biarlah dia orang pula jaga. Nanti Nurhan tambah gaji dia orang bulan ni. Alhamdulillah. Hasil jualan agak menguntungkan." Nurhan menuturkan dengan tenang.
Wajah Nurhan yang kemerah-merahan itu dipandang lama oleh Rita. Jelas terpancar riak wajah yang letih dan penat. Seharian duduk di bawah terik panas matahari pasti menjadi tugas yang sangat mencabar. Rambut jejaka itu kelihatan basah akibat peluh yang mengalir keluar.
"Err... Abang Nurhan nak makan ke? Mesti abang letih seharian bekerja. Kalau nak, Rita boleh tolong ambilkan?" tanya Rita sedikit gugup. Mata lelaki itu tepat memanah anak matanya. Dia terus melarikan pandangan. Darah pantas menyerbu ke muka. Malu.
Bukan niatnya ingin menggatal dengan lelaki itu tetapi disebabkan dirinya terhutang budi dengan Nurhan, apa salahnya dia membantu sedikit, bukan? Tambahan pula dia cuma tetamu yang tidak diundang dan hanya duduk menumpang di rumah itu.
"Boleh ke? Tak susahkan Rita ke?" ujarnya lembut. Rita mengukirkan senyuman nipis lalu kepala digeleng perlahan.
"Tak pun. Rita ambilkan ya?"
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Action𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...