وَأُفَوِّضُ أَمْرِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ
"Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya."
SENGAJA Inspektor Khalil membiarkan kesunyian mencengkam suasana di dalam pejabat ini. Memberi masa untuk Nurhan menghadam semua jawapan yang datang secara bertubi-tubi. Memang sukar untuk menerima kenyataan tetapi itulah takdir yang Allah sudah tetapkan. Meskipun dapat kembali ke masa lalu, takdir kematian Najwa tetap akan berlaku.
Air mata Nurhan tumpah juga mengenangkan adiknya yang tidak sempat bertaubat dan diberi peluang memadam dosa-dosanya. Kematian tragis akibat mengikut telunjuk lelaki tidak bertanggungjawab itu membenihkan perasaan benci dan dendam dalam hati Nurhan. Dia mahu lelaki itu ditangkap, dipenjara dan diseksa selayaknya jenayah yang telah dilakukan!
"Kami mendapati bukan Najwa dan Rita saja yang menjadi mangsa. Saya percaya kes kehilangan ramai gadis sebelum ini berpunca daripada Razen. Lelaki ini cuma pengikutnya yang setia."
Tanpa sebarang soalan daripada Nurhan, Inspektor Khalil memberitahu info tersebut. Nurhan terus mendongakkan kepala. Dia terkejut besar.
"Mak... maksud tuan, Tuan Razen? Penjenayah berbahaya tu? Dia masih bebas?"
Nama Tuan Razen sering muncul di kaca televisyen beberapa tahun yang lalu dan hangat diperkatakan oleh masyarakat pada masa itu. Masyarakat menjadi takut. Namun sejak kebelakangan ini, berita tentang penjenayah itu semakin hilang seiring berlalunya masa. Ramai yang beranggapan lelaki itu telah ditangkap. Nama Tuan Razen telah dilupakan.
"Ya. Razen licik. Dia gunakan kuasa pihak atasan untuk hilangkan jejak najis yang ditabur. Organisasi keselamatan negara kita dalam bahaya kalau orang macam ni tak ditangkap..." ujar Inspektor Khalil yang turut marah.
"Najis meskipun dihilangkan... tetap ada kesan. Tetap ada bau..." Nurhan menyambung. Inpektor Khalil mengangguk mengiyakan.
"Sebab tu kami masih berusaha mencari musuh-musuh yang menyorok di dalam selimut. Suspek dah ada tapi... bukti-bukti yang ada masih samar. Tanpa bukti yang kukuh, waran tangkap tak boleh dikeluarkan."
Dalam diam, Nurhan mengeluh perlahan. Sukar untuk dia memahami selok-belok dunia siasatan. Kewujudan perundangan sememangnya menjaga keamanan negara namun, adakalanya undang-undang yang dikenakan langsung tidak masuk akal! Dalam keadaan hal penting seperti ini, pegawai polis tetap terikat dengan peraturan dan kerana itu penjenayah seperti Tuan Razen masih bebas di luar sana!
"Saya faham kamu marah tapi dalam hal ni kita tak boleh terburu-buru buat keputusan. Razen dan pengikutnya licik. Mereka sentiasa ada back up plan. Tersilap langkah, semua orang akan terbunuh. Dia terkenal dalam dan luar negara. Dia ada kabel yang kuat dan sebab itu kita kena dapatkan lebih banyak kuasa."
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Action𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...