JALAN Tuanku Abdul Rahman yang selalunya sesak kelihatan agak lengang berbanding kebiasaan kerana jam baru sahaja menunjukkan pukul tiga petang, masih terlalu awal untuk warga kota pulang ke rumah selepas bekerja.
Amira terus meletakkan bekas-bekas kuih di atas meja plastik yang telah dipasang dengan rapi. Ibunya, Puan Kamilah mengeluarkan beberapa alatan memasak dari bonet kereta wira lamanya. Selagi kenderaan itu boleh digunakan, selagi itu dia tidak akan membeli yang baru meskipun terpaksa membaiki beberapa kerosakan.
Adunan bahan untuk membuat pisang goreng dimasukkan ke dalam kuali yang telah pun panas. Amira hanya membiarkan ibunya memasak lalu dia terus mengeluarkan buku-buku sekolah yang telah dibawa dari tadi. Sekiranya masih ada masa yang terluang, dia pasti akan memanfaatkannya dengan baik. Lagipun, kehidupan mereka sekeluarga pada masa akan datang terletak pada tangannya.
"Dik... Kuih karipap ni berapa?" tanya seorang pelanggan wanita yang baru sahaja tiba. Amira lantas berdiri dan menyapanya dengan senyuman manis.
"Lima biji seringgit, mak cik."
Wanita itu sedikit terkejut. Matanya terus membesar.
"Lima biji seringgit? Murahnya!" ujarnya tidak percaya. Amira mengukirkan senyuman.
"Mak saya kata, nak menjual sambil bersedekah. Kumpul pahala untuk akhirat," kata Amira lagi. Puan Kamilah yang sekadar mendengar turut mengukirkan senyuman.
"Baguslah kalau macam tu, hari-hari saya beli kuih awak ni. Bagi saya kuih karipap ni dua ringgit," kata wanita itu lagi.
"Baik..."
Suara lembut Amira membalas. Tangannya yang putih mulus itu terus memasukkan sepuluh biji karipap ke dalam plastik menggunakan penyepit. Kebersihan makanan tetap menjadi keutamaan.
"Terima kasih, dik. Pandai ibu kamu didik kamu. Bertudung labuh, sopan dan pandai hormat orang tua. Kalaulah anak-anak lelaki mak cik belum kahwin, dah lama mak cik masuk meminang," ujar wanita itu bersama usikan. Amira tersenyum malu.
"Tak ada la, mak cik. Saya biasa-biasa je. Lagipun, saya tak pandai berfesyen seperti wanita di luar sana."
"Tak apa. Allah tak menilai berapa harga baju yang kita pakai tetapi Allah melihat aurat apa yang kita tutup. Kita sebagai orang Islam wajib utamakan aurat berbanding fesyen..."
"Baik mak cik. Saya akan ingat kata-kata mak cik," ujarnya bersama senyuman manis.
"Nah... Kamu simpan baki ni. Mak cik pun nak bersedekah juga."
Wanita itu terus mengeluarkan sekeping duit kertas yang tertera RM 20 ringgit lalu dihulurkan kepada Amira. Amira terkejut. Begitu juga Puan Kamilah.
"Ehh tak apalah, puan. Banyak sangat ni. Kuih ni dua ringgit je," bantah Puan Kamilah dengan nada yang sopan.
Mak Cik Ima yang turut menjual kuih-muih bersebelahan gerai Puan Kamilah menjeling tajam bersama perasaan menyampah. Bibir merahnya dicebik.
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Action𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...