SUASANA riuh-rendah yang berlaku di luar perkarangan masjid memberi kejutan kepada Amira yang masih bersedih dan menangisi kisah silamnya yang buruk. Matanya semakin sembab akibat terlalu lama menghamburkan air mata yang sama sekali tidak mahu berhenti. Dia tenggelam dalam kekesalan.
Telekung putih yang tersarung pada tubuhnya segera dibuka lalu dia membawa langkah ke arah sebuah tingkap yang ditutupi langsir. Diselak sedikit lalu pandangan matanya dilontarkan ke luar. Nampak saja figura orang-orang suruhan Alex, Amira kembali dilanda resah.
Amira terus menjauhi tingkap dengan mengambil beberapa langkah ke belakang, tidak mahu kehadirannya dihidu sedangkan lambat-laun, rahsianya pasti akan terbongkar jua andai dia berlama-lama di sini. Dia perlu cari jalan keluar dan lari dengan segera!
"Aku kena cari pintu belakang!" ujar Amira perlahan. Kesedihannya terpaksa dilupakan buat seketika.
Dalam keadaan tergesa-gesa, dia keluar dari ruangan solat wanita itu lalu terus menuju ke halaman belakang masjid. Mujur terdapat sebuah pintu berpalang di situ, tetapi malangnya ia berkunci! Mangga itu cuba dibuka dengan pelbagai cara, namun pada akhirnya dia menemui jalan buntu.
"Where is her!" Tiba-tiba saja kedengaran suara orang suruhan itu menengking salah seorang penduduk di situ. Amira semakin cuak!
Disebabkan sifat masa itu akan terus berlalu pergi, Amira tidak mempunyai cara lain selain perlu memanjat pagar itu dengan berhati-hati tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Keadaan pagar yang sudah pun rapuh dan berkarat menyukarkan pergerakannya untuk memanjat.
"Arghh!" Tidak sempat kakinya menjejaki tanah, dia sudah pun jatuh terlentang ke belakang. Jeritan kecil terkeluar dari mulutnya tanpa sengaja.
Disebabkan hatinya diacu dengan kegelisahan dan ketakutan, Amira pantas bangun dari atas tanah dan berdiri semula. Ini bukan masanya untuk dia bersenang-lenang sedangkan dirinya kini bagaikan kucing yang dikejar anjing buruan. Setiap detik terlalu berharga untuk disia-siakan selagi dirinya masih berada dalam cengkaman Alex. Dia tidak akan sesekali berasa selamat!
"Auch!" Baru saja dia mengorak beberapa langkah ke depan, Amira terjatuh kembali di atas tanah. Buku lali kaki kirinya dipegang bersama kerutan di dahi. Sakit dan perit!
"Aduh... mesti terseliuh waktu terjatuh tadi..." gumam Amira sendirian. Tangannya lembut mengurut buku lali, berharap akan ada keajaiban berlaku dan menghilangkan rasa sakitnya itu.
"Find her now!" Kali ini suara itu memetir dari dalam masjid itu pula. Amira terkejut besar.
Dia tidak sangka begitu pantas sekali mereka bertindak. Pasti salah seorang penduduk di situ menyaksikan ulahnya yang kelihatan tergesa-gesa dan mencurigakan itu tadi lalu membongkarkannya kepada lelaki-lelaki itu. Pasti dia dianggap sebagai seorang pelaku jenayah yang perlu diberkas.
Mahu atau tidak, Amira tidak boleh berlama-lama di situ meskipun kakinya terlalu sakit untuk berjalan. Dengan segala kudrat yang masih tersisa, dia mengorak langkah lalu perlahan-lahan bertukar menjadi larian kecil tetapi pantas. Kerutan pada wajah cukup menunjukkan dia berusaha menahan rasa perit dan sakit yang semakin mencengkam urat-urat kaki.
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Action𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...