DANIAL dan Furqan menunggu di luar wad kecemasan. Turut ada di situ keluarga mangsa dan beberapa anggota polis yang lain. Semua orang berharap yang gadis itu dapat diselamatkan kerana dialah saksi utama selain Furqan dan Danial.
Buat sementara ini, mereka tidak mahu mengganggu emosi keluarga mangsa walaupun pelbagai persoalan bermain di fikiran. Bagi mereka, kes ini sangat-sangat serius dan masih belum diketahui puncanya.
Mengapa gadis berumur 17 tahun itu menjadi mangsa dan bagaimana dia boleh berada di situ berseorangan? Pasti ada sebab mengapa gadis itu terpalit dalam hubungan penjenayah terbabit.
Semakin hari, semakin banyak pula beban yang perlu ditanggung oleh pihak polis. Kes pembunuhan, rasuah, penculikan, kecurian, rogol dan dadah semakin berleluasa tanpa diketahui titik pengakhirannya. Seolah-olah tiada noktah dalam setiap perkataan yang dinukilkan.
Mata-mata manusia seperti buta apabila melihat kejadian yang melanggar fitrah semula jadi mereka sendiri. Dipekakkan telinga bahawa zaman ini ialah zaman terakhir. Zaman yang semakin banyak menghampiri kehancuran dan kerosakan disebabkan tangan-tangan manusia itu sendiri.
Lama kelamaan bumi sendiri akan tenat menanggung pencemaran dan kotoran dosa di atasnya dan langit pula akan penat lalu runtuh menghempap semua penghuni yang ada di bumi. Dan pada saat terbitnya matahari di Barat, pintu taubat akan tertutup dan menghapuskan sinar harapan buat makhluk yang tidak taat.
Bunyi pintu terbuka terus menyentak Danial daripada lamunan. Mereka semua terus berdiri bagi mendengar perkembangan gadis itu daripada doktor tersebut. Jelas kelihatan doktor tersebut sedikit lelah.
"Kenapa doktor? Macam mana dengan anak saya? Dia selamat kan?" tanya ibu mangsa yang sudahpun sebak.
Doktor itu mengeluh lalu menggelengkan kepala. Terus jatuh terduduk ibu mangsa apabila mendengar khabar duka tersebut.
"Kenapa doktor? Adakah mangsa kehilangan banyak darah?" tanya Furqan ingin tahu.
"Bukan kehilangan banyak darah yang paling utama. Tetapi..." Ayat dijedakan. Hatinya terlalu berat untuk menyampaikan.
"Tetapi?" Salah seorang pegawai kanan polis yang berpangkat Inspektor Jeneral Polis (IG), Khalil terus menyampuk.
"Sebenarnya... punca kematian utama ialah mangsa telah pun dicucuk racun menggunakan jarum terlebih dahulu sebelum bertindak menikam perut. Kami langsung tidak boleh berbuat apa-apa kerana racun tersebut telahpun mengalir ke seluruh badan dan organ dalaman terutamanya jantung."
Jawapan doktor itu mengundang perasaan hiba di hati semua orang. Laungan tangisan daripada ibu bapa mangsa membuatkan Furqan tertunduk, rasa bersalah walaupun dia telah menjalankan tugasnya sehabis baik.
"Saya dan mak ayah dah larang Najwa keluar daripada rumah. Tapi, Najwa tetap berdegil nak berjumpa dengan boyfriend dia juga." Kakak mangsa, Nana terus memecah suasana.
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Action𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...