23

8.6K 131 11
                                    

Jurnal DocReen

Sejak aku mengucapkan selamat tinggal kepadanya, aku tidak dapat nak membuang dia dari hatiku ini. Aku selalu teringatkannya. Terfikir tentang dia.

Kenapa aku terasa begini. Seperti separuh hatiku rasa kehilangan. Aku menangis setiap hari. Kenapa aku tangisi kehilangannya? Bukankah itu yang aku pinta? Bukankah itu yang aku mahu?

Kenapa... aku kini terasa rindu padanya?

Kenapa...

* * * * *

Azrina termenung sendirian di dalam pejabatnya. Dah hampir dua jam dia termenung. Diari hari itu memang sengaja dikosongkan agar dia tidak diganggu. Sejak dari pagi tadi, Azrina mengurung diri di dalam pejabatnya sambil melayan perasaan hati yang melankoli.

Hatinya masih lagi gusar sejak dari pertemuan empat mata bersama Ashraff di restoran The Barn tempoh hari. Azrina tidak dapat melupakan saat itu. Dia tidak dapat melupakan sentuhan lembut jari lelaki itu yang masih lagi terasa di tangannya. Belaian yang sama juga masih lagi terasa di bibirnya. Bau wangi tubuh lelaki tegap itu masih lagi mengharumi rongga hidungnya. Aura suara yang merdu masih lagi beralun di telinganya. Hangat nafas masih lagi terasa di kulitnya. Semua itu masih lagi segar di dalam jiwanya. Seolah-olah ianya terbenam sebagai hadiah untuk dirinya selamanya.

Sesungguhnya Azrina tidak faham kenapa perasaan ini menghantui jiwanya. Azrina tidak pernah rasa lemas sebegini. Tak pernah dia merasa perasaan bergelora seperti itu pada suaminya sendiri, Uzair.

Kenapa?

Mungkin... ianya disebabkan dari satu ucapan yang dilafazkannya kepada Ashraff ketika itu. Ucapan perpisahan. Ucapan selamat tinggal yang disebut dengan tegas pada seorang lelaki.

Ucapan yang tidak pernah disebutkan kepada Uzair, mahupun Uzair kepadanya. Sebagai pasangan suami-isteri yang telah bersama selama lapan tahun, Azrina tidak pernah merasa kehilangan seperti itu. Perkataan ʻʻselamat tinggalʼʼ tidak pernah diucapkan di antara mereka. Walaupun tugas kerja memisahkan pasangan suami-isteri ini buat seketika, tak kiralah kalau ianya tugasan harian ataupun outstation untuk beberapa hari, tetapi pada hakikatnya, suaminya akan kembali kepangkuannya jua.

Tetapi... dengan Ashraff... walaupun hanya baru bertemu, baru berjumpa... ucapan selamat tinggal itu begitu perit sekali ditanggungnya, sehingga meninggalkan parut dan luka di dalam hatinya.

Tetapi kenapa dia merasa parah begini. Sedangkan dia dan Ashraff tak ada apa-apa hubungan pun? Bukannya mereka bercinta. Bukannya mereka bersama. Habis kalau bukan, kenapa kehilangan satu pertemuan yang sangat sekejap itu betul-betul tersiksa?

Adakah dia rasa bersalah pada Ashraff atas apa yang dilakukannya? Adakah dia berlaku kejam? Azrina akui... Ashraff tak ada buat salah apa pun. Dia hanya ingin mengenali hati budi. Tetapi Azrina menolaknya dengan mentah, seolah-oleh Ashraff membuat kesalahan yang paling besar pada dirinya.

Kesalahan apa? Kesalahan sebab jatuh cinta? Adakah itu patut diberikan hukuman?

Itulah persoalan yang kerap kali bermain di dalam minda Azrina. Dia sendiri keliru kenapa perasaan simpati begitu harus diberikan kepada Ashraff. Adakah dia layak menerima simpati itu.

Azrina mengeluh. Beberapa kali juga sebenarnya dia cuba untuk menghubungi Ashraff untuk meminta maaf. Untuk menarik balik kata-kata kesatnya dulu. Tapi sesungguhnya dia tak kuat. Dia tidak berani.

Azrina merenung skrin komputer dihadapannya. Website Forum Sains dan Minda terbuka dan terpampang di depan mata. Tapi... kelibat seorang username bernama FizikFikri sedikit pun tidak kelihatan. Selalunya, ada sahaja celoteh dan komentar dari FizikFikri di dalam forum itu. Tetapi, sejak Azrina mengucapkan selamat tinggal, di forum ini pun dia telah menghilangkan diri.

Firasat CintaWhere stories live. Discover now