Buku-buku yang masih berada di dalam kotak diangkat untuk diletak di atas rak yang masih kosong yang berada di satu sudut kafe itu. Buku-buku itu tidak sempat disusun semalam dan dibawa ke hari ini. Walaupun berat, tetap diangkat jua dengan berhati-hati sebelum satu suara menyapanya.
"Cik Khayra nak bawa kotak tu ke mana? Biar saya tolong," Ayden dengan rela hati menawarkan diri untuk menolong gadis itu apabila terlihat gadis itu seperti memerlukan bantuan.
"Tak perlu! Aku boleh angkat sendiri!" Bidas Khayra keras. Dia tak perlukan pertolongan lelaki itu. Tak akan meminta pertolongan lelaki itu!
"Tapi kotak-kotak itu nampak berat. Biar saya saja yang angkat untuk Cik Khayra," Ayden tetap ingin menolong gadis itu walaupun telah ditegah sekeras-kerasnya.
"Apa yang kau tak faham ini? Aku tak perlukan kau! Kau ingat aku lembik sangat ke?!" Bentaknya lagi. Rimas dia dengan lelaki tiga suku ini yang tak habis-habis sibuk dengan urusannya.
"Baiklah, Cik Khayra," mengalah Ayden, tetapi tetap memantau pergerakan Khayra supaya tidak terjadi apa-apa yang tidak diingini.
Gadis itu terlihat mengangkat kotak-kotak itu ke arah rak kosong dengan sedaya-upaya dan diletak di atas lantai sebelum disusun dengan rapi. Apabila sampai di ruang yang paling atas, Khayra memanjat tangga untuk menyusun buku-buku di ruang itu.
"Hati-hati, Cik Khayra," pesan Ayden lembut, risau melihat kelincahan Khayra memanjat tangga itu.
Khayra hanya menjelingnya tajam sebelum memanjat tangga itu. Dia terpaksa turun dan naik tangga kerana kotak yang berisi buku itu terlampau berat untuk diangkat. Melihat kepayahan Khayra mengambil dan menyusun buku itu, Ayden bertindak mengangkat kotak itu dan memegangnya untuk memudahkan Khayra mengambil dengan jarak yang lebih dekat dan tidak perlu turun naik lagi.
Khayra tersentak dengan kelakuan Ayden tetapi Ayden hanya senyum nipis ke arah Khayra seperti tiada apa-apa yang berlaku.
"Izinkan saya tolong Cik Khayra kali ini ya? Saya rasa saya useless pula tengok perempuan buat kerja tanpa berniat untuk tolong," ucap Ayden ikhlas, tidak lupa juga senyuman yang diukir manis itu menghiasi bibirnya. Dia tidak betah melihat Khayra buat kerja-kerja berat seperti itu seorang diri tanpa ditolong.
Khayra mendengus kasar sebelum menyambung menyusun buku-buku itu. Ketika sedang leka membuat kerja, dia perasan ada sebuah buku yang terselit di belakang ruang atas rak itu, segera dia mencuba untuk mengambilnya sebelum Ayden menegah perbuatannya.
"Cik Khayra nak ambil apa tu? Biar saya ambilkan, Cik Khayra." Ucapnya dengan riak yang risau melihat Khayra yang terjengket-jengket di atas tangga itu.
Khayra hanya buat tidak endah dengan bantuan Ayden kerana baginya dia tidak perlukan pertolongan lelaki itu. Dia boleh buat sendiri!
Setelah dia dapat mengambil buku yang terselit itu, entah di mana silapnya, dia terasa kakinya tidak memijak tangga yang dinaikinya itu, membuatkan dia hilang keseimbangan dan bersedia untuk mendarat di atas lantai. Khayra segera menutup mata rapat-rapat dan bersedia untuk menghadap sakit yang bakal diterimanya nanti. Alangkah terkejutnya dia apabila terasa seperti ada tangan yang sedang melingkar di pinggangnya kemas. Khayra segera membuka mata dan terlihat Ayden sedang menahan dirinya daripada terjatuh dari tangga dengan memegang kemas pinggangnya dan dia yang sedang melingkarkan tangan di leher Ayden. Mata Khayra tidak lepas dari memandang seraut wajah yang sangat indah di matanya. Dia juga tidak melepaskan peluang untuk merenung mata cantik berwarna hazel yang dimiliki oleh lelaki itu. Bulu matanya juga lentik dan lebat menyempurnakan lagi seraut wajah yang sentiasa membuat mana-mana perempuan tidak keruan melihatnya. Lelaki itu juga mempunyai bentuk lekuk bibir yang cantik dan kemerah-merahan menunjukkan dia tidak pernah merokok sama sekali. Mengapa dia baru sedar lelaki ini sangat kacak sebenarnya?
Sebuah buku yang dipegang Khayra tadi terjatuh dari pegangannya menyentakkan mereka berdua daripada merenung sesama sendiri sebelum Khayra menolak dada Ayden menjauh darinya dan Ayden pula segera melepaskan pinggang Khayra yang dipegang tadi. Khayra merapikan rambutnya yang kelihatan serabut akibat insiden yang berlaku sebentar tadi.
"Lain kali dah tahu pendek, jangan sombong sangat bila orang nak tolong. Nasib tak jatuh tadi," usik Ayden dengan senyuman mengusiknya, geli hatinya melihat Khayra seperti tidak keruan.
Khayra hanya menghadiahkan jelingan yang tajam ke arah Ayden sebelum mengorak langkah meninggalkan Ayden yang sedang tersenyum keseorangan di situ. Tak kuasa nak layan! Suka hati saja cakap orang pendek!
•••
Tok! Tok! Tok!
Pintu pejabatnya diketuk sebelum sekujur tubuh memunculkan diri di hadapannya. Khayra mengeluh melihat gerangan yang masuk ke pejabatnya itu.
Lelaki tiga suku ini lagi!
Ayden hanya tersenyum manis sebelum menunduk hormat ke arah Khayra. "Maaf mengganggu Cik Khayra tetapi sekarang ini waktu lunch. Jom saya bawakan Cik Khayra pergi lunch," ujar Ayden mesra.
"Aku tak cakap pun aku nak makan," bidasnya dingin.
"Tapi Cik Khayra kena makan. Kalau tidak, Cik Khayra tak boleh fokus buat kerja nanti," balas Ayden lagi, masih dengan senyuman manisnya.
"Aku tak nak," balas Khayra ringkas sebelum menyambung kerjanya.
"Tapi nanti Cik Khayra sakit. Cik Khayra kan ada gastrik. Tak boleh lambat makan," bidasnya lembut. Degil betul gadis ini!
"Mana kau tahu?" Soal Khayra curiga.
Ayden hanya tersenyum manis menampakkan dua lesung pipitnya itu sehingga membuatkan Khayra tak keruan melihatnya. 'Dia ini memang saja nak tunjuk lesung pipit dia ke apa?' Bentak Khayra dalam hati.
"Kalau Cik Khayra tak nak makan, saya akan berdiri dekat sini sampai habis kerja Cik Khayra. Boleh?" Ugut Ayden dengan lembut sambil mempamerkan senyum misterinya. Dia tahu gadis itu rimas dia berada di hadapannya setiap masa.
"Kau ugut aku?" Khayra berdecit tidak percaya dengan sikap lelaki itu. Sudah lah paksa orang makan, sekarang mengugut pula!
"Nampaknya macam itu lah," balasnya selamba.
Khayra hanya memandang tidak puas hati ke arah Ayden mengharapkan Ayden faham yang dia mahu lelaki itu keluar dari pejabatnya sekarang.
"Cik Khayra jangan pandang saya macam itu. Cair saya nanti!" Usik Ayden walaupun dia tahu itu pandangan maut tetapi dia tetap tidak peduli. "Jom, Cik Khayra," ujarnya lembut dengan senyum misterinya, mengharapkan Khayra mengikut dia.
Khayra mendengus kasar sebelum bergerak ke pintu. Sempat dia melanggar lengan lelaki itu kasar sebelum menghilangkan diri di sebalik pintu.
"Pendek tapi ada hati nak langgar orang. Nasib comel," ujarnya perlahan dengan senyuman sebelum menggeleng kepalanya.
'I get so happy when you talk to me.'
YOU ARE READING
𝐓𝐇𝐄 𝐇𝐈𝐃𝐃𝐄𝐍 𝐅𝐄𝐄𝐋𝐈𝐍𝐆𝐒
Romance[ Book 1 ] Tengku Ayden Qaiser, seorang lelaki yang dingin dan mempunyai syarikat sendiri. Wajah yang sentiasa dipamer beku sungguh sukar hendak melihat mesranya tetapi begitu mudah tersenyum apabila melibatkan seorang gadis. Gadis yang sudah lama m...