Langit yang terbentang luas dan dihiasi bintang-bintang yang mendamaikan menjadi tatapan Ayden sejak tadi. Sedari tadi hanya suara Khayra yang memenuhi kepalanya.
"Aku tak tahu apa yang ada pada kau sampai papa suka sangat dekat kau. Aku tengok biasa saja tak ada yang menarik pun," kata Khayra sambil tersenyum sinis.
Waktu ini mereka baru sahaja ingin bergerak ke KhaySugar Cafe tetapi pergerakan Ayden terhenti apabila mendengar kata-kata Khayra. Sudah seminggu dia bekerja sebagai bodyguard gadis itu, tetapi gadis itu tetap sama dengannya, tetap dingin.
Lelaki itu hanya menunduk hormat dan tersenyum sahaja tanpa berniat ingin membalas walaupun sepatah kata. Dia anggap apa yang Khayra katakan seperti angin saja berlalu.
"Kau tahu tak kenapa aku berkeras tak nak bila papa cakap dia akan upah bodyguard untuk aku?" Soalnya bersahaja. Tiba-tiba dia terasa seperti ingin berbual dengan lelaki itu.
"Kenapa?" Ayden hanya melayan sambil fokus memandu.
"Sebab aku tak perlukan lelaki untuk tolong aku. Aku boleh jaga diri aku sendiri tanpa pertolongan lelaki," balasnya dingin.
"Kenapa Cik Khayra rasa macam itu?" Soalnya ingin tahu lebih lanjut.
"Bagi aku, semua lelaki sampah. Hanya tahu mengambil kesempatan ke atas perempuan dan mempermainkan hati perempuan saja!" Sedaya-upaya dia cuba untuk menahan diri daripada menghamburkan amarah, sakit yang dirasakan seperti hadir semula.
"Termasuk papa Cik Khayra?" Soalnya sinis. Jika dia menganggap semua lelaki sampah, bagaimana pula dengan papanya sendiri?
Khayra terdiam mendengar soalan dari Ayden. Dia agak terkesan namun sehabis baik cuba dikawal riak muka. "Tak, dia tak sampah macam lelaki yang aku kenal." Balasnya selamba sebelum menyambung, "tapi dia tetap memberi luka yang tidak kurang hebatnya seperti lelaki sampah yang aku pernah kenal sebelum ini," ujarnya dingin, kedua-dua tangan dikepal kuat, menahan rasa.
Ayden terdiam mendengar bicara Khayra. Sungguh dia tidak menyangka itu yang keluar dari mulut gadis itu.
Lamunannya terhenti apabila bunyi hujan kedengaran. Dia hanya melepaskan keluhan berat sebelum mengorak langkah masuk ke dalam rumah.
•••
Malam yang suram dan gelap menambahkan lagi kedinginan di ruang yang gelap itu. Tiada suara mahupun bayang manusia di sekitar itu, hanyalah dirinya yang sedang berdiri tanpa hala tuju. Dia sendiri buntu di manakah dia berada sekarang. Kaki diusung perlahan mengikut kata hati. Kedinginan yang dirasakan semakin mencucuk-cucuk apabila kedengaran suara tangisan seseorang menyapa corong telinganya.
Hiks...hiks...
Dia terus menghala pandangan ke arah suara itu. Merinding bulu romanya mendengar tangisan yang semakin menghampirinya. Selangkah demi selangkah cuba mencari arah suara itu sehingga matanya tertangkap seorang lelaki yang sedang menangis sambil duduk memeluk lutut dan menundukkan kepalanya. Siapa dia? Mengapa dia menangis?
Perasaan takut yang mulai hadir tidak dihiraukan sebaliknya langkah diatur ke arah lelaki itu. Dia cuba menegur dengan memegang tangan lelaki itu sebelum lelaki itu mendongakkan kepalanya serta-merta.
Menggigil seluruh tubuhnya melihat sosok yang berada di hadapannya sekarang. Selangkah demi selangkah diambil untuk berundur dari lelaki itu.
Kelihatan seorang lelaki sedang memandangnya dengan perasaan yang marah berserta air mata yang mulai turun mencemari pipinya.
"Kenapa tinggalkan abang sorang-sorang?!"
Suara kuat itu mengejutkan seluruh tubuhnya sehingga terangkat bahunya mendengar.
"Kenapa biarkan abang mati?!" Bergema seluruh ruang gelap itu dengan suara lelaki yang cukup dia kenali.
Mata terasa suam dan bila-bila masa sahaja air mata akan mengkhianatinya serta-merta.
"Khayra memang nak tengok abang mati kan?! Kan?!" Suara kuat itu semakin menakutkan seluruh tubuh Khayra. Tidak berhenti tubuhnya daripada menggigil. Hanya gelengan menjadi jawapan, matanya seolah-olah terkunci daripada berbicara.
Lelaki itu serta-merta bangun menuju ke arahnya sebelum dia mengambil langkah untuk pergi dari situ. Cepat lariannya mengelakkan diri daripada dikejar lelaki itu. Peluh yang membasahinya tidak dihiraukan sebaliknya semakin dicepatkan larian. Kaki yang seakan-akan disekat untuk bergerak, berusaha untuk melepaskan diri. Lelaki itu semakin menghampirinya sambil tersenyum sinis.
"Abang akan pastikan Khayra pun mati!" Bentak lelaki itu kuat sebelum leher Khayra dicekik sekuat hatinya. Tangan yang berada di lehernya cuba dileraikan, nafasnya mulai sesak dan tercungap-cungap kekurangan oksigen.
Argghhhh!
Matanya terbuka dan tubuhnya terbangun serta-merta. Meliar pandangannya melihat sekeliling yang tidak asing baginya. Dirinya yang masih berada di atas katil di dalam bilik tidur dan hujan yang sedang membasahi bumi di luar. Satu hembusan nafas lega terbit di mulutnya.
Mimpi lagi.
Satu keluhan berat terkeluar perlahan sebelum air jernih yang ditahan sebaik mungkin, mengalir lesu mencemari pipi mulusnya. Sakit. Sakit yang dirasakan seolah-olah mencucuk-cucuk sekeping hatinya. Air mata yang perlahan menuruni pipinya mulai mengalir deras seperti tiada penghujungnya. Selimut ditarik menutupi seluruh tubuh sebelum tangisannya dihamburkan sekuat hati. Tidak mampu ditahan lagi. Rasanya sangat mencengkam hati.
'Tears are words that heart can't say.'
YOU ARE READING
𝐓𝐇𝐄 𝐇𝐈𝐃𝐃𝐄𝐍 𝐅𝐄𝐄𝐋𝐈𝐍𝐆𝐒
Romance[ Book 1 ] Tengku Ayden Qaiser, seorang lelaki yang dingin dan mempunyai syarikat sendiri. Wajah yang sentiasa dipamer beku sungguh sukar hendak melihat mesranya tetapi begitu mudah tersenyum apabila melibatkan seorang gadis. Gadis yang sudah lama m...