Bab 2

697 25 0
                                    

Kelopak mata dibuka perlahan, digosok beberapa kali. Tidurnya terganggu akibat cahaya matahari yang menusuk ke wajahnya. Mana tidaknya, matahari sudah terpacak di atas kepala tetapi dia masih tidur.

Jam pada telefon bimbit dikerling, tepat 12:30 tengahari.

"Alah... Bangun masa ni pun nak buat apa, baik aku sambung tidur aje. Bukan ada kerja nak kena buat pun."

Selimut ditarik kasar, merengus! Tak sempat lima minit dia lelapkan mata, pintu biliknya diketuk.

Tok!

Tok!

"Ayesha! Kamu tak bangun lagi ke? Dah pukul berapa ni?" Suara Tuan Ahnaf kedengaran keras di balik daun pintu.

Glupp!

Matilah dia. Lekas dia bangun merapikan tempat tidur dan rambut dia yang berserabai. Kusut-masai. Konon nanti nampaklah macam dia sudah lama bangun. Lekas pintu bilik dibuka dan senyuman paling manis dilemparkan.

"Ya abah... Ayesha dah bangunlah... Duk kemas bilik sikit tadi, kenapa abah?" Pura-pura. Pandai sangat kalau bab menipu.

"Oh, abah ingatkan kamu tak bangun lagi. Tu ibu panggil ajak turun makan, dahlah sarapan tadi kamu tak turun."

Daun pintu ditarik rapat, kakinya melangkah membuntuti Tuan Ahnaf turun ke bawah. Makan! Makan! Perut dah berkeroncong lapar.

Wajah Puan Eliza kelihatan masam cuka. Dia menunggu di meja makan sejak tadi. Mereka melabuhkan punggung di tempat duduk masing-masing.

Tuan Ahnaf faham isyarat bibir muncung Ayesha. Bertanyakan kenapa dengan muka Puan Eliza yang masam cuka tu. Terlebih tuang cuka ke?

"Mana tak masamnya muka ibu tu, kamu tak turun sarapan, dia ingatkan kamu tak bangun tidur lagi."

"Oh... Tak adalah ibu, orang kemas bilik tadi. Itu yang tak turun sarapan, tapi sekarang orang lapar, nak makan."

Tanpa menanti apa-apa jawapan dari mulut Puan Eliza, laju tangan Ayesha mencapai lauk pauk yang berada di depan muka. Sambar, suap, makan terus. Kunyah-kunyah.

"Iyalah Ayesha, ni ibu nak tanya. Semalam kamu balik pukul berapa? Pergi mana?"

Masak! Ingatkan takkan disoal, rupanya hampeh! Ini mesti ibu perasan sesuatu. Mungkin juga sebab dia bangun lewat.

"Semalam kan orang kata pergi jumpa kawan, balik awallah tak lewat pun," jawab dia malas.

"Kawan yang mana? Jangan ingat ibu tak tahu pukul berapa kamu balik semalam," ujar Puan Eliza sinis. Syak wasangka mula menebal dalam diri. Setebal hutan Amazon.

"Yang mana lagi, si Arfa tu lah. Tak ada kawan lain dah, dia sorang saja lagi yang ada. Satu-satunya yang tinggal," jawabnya lebih kurang. Serabut betul, kacau mood tengah makan. Hati pula sakit terkenangkan persahabatan bersama kawan yang lain dulu. Tapi semuanya musnah.

Macam mana nak ada kawan ramai? Selepas dia keluar dari Pusat Pemulihan Akhlak dahulu, hilang semua kawan-kawan. Tinggal seorang sajalah. The one and only.

"Kau berkawan lagi dengan dia tu? Kan aku dah pesan jangan berkawan lagi dah dengan dia, kenapa kau ni degil? Budak tu teruk! Bersosial entah apa-apa, nanti kau terikut lagi perangai dia tu." Naik pula darah dia bila tahu anaknya masih berkawan dengan Arfa.

Pantang betul Puan Eliza bila dengar nama si Arfa. Gara-gara Arfa lah, anak gadisnya terpesong jauh. Ikutkan sangat perangai kawan! Lebih baik tidak usah ada kawan daripada ada, tapi perangai macam hantu. Lebih tepat lagi syaitan.

"Ibu, yang ibu nak marah-marah ni kenapa? Orang tengah makan kan? Siapa pun kawan Ayesha, tu hak Ayesha. Tak ada kaitan dengan ibu tahu tak?" Tidak sengaja dia meninggikan suara. Niatnya ingin kawal emosi, tetapi dia memang jenis cepat naik angin. Suka memberontak dan baran.

MENANTI CINTA DARIMUWhere stories live. Discover now