Bab 1

2.3K 34 0
                                    

Setelah sekian lama menanti, akhirnya kebebasan menjadi miliknya. Nafas dihembus lega. Adakah ini semua pengakhiran untuk semua keterpaksaan ini? Akan ada lagi ke selepas ini? Harapnya tidak.

Apa yang terbuku di hati, cuma ingin kembali bebas seperti dulu. Namun harus ada strategi supaya tidak pecah lubang. Kalau bodoh lagi macam dulu, tak pandai nak cover memang cari nahas.

Ini merupakan kali kedua dia merasakan hidup terkurung. Dahulu dia pernah dimasukkan ke Pusat Pemulihan Akhlak gara-gara tingkah lakunya yang hampir menjerumuskan diri sendiri dengan bermain barang terlarang. Dadah.

Pengaruh daripada kawan-kawan tidak semua mampu melawan. Sebab itu orang selalu berpesan, kalau nak berkawan tengok-tengoklah dulu. Pilih kawan yang baik agar tidak sesat dan salah langkah kelak.

Hari ini, dia bebas lagi untuk kali kedua. Ringan sikit kali ini, ibu dan abah dia hantar ke sekolah pondok untuk belajar agama sementara. Disebabkan waktu dia bebas kali pertama dahulu, ilmu agama dia masih lagi cetek. Jadi dipaksa lagi untuk tambah ilmu agama. Biar jadi manusia.

Walaupun kalau diikutkan syarat, susah untuk dia diterima masuk atas sebab rekod lampau dia yang tidak berapa baik. Tapi mujurlah pemilik kepada sekolah pondok itu ialah kawan abah, Haji Solihin.

Memberontak itu wajib. Tapi itu semua tak akan dapat membuat keputusan ibu dan abah berubah. Apa yang Tuan Ahnaf dan Puan Eliza mahukan adalah muktamad!

Cubaan melarikan diri? Berkali-kali. Tapi akhirnya dia memilih untuk sabar. Akur.

"Ayesha ! Anak ibu..." Berlari Puan Eliza merangkul tubuh anak perempuan tunggal dia itu. Satu-satunya harapan di dalam keluarga mereka sudah pun pulang.

Kepulangan Ayesha disambut mesra, dengan harapan kali ini dia betul-betul berubah menjadi manusia. Bukan syaitan atau manusia munafik.

Ayesha Eshal hanya mengukir senyum malas, terpaksa. Tudung yang melitupi kepalanya direntap kasar. Panas! Rimas!

"Ibu, bagi orang masuk dalam rumah dulu boleh tak? Penat ni baru balik, dahla panas." Pelukan cuba dileraikan, dia rimas, penat. Malas nak layan ibu dia.

Puan Eliza membiarkan pelukan mereka terlerai. Anak gadisnya masih berperangai kasar. Cakap lebih kurang dan tidak ada sifat hormat langsung.

Ayesha sempat menarik tangan Puan Eliza, satu kucupan melekat. Zup! Berdesup dia lesap, naik ke atas. Kalau diikutkan bersalaman pun dia tidak mahu. Tapi dia ingin membuktikan dan meyakinkan bahawa dia sudah berubah. Walaupun sebenarnya hanya lakonan semata-mata.

"Awak ni pun, bagilah dia masuk dulu... Kan dia baru balik ni..." Tuan Ahnaf meluru masuk ke dalam rumah, bahu isterinya dipaut sekali.

"Bang... Awak rasa ada perubahan ke anak kita tu? Nampak macam sama je?" soal Puan Eliza. Mereka melabuhkan punggung di sofa. Satu keluhan kecil menarik perhatian Puan Eliza. Suami dia mengeluh.

"Tak tahulah saya nak cakap. Tapi saya harap dia berubah jadi lebih baik. Kita doakan ajelah untuk dia yang baik-baik, ni saya nak naik mandi dulu lah, panas betul cuaca harini." Kolar baju dikibas-kibas. Panas sungguh!

"Yalah abang, pergilah mandi."

Tuan Ahnaf bingkas berdiri, meninggalkan Puan Eliza di ruang tamu rumah mereka.

                                      ***

Pintu gelangsar ditolak seluas-luasnya. Nafas ditarik sedalam yang mungkin. Menikmati rasa bebas untuk dirinya. Hembusan nafas dilepas deras! Nikmat!

"Akhirnya, aku bebas! Bebas dari semua keterpaksaan tu!" Butang baju tidur satinnya dibuka suku daripada semua. Biar kena angin, bagi sejuk sikit.

Argh!

MENANTI CINTA DARIMUWhere stories live. Discover now